Tiada siapa yang inginkan kesedihan, kemurungan dan keresahan. Jika ditanya kepada sesipa sahaja pun, saya yakin dan pasti yang mereka akan berkehendakan akan kebahagian. Hidup tanpa bahagia ibarat terbakar dalam neraka dunia. Namun apakah itu kebahagian sebenarnya, adakah wang ringgit, adakah makanan yang lazat, adakah anak-anak atau segala perkara material yang mampu kita lihat atau mungkin ianya merupakan satu perasaan yang mana kita merasa aman, sentiasa ceria walaupun bermasalah.
Saya berpandangan, langkah paling awal untuk mengecap kebahagian adalah memahami diri sendiri dalam erti kata lain menguasai segala sifat negatif yang selama ini terbentuk dalam benak minda hingga ada yang dizahirkan dengan perbuatan. Selagi kita duduk dalam lingakaran energi negatif maka kita tidak akan dapat lari dari tempiasnya. Lebih memburukkan keadaan, apabila ia terkumpul dan terpendam menjadi satu gunung berapi dalam diri yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. Setelah itu kita akan melihat kedatangan kebahagian namun jangan dilupa bahawa kebahagian duniawi anak Adam terbit atas tiga perkara yang kadangkala kita lupa untuk mengupasnya dengan penuh hikmah.
Dalam sebuah hadis, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.” (HR. Ahmad). Secara mudahnya kebahagian, akan datang dengan jelas apabila kita mempunyai tiga perkara, yakni, isteri (pasangan) tempat tinggal, dan kenderaan. Mungkin lebih bagus seandainya kita dapat mengupasnya sedikit secara satu persatu.
Isteri
Jika kita lihat hal ini cukup linear kerana seandainya kita dan isteri tidak sehaluan mana mungkin kita akan mengecap kebahagian. Saya sering mengatakannya dari sudut sekufu yang sama arah dan tahap pemikiran. Jika kita mempunyai masalah dalam rumahtangga, kita selalunya akan membawanya ke tempat kerja maka hasil produktiviti kerja akan jatuh merudum dan mungkin lama kelamaan kita boleh hilang pekerjaan dan kepercayaan yang diberi oleh majikan. Masalah dalam berpasangan ini sering mencetuskan emosi yang tidak terhenti dan emosi yang ada dalam minda akan memberi reflek fizikal yang negatif juga.
Dari emosi ini lahirlah kata-kata nista, timbullah prasangka dan akibatnya kita akan sentiasa diselubungi suasana yang negatif. Bagi saya, yang lebih buruk adalah apabila ianya melibatkan rezeki kerana apabila rezeki mula terjejas, hilanglah kewarasan minda. Kita akan mula membuat keputusan yang diakhirnya memberi beban yang berat dalam mengharungi kehidupan. Justeru itu, apabila diri kita sudah menjadi positif, kita juga perlu sehaluan dengan pasangan kita dan apabila isteri adalah isteri yang solehah maka ketaatannya akan membuat kita kurang berlaga fikiran. Ini akan membawa kepada keharmonian dan rezeki yang lebar lagi luas.
Tempat tinggal
Ada teman saya yang bertanya kepada saya beberapa tahun yang lalu, mengapa sewaktu dia tinggal di rumah lamanya rezekinya mencurah-curah namun apabila dia berpindah ke rumah barunya terasa keperitan dari pelbagai segi. Masalah demi masalah mendatang dan banyak perkara yang merundung malang menjelma. Jawapannya ada di dalam hadis tadi. Apabila tempat tinggal yang kita diami, tidak mempunyai energi yang baik maka secara automatik kita juga akan merasa kurang selesa. Keadaan kurang selesa akan menimbulkan keluhan.
Keluhan pula akan memberi impak negatif dalam suasana rumah maka sebab itu orang dahulu cukup pantang mengeluh di dalam rumah. Saya melihat penjelasan tentang rumah yang buruk itu bukan dari sudut fizikalnya tetapi dari sudut gelombangnya. Cuba kita lihat, sebuah rumah yang besar dan indah tetapi apabila kita masuk ke dalam ruangannya kita berasa kuarang aman, kurang selesa dan banyak keresahan. Hal ini mungkin terjadi apabila penghuninya tidak mengingati Allah swt dengan sewajarnya dan mungkin juga apabila pulang ke rumah, masalah serta tekanan tempat kerja yang ada dalam minda di bawa ke rumah.
Nah… gelombang tekanan (beta) kini mengambil rumah sebagai terminalnya dan akhirnya rumah tersebut penuh dengan ketidakselesaan. Apa yang terjadi? Saya mengambil perkara pokok yang banyak diperkatakan orang…rezeki. Apabila keadaan rumah penuh dengan negativiti maka rezeki dengan sendiri bermasalah. Maka kita menjadi orang yang bukan sahaja rugi akhirat bahkan rugi juga di dunia.
Kenderaan
Perihal kenderaan ini, saya rasa sudah ramai yang sedia maklum bahawa jika kita ingin menjual kereta kita dilarang untuk memperkatakannya dalam kereta tersebut kerana nanti ditakuti akan merajuk dan rosak. Ini yang dikatakan kebahagian kenderaan, jika sering rosak maka seringlah bocor poket kita. Justeru kenderaan yang baik juga datangnya dari kita. Yang dikatakan kenderaan buruk itu hanyalah metafora, tidak bermakna kita perlu membeli kenderaan baru untuk bahagia.
Maka kenderaan juga memperlihatkan perjalanan yang baik. Jagalah tiga perkara dan renungkanlah tiga perkara ini sebagai langkah awal untuk mengecap kebahagian. InsyaAllah, saya akan mengupasnya dengan lebih detail dari sudut pandangan spiritual bagaimana ketiga-tiga ini memberi impak dalam perjalanan kita menemui Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !