Headlines News :
.
Home » , » Akhlak Pemimpin Wajib Dijaga

Akhlak Pemimpin Wajib Dijaga

Written By Unknown on Saturday, April 17, 2010 | 02:23

Akhlak pemimpin organisasi
Golongan belia dan beliawanis adalah pewaris kepimpinan negara, bangsa dan agama. - Gambar hiasan


KEPIMPINAN adalah satu anugerah daripada Allah SWT. Anugerah ini bukanlah untuk menjadikan mereka yang memperolehinya mulia, namun ia adalah merupakan sebuah amanah yang pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT.
Secara umumnya, setiap individu adalah pemimpin dalam kehidupannya masing-masing, sama ada dia menjadi pemimpin kepada masyarakat, institusi, keluarga atau diri sendiri. Ia sejajar dengan sabda Nabi SAW: Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan disoal pada hari akhirat tentang perkara yang kamu pimpin... (riwayat Muslim)
Justeru, tidak wajar seorang pemimpin jahil dan dangkal tentang apa yang perlu dilakukan terhadap amanah kepimpinannya. Ini kerana amanah tersebut tidak akan dapat ditunaikan melainkan melalui kefahaman dan kesedaran yang mendalam. Tiada alasan yang boleh diterima di hadapan Allah SWT di akhirat sekiranya disebabkan tidak tahu.
Pemimpin dalam sesebuah organisasi biasanya dikaitkan dengan individu yang diberikan pangkat serta kedudukan yang lebih tinggi daripada yang lain. Biasanya, pemimpin-pemimpin organisasi ini mempunyai gelaran yang berprestij, gaji yang lebih lumayan dan manfaat-manfaat tambahan yang lebih menarik berbanding pekerja bawahan.
Semua kelebihan ini layak dinikmati kerana mempunyai tanggungjawab dan bebanan tugas yang lebih berat berbanding pekerja bawahan.
Oleh sebab itu, sangat penting bagi seorang pemimpin untuk memastikan dirinya berkeupayaan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sedaya upaya mungkin.
Secara umumnya, terdapat dua elemen utama yang akan menjadikan seseorang itu pemimpin yang berjaya iaitu al-quwwah (kekuatan) dan al-amanah (integriti). Kedua-dua elemen ini dirangkumkan serentak oleh Allah SWT dalam firman-Nya pada surah al-Qasas ayat 26.
Al-Quwwah bermaksud kemampuan untuk menguasai segala ilmu dan kemahiran. Pemimpin perlu mempunyai segala ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan kedudukannya dalam organisasi yang dinaunginya.
Ia sangat berguna untuk membantunya menentukan hala tuju organisasi yang dipimpin dan untuk mengawal warga kerja yang lain agar bergerak seiring menuju ke matlamat tersebut. Kegagalan melengkapkan diri dengan segala keperluan-keperluan ini, akan menyukarkan pemimpin tersebut untuk membina pengaruh yang meyakinkan pekerja bawahan.
Ilmu dan kemahiran yang perlu ada mungkin berbeza mengikut skop tanggungjawab. Sebagai contoh, sekiranya pemimpin itu berada di sektor institusi kewangan, maka dia perlu menguasai bidang ekonomi secara teori dan praktikal. Bahkan, dia perlu berusaha menjadi pakar dalam sistem ekonomi konvensional mahupun Islam sehingga boleh menjadi sumber rujukan di peringkat dalaman organisasi dan luaran.
Dalam bidang kehakiman, mereka perlu mengetahui akta-akta, enakmen dan peruntukan undang-undang.
Dalam bidang ketenteraan, pemimpin perlu mempunyai kepakaran dalam mengatur strategi, ilmu persenjataan dan risiko-risiko keselamatan. Pendek kata, semua pemimpin perlu menguasai bidang masing-masing.
Kemahiran lain yang perlu ada kepada seseorang pemimpin itu adalah antaranya kemahiran berkomunikasi, mengendalikan mesyuarat, membuat perancangan dan strategi serta lain-lain kemahiran.
Seorang pemimpin juga mestilah bersikap sederhana dalam menggerakkan organisasinya. Iaitu tidak terlalu agresif sehingga menyukarkan pekerja bawahan untuk bergerak bersama. Dia juga tidak patut terlalu lambat dalam gerak kerja sehingga menyebabkan pekerja bawahan kurang yakin dengan keupayaan dan kemampuannya menjadi pemimpin.
Seorang pemimpin juga tidak harus menggunakan kuasanya untuk menegakkan pandangannya sedangkan pandangannya itu secara jelas sangat sukar untuk diterima. Pemimpin juga perlu sabar dan sentiasa bertenang dalam setiap tindakan yang dilakukan. Jangan cepat melenting ketika ditegur atau ditolak pandangannya.
Seorang pemimpin juga perlu memahami keupayaan dan kemampuan orang bawahannya. Dia perlu meletakkan orang yang benar-benar sesuai di posisinya.
Lihatlah contoh terbaik yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika membuat strategi dalam perancangan untuk berhijrah ke Kota Madinah. Baginda telah meletakkan orang-orang yang sepatutnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Baginda melantik Ali bin Abi Talib r.a untuk mengganti baginda di tempat tidur. Baginda telah menugaskan Abdullah bin Abu Bakar r.a untuk menghantar maklumat risikan tentang perancangan kafir Quraisy terhadap baginda.
Baginda juga melantik Asma' Abu Bakar r.a untuk menghantar makanan sewaktu bersembunyi di Gua Tsur. Di samping itu, baginda menggunakan khidmat seorang lelaki yang bukan Islam iaitu Abdullah bin Uraiqith menunjukkan jalan yang berlainan dari jalan yang biasa dilalui oleh masyarakat Mekah untuk ke Madinah.
Baginda juga telah mengupah Amir bin Fuhairah untuk membawa kambing-kambingnya menyelusuri jalan ke Gua Tsur untuk menghapuskan kesan tapak kaki Asma' dan Abdullah yang berulang-alik dari kota Mekah ke Gua Tsur.
Akhirnya, Nabi SAW melantik sahabat yang paling dikasihi dan dipercayainya iaitu Abu Bakar As-Siddiq r.a menemaninya sepanjang perjalanan hijrah tersebut.
Justeru, seorang pemimpin perlu bijak dalam mengagihkan tugasan. Dia tidak boleh bersikap lepas tangan iaitu menyerahkan kesemua tugas kepada pekerja bawahan. Sebaliknya, tugasan-tugasan yang sangat penting terutamanya yang melibatkan proses membuat keputusan sangat memerlukan penglibatan pemimpin.
Sekiranya berlaku kesilapan, sama ada dilakukan oleh pemimpin itu sendiri atau pekerja bawahannya, maka pemimpin berkenaan perlu berani untuk bertanggungjawab.
Seorang pemimpin juga perlu bersikap lapang dada dan terbuka untuk menerima sebarang idea, pandangan dan teguran daripada orang-orang di bawah kepimpinannya. Dia perlu menghidupkan suasana musyawarah, saling nasihat-menasihati dan bantu-membantu.
Gunalah cara yang paling berhikmah dalam memberikan arahan dan menegur orang-orang bawahan. Kawal emosi dan elakkan maki hamun, caci-mencaci dan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah ketika berhadapan dengan pekerja.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam neraka lebih sejauh antara timur dan barat. (riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
Elemen kedua yang perlu ada kepada seorang pemimpin adalah al-amanah. Yang dimaksudkan dengan sifat amanah adalah berintegriti, bertanggungjawab, telus dan jujur.
Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya mengenai keutamaan sifat ini melalui hadis diriwayatkan Imam Ahmad, al-Bazzar dan Tabrani, maksudnya: "Tiada iman bagi orang yang tiada amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak (dipercayai) janjinya."
Sifat amanah bermula daripada kesedaran yang lahir dalam jiwa, kemudian akan terzahir melalui percakapan dan perbuatan. Seorang pemimpin yang mempunyai sifat amanah tidak akan menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadinya.
Sebaliknya, dia akan menggalas tanggungjawab untuk mengaplikasikan syariat Allah SWT melalui jawatan atau posisi yang diduduki.
Sifat amanah biasanya berkait rapat dengan perasaan ihsan yang ada dalam diri iaitu kesedaran bahawa Allah SWT Maha Melihat setiap perkara yang dilakukan.
Kita sedih apabila melihat seorang yang tidak pernah menipu dalam solat walaupun solatnya secara bersendirian, tetapi sanggup membina hidup dengan pembohongan dan penipuan. Apakah dia menyangka Allah SWT hanya melihatnya saat dia bersolat sahaja?
Justeru, kita terkejut melihat individu yang dipertanggungjawabk an dengan jawatan yang tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif sanggup mengambil rasuah, pecah amanah, menggunakan proksi untuk mendapatkan tender dan lain-lain. Sedangkan mereka mempunyai segala kebolehan dan kemampuan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Termasuk juga kekayaan dan kemewahan yang tidak luak digunakan.
Semua itu tidak cukup bagi mereka. Sehingga sanggup untuk melakukan pengkhianatan bagi mendapat habuan dunia. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, Daripada Anas b. Malik r.a , Nabi Muhammad SAW bersabda: Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah-tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesimpulannya, pemimpin adalah individu yang penting dalam sesebuah organisasi. Maka jadilah contoh yang terbaik (qudwah hasanah) kepada pekerja-pekerja bawahan. Jangan mengharapkan orang lain boleh berubah sekiranya kita sendiri gagal untuk berubah.
Jadilah pemimpin yang bekerja seolah-olah nampak Allah SWT, dan sekiranya tidak mampu untuk melihat-Nya, yakin dan percayalah bahawa Allah SWT Maha Melihat.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger