Headlines News :
.
Home » , » JANGAN rampas zaman kanak-kanak!

JANGAN rampas zaman kanak-kanak!

Written By Unknown on Saturday, April 17, 2010 | 15:37


 
Tragedi Siti Nur Zubaidah

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya sedikit ketinggalan untuk memberi komen tentang hal ini kerana kesuntukan masa dan sibuk pula membaca artikel tentang ini dari pelbagai sumber untuk mendapatkan info yang tepat tentang ‘tragedi’ ini. Mengapa saya sebut ‘tragedi’, ya? Masakan tidak, saya sebut tragedi kerana kanak-kanak berusia 11 tahun ini diculik dan dilarikan oleh ‘suami’ selama 20 hari dan ditinggalkan pula seorang diri di sebuah surau yang jauh beratus kilometer dari kampung halamannya, dalam keadaan lapar dan ketakutan. Bagaimanakah perasaan anda sebagai seorang ibu... CORRECTION : Bagaimanakah perasaan anda sebagai seorang ayah tegar ‘melepaskan’ anak gadis suntinya mengikut ‘suami’ yang 30 tahun lebih tua [sebaya anda, lah!] dan sudah beristeri pula?

Sehingga entry ini dimasukkan, saya terbaca di Hmetro 19/03/2010,
Siti Nur Zubaidah masih trauma, kelihatan sugul dan enggan bercakap dengan ahli keluarganya, terutama ayahnya. Saya dapat bayangkan, kepercayaan dan perasaan bergantung harap anak ini terhadap ibu dan ayahnya telah HILANG sama sekali! Sanggupkah kita menenggut kepercayaan anak-anak terhadap diri kita sendiri? Bagaimanakah masa depan kanak-kanak ini jika dia tidak lagi mempercayai ibu dan ayahnya sendiri?

Saya masih ingat ketika berusia 10~11 tahun, saya masih tidak tahu memasak, segala keperluan saya seperti pakaian, makanan dan minuman semuanya disediakan mak. [NB: Saya start belajar memasak ketika usia 19 tahun... hik.. hik... Itupun sebab merantau ke negara orang dan terpaksa berdikari]. Apa yang saya buat cuma belajar, bermain teng-teng, zero-point, konda-konde, batu seremban, menonggang basikal dan belajar, serta sekali sekala menonton TV cerita kegemaran saya. Pada usia itu juga, saya sibuk berlatih meniup ‘recorder’ kerana berjaya menempatkan diri dalam pasukan pancaragam sekolah. Leka bermain hingga ke lewat petang, kadang-kadang mak yang jerit, “Pergi mandi, dah nak maghrib ni!” Itulah saya, pada usia 10~11 tahun. Saya percaya, kanak-kanak zaman sekarang juga masih berperangai seperti saya, cuma corak permainan sahaja yang berbeza.

Beberapa kes perkahwinan baru-baru ini seolah-olah mengeksploitasi dunia seorang kanak-kanak. Kita seperti kembali ke zaman 60-an dan 70-an dulu apabila isu kahwin budak timbul kembali. Mungkin benar, dulu budak seusia 10 tahun sudah pandai membasuh, mengemas, menjaga adik dan juga memasak. Ini adalah prasyarat utama bagaimana dulu rata-rata pada usia ini mereka sudah dikahwinkan. Perlu berbalik pada realiti zaman ini, pada usia 10 tahun, kanak-kanak ini masih aktif bermain, belajar dan kurang arif menguruskan diri masing-masing apatah lagi diminta untuk mengemudi sebuah perkahwinan.

SADiS sungguh rasanya melihat dua kes perkahwinan yang berlaku di Kelantan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Jelawang, dan satu lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas. Tidak dapat saya bayangkan, bagaimana perasaannya jika anak saya sendiri dan mungkin ahli keluarga terdekat kita mengalaminya. Perit dirasai apabila zaman remaja kanak-kanak itu dirampas dan tidak akan merasai alam remaja dan terus masuk ke alam dewasa disebabkan tanggungjawab sebagai isteri.

Seorang lelaki fitrahnya, mesti menginginkan si isteri berfungsi dengan baik untuk menguruskan rumah tangga. Saya cuba menggambarkan apakah kesudahannya jika si isteri yang masih lagi kecil ingin terus bermain-main, tidak menguruskan rumahtangga dan gagal untuk mendidik zuriat yang dilahirkan. Suami mungkin boleh bersabar lagi dalam tempoh dua atau tiga tahun pertama tetapi bagaimana tahun berikutnya?

Kanak-kanak berusia 10 tahun secara LOGiKnya, masih belum matang untuk mengetahui hakikat sebuah perkahwinan. Mereka masih perlu didikan dan perhatian ibu bapa. Mereka masih belum punya perasaan tertarik untuk berkasih-sayang dengan kaum berlainan jantina... oh... sudah adakah perasaan sebegitu? Apa yang pasti, MUSTAHiL mereka meminta untuk dikahwinkan.

Seperti di dalam artikel-artikel yang saya titipkan di laman ini (boleh rujuk entry berkaitan seperti yang dinyatakan di bawah), JELAS, perkahwinan yang dilakukan tanpa persetujuan kanak-kanak sememangnya menggugat emosi, sosial, dan perkembangan fizikal kanak-kanak dan ternyata membebankan diri mereka sendiri sedangkan fizikal dan mental mereka masih tidak dapat menerima situasi seperti ini.

Perkahwinan bawah umur tentunya memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak jika keadaan itu berleluasa tanpa ada sebarang sekatan. Kesan yang dapat kita lihat adalah dari segi mental dan fizikal. Kesan mental merujuk kepada tekanan perasaan yang ditanggung kanak-kanak itu apabila dibebani tanggungjawab seorang isteri yang tidak dapat difahami oleh mereka yang masih keanak-anakan. Manakala kesan pada fizikal pula merujuk keadaan tubuh kanak-kanak itu yang tidak mampu memenuhi tuntutan batin suami seperti isteri yang sudah dewasa. Selain itu, apa yang paling penting adalah pendidikan kanak-kanak itu akan terabai kerana dari kecil dibebankan tanggungjawab seorang isteri.

Perkahwinan paksa bagi remaja bawah umur dikenal pasti penyebab utama keciciran golongan ini daripada peluang pendidikan, di samping terdedah kepada komplikasi kesihatan jika mereka hamil dan melahirkan anak pada waktu usia muda.

Bukankah Islam menuntut mereka yang berkahwin agar mencari pasangan yang sekufu? Sekufu bukan sahaja dari segi tahap pemikiran, pendidikan, kualiti hidup (kaya atau miskin) dan juga usia, bak kata pepatah, 'pipit sama pipit, enggang sama enggang'. Jika perbezaan usia sangat ketara seperti anak dengan ayah dan bukan seperti suami isteri selayaknya, adakah mereka sekufu? Ada jaminankah mereka hidup bahagia? Ada jaminankah si isteri tidak dianiaya? TOLAK ke tepi jika mahu memberi contoh perbezaan Rasulullah SAW dengan Aisyah r.a. kerana personaliti, perwatakan, ilmu dan ketaqwaan Rasulullah SAW (dan para sahabat sezamannya) tiada tara tandingan dengan kaum lelaki pada zaman sekarang, perbezaannya seperti LANGiT dengan kerak BUMi rasanya!

Dengan setiap perkara yang berlaku di dunia pada hari ini, kadang-kadang kita sendiri berasa pelik dan hairan dengan tindakan yang dilakukan oleh si ‘pelik punya species’ yang bertunjangkan nafsu. Saban hari kita disogokkan dengan kes perceraian di sana sini, kini ditambah pula yang perkahwinan dengan kanak-kanak? Apa nak jadi dengan masyarakat hari ini? Jangan hanya kata ingin mengikut sesuatu yang dikatakan sunnah semata-mata sedangkan hanya mengikut tuntutan nafsu!
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger