Headlines News :
.
Home » , » Game 6 Liga Super 2011 - Selangor 2-0 Kedah

Game 6 Liga Super 2011 - Selangor 2-0 Kedah

Written By Unknown on Wednesday, March 2, 2011 | 12:42

SELANGOR memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berjaya menewaskan Kedah 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Dua tandukan menerusi Fadzli Saari dan Asraruddin Putra Omar memastikan Selangor mencatat kemenangan ketiga selepas mengharungi enam perlawanan musim ini.

Namun Selangor agak lambat panas pada aksi malam tadi setelah membenarkan Kedah lebih banyak menguasai permainan pada 20 minit pertama. Percubaan berbahaya Selangor hanya hadir pada minit ke-27 tetapi sepakan kaki kiri Amirulhadi Zainal hasil hantaran Amri Yahyah dari sebelah kanan sekadar singgah ke tiang gol Kedah. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 0-0.

Hanya selepas tujuh minit babak kedua berlangsung, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan. Gol pertama Selangor terhasil pada minit ke-52 apabila Fadzli mudah menanduk cantik bola lambungan Hardi Jaafar dari sebelah kiri. Bagi memperkasakan serangan, jurulatih Selangor, K. Devan memasukkan Asraruddin bagi menggantikan Hardi di posisi sayap kiri pada minit ke-65. Namun Selangor hampir dikejutkan lawan pada minit ke-72 tetapi mujur percubaan Azlan Ismail sekadar menggegar palang gol Selangor tatkala Iqbal Suhaimi sudah tergamam.

Seminit kemudian, Selangor melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Nasriq Baharom menggantikan Khairul Anuar Baharum bagi memperkukuhkan benteng pertahanan. Selangor terus selesa apabila berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-80 setelah Asraruddin pantas menanduk masuk bola sepakan penjuru Safiq Rahim dari sebelah kiri.

Lega dengan kelebihan itu, Devan merehatkan Fadzli pada minit ke-82 dengan memasukkan penyerang gantian, Rudie Ramli untuk bergandingan dengan Amri. Kedah pula yang telah memasukkan Wan Asyraf Wan Ali menggantikan Faizal Abu Bakar pada minit ke-65 terus melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-86. Ahmad Shakir Md. Ali dan Hattaphon Bun Ann masuk menggantikan Baddrol Bakhtiar dan Azlan Ismail tetapi tempoh empat minit nyata terlalu singkat buat mereka mencari gol saguhati. Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Selangor kini naik ke tangga keempat Liga Super dengan 11 mata dan masih berada di belakang pendahulu, Kelantan yang sudah mengumpul 14 mata. Perlawanan ketujuh pada 12 Mac depan, Selangor akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk bertemu dengan Negeri Sembilan. Namun Selangor terlebih dahulu bakal melayan kunjungan Harimau Muda B pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat ini setelah mendapat bye pada pusingan pertama.

SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi, 3.Razman Roslan, 5.Khairul Anuar Baharum (6.Nasriq Baharom), 16. Yosri Derma Raju, 15.P. Gunalan, 20.Amirulhadi Zainal, 8.Safiq Rahim, 18.Azidan Sarudin, 14.Hardi Jaafar (4.Asraruddin Putra Omar), 17.Amri Yahyah (c), 23.Fadzli Saari (9.Rudie Ramli).

Simpanan tidak digunakan: 21.Saiful Amar Sudar, 7.S. Sritharan, 24.Fitri Shazwan Raduwan, 25.Fazilidin Khalid.

KEDAH: 25.Abdul Hadi Hamid, 17.V. Thirumurugan, 2.Fauzie Nan, 13.Khairul Helmi Johari, 9.Azmi Muslim, 19.Faizal Abu Bakar (24.Wan Asyraf Wan Ali), 8.Amar Rohidan, 11.Fauzi Saari (c), 18.Khyril Muhymeen Zambri, 7.Baddrol Bakhtiar (12.Ahmad Shakir Md. Ali), 14.Azlan Ismail (26.Hattaphon Bun Ann).

Simpanan tidak digunakan: 22.Muhammad Al-Hafiz Hamzah, 3.Shahril Faizal Sharifuddin, 6.Shafizan Hashim, 21.Sabre Mat Abu.

PENGADIL: Siew Tian Hu.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger