SEBELUM
INTRO : Persiapan ala-ala backpackers ke Cambodia
PART 1 : Jelajah Cambodia (Day 1) - Bandaraya Phnom Penh
SAMBUNGAN
PART 3 : Jelajah Cambodia (Day 3) - Siem Reap dan Angkor Wat
PART 4 : Jelajah Cambodia (Day 4) - Phnom Penh, Killing Fieds dan Central Market
PART 5 : Jelajah Cambodia (Day 5) - Hari terakhir
PART 6 : Jelajah Cambodia - Analisis dan kesimpulan
Bas express ke Siem Reap yang SG naik |
SABTU : 05 OKTOBER 2013
Hari kedua berada di Bandaraya Phnom Penh SG terjaga dari tidur jam 7:00 pagi. Alamak, dah terlewat. Van untuk ke perhentian bas akan pickup kami pukul 7:30 pagi. Menggelupur SG bangun nak bersiap. Tiba-tiba terfikir pula, yang SG pergi tengok jam tangan apa ke halnya. Kan jam tangan ikut waktu Malaysia. Jam di HP ler waktu tempatan yang betul. Baru pukul 6:00 pagi rupanya tapi matahari dah terpacak menyinari alam. Nak sambung tidur semula pun dah tak berselera akibat terkejut beruk tadi. Maka alang-alang dah bangun, terus sajalah membersihkan diri.
Selepas mandi, SG pun masaklah air, bancuh cofee 3 in 1 dan juga masak meggi cup. Nak kata dah darurat, tapi masih boleh terkawal lagi. Cuma dah makan meggi ni disebabkan nak breakfirst kat hotel ni, memang terang-terangan tak halalnya. Nak pergi ke restoran Muslim agak jauh juga dari hotel. Memandangkan van kepunyaan syarikat bas yang akan SG naiki ke Siem Reap ni akan pickup SG ke perhentian bas, maka tak payahlah nak fikir-fikir sarapan kat mana-mana lagi. Belasah saja meggi untuk pagi ni. (Sekurangnya dah jimat untuk pagi ni USD3-USD5. Hehehe) Sudah siap semua bersiap dan mengemas barang, SG dan kawan pun turun ke Lobby untuk check out sambil menunggu dijemput ke perhentian bas.
Pewitttt.. Siap ada stewardess tu. |
Untuk pengetahuan, di Cambodia ni segala urusan perjalanan amatlah mudah. Maksud mudah bagi SG ni ialah kalau kita nak tempah tiket bas, pergi sahaja dimana-mana travel agen yang bersepah-sepah dibandar. Kemudian dah dapat tiket mereka akan tanya kita nak diambil di hotel ke atau pergi sendiri ke perhentian bas. So kalau rasa nak membuang duit lagi untuk servis tuk-tuk bolehlah gatal mulut cakap nak pergi sendiri ke perhentian bas. Kalau nak jimat suruh sahaja mereka pickup di hotel kita menginap. Free je. Tak payah dah nak pening-pening kepala fikir benda-benda yang remeh temeh. Janji bila dia suruh tunggu kat lobby pukul berapa, kenalah kita berada awal dari sebelum itu lagi. Kalau tak, bye-bye.....
Jam 7:45 van kepunyaan syarikat Mekong Express ni pun menjemput SG dan terus dibawa kami ke perhentian bas kepunyaan mereka. Rasanya ada jugalah 3-4 kilometer dari hotel ke perhentian bas ni. Sampai je kami diminta untuk menunjukkan tiket masing-masing. Kemudian mereka letakkan tag mengikut no. kerusi sebelum meletakkan beg-beg di bawah bas. Dah settle segalanya maka SG pun naiklah bas. So nak kata bas ni canggih sangat, tidaklah juga. Biasa-biasa saja. Hanya gah pada nama "express", free wifi, ada toilet dan pelayan wanita. Kerusi sakit badan juga duduk lama-lama. Maka perjalanan pun bermula tepat jam 08:30 pagi. Dahlah dah berzaman betul tak naik bas, nak menghadapi lagi perjalanan 6 jam sejauh lebih 320km lagi tu. Harap SG tak mabuk ler yer..
Beginilah keadaannya bas yang kononnya Express ni |
Selepas bas bergerak, pelayan wanita merangkap pemandu pelancong akan memberi sedikit taklimat. Dimulakan dengan bahasa Khmer dan kemudiannya dengan bahasa Inggeris. Masalahnya SG dengar bunyi Inggeris dia pun lebih kurang cakap Khmer je. Layankan sajalah. Tak lama kemudian setiap penumpang dibekalkan sebungkus biskut dan sebotol air mineral untuk dibelasah dalam perjalanan (Kalau tak bagi pun tak mengapa, SG dah stanbykan makanan ringan dalam beg). Untuk keluar dari kawasan bandaraya Phnom Penh ni bas hanya mampu bergerak perlahan sahaja. Dengan kesibukkan jalan raya oleh tuk-tuk serta motorsikal membuatkan pemandu kena lebih berhati-hati.
Biskut dan air mineral yang diberi secara percuma |
Ketika menyusuri penghujung bandaraya Phnom Penh ini, bas mula melalui perkampungan islam. Kalau tak silap di batu 9 mengikut apa yang diperkatakan oleh pemandu tuk-tuk semalam. Hanya dikawasan batu 7,8 dan 9 ni sahaja yang dihuni kelompok besar masyarakat muslim Melayu Champa di Phnom Penh ini. Dihati SG terasa sayu melihat corak kehidupan mereka. Dari segi rumah memang kebanyakkannya terlalu daif sehinggakan mengikut kata pemandu tuk-tuk ada yang duduk didalam perahu disekitar Sungai Mekong ini. Ternampak juga ada satu rumah sedang membuat majlis bacaan doa selamat yang mungkin ada ahli keluarganya hendak pergi menunaikan haji. Dalam hati kecil SG, InsyaAllah jika ada masa yang terluang sebelum balik ke Kuala Lumpur nanti akan cuba juga SG singgah disini untuk beramah mesra dengan penduduk walaupun hanya sebentar.
Salah satu masjid yang sempat SG snapshot |
Bas terus meninggalkan perkampungan Islam ini. Wajah-wajah kehidupan di Sungai Tonle Sap -Mekong ini terus menghiasi sepanjang perjalanan. Hampir kebanyakkan rumah-rumah dinegara ini tiangnya tinggi-tinggi belaka. Ini disebabkan setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh sekitar kawasan dinegara ini akan ditenggelami air yakni banjir. Selain musim panas (kemarau) dan tengkujuh, musim dingin juga melanda negara ini. Pada kebiasaannya musim panas akan bermula pada pertengahan Januari sehinggalah bulan Mei dan musim tengkujuh pula bermula pada bulan Jun sehingga Oktober serta musim dingin pula berlaku dari bulan November hingga ke Januari. Waktu yang sesuai untuk melawat negara Kemboja ini ialah pada musim panas. Tetapi disebabkan SG ni main belasah jer, maka SG terpaksalah menempuhi musim tengkujuh yang paling paling dasyat iaitu dibulan Oktober.
Apa yang dijual dengan makcik ni pun SG tak tau |
Antara kawasan sawah padi yang masih selamat |
Sebenarnya maklumat-maklumat mengenai cuaca ni bukanlah SG nak ambil port sangat. Ingat musim disana tu lebih kurang macam kat Malaysia sajalah. Tapi persoalan-persoalan mula timbul bila hampir sepanjang jalan lebih banyak pemandangan air dari daratan. Mula-mula terfikir, besar juga Sungai Mekong serta tasik Tonle Sap ni. Sampaikan seperti bas berjalan dikawasan pulau kecil sahaja (berjalan atas ban). Bila ingat-ingat kembali, tak mungkinlah dah melalui Tasik Tonle Sap seawal perjalanan lagi. Pernah mengkaji kat google map taklah sampai macam ni keluasan tasiknya. Bila SG amati kedudukan tiang elektriknya memang sah, ini bukan tasik tapi banjir yang dah memenuhi keseluruhan kawasan sawah padi. Lebih yakin lagi bila tengok pondok di bendang yang hanya nampak atap sahaja. Habis sawah padi. Menurut kata kawan SG yang biasa kesini, tinggi dari jalan raya Highway No. 5 (ban) ni ke sawah padi adalah sekitar 20 kaki. Bagaimanalah kesengsaraan petani-petani disini ye.
Cuba teka ini sungai ke, tasik atau sawah padi? |
Masih ada lagi ke orang yang tinggal kat rumah ni? |
Oleh kerana pemandangan sekelilingnya lebih kepada air, maka mata ni pun makin lama makin layu. Baru 2 jam dalam bas, tapi dah bosan. Nama saja ada wifi percuma, dah masuk password pun tetap tiada network. Cuma yang baiknya sepanjang perjalanan line 3G tetap ada. Kalau nak layan internet tu memang tiada masalah, cuma SG ni nak jimatkan bateri takut kong sebelum sampai destinasi. Ada toilet pun tak boleh guna sebab rosak. Kalau boleh guna pun takkannya SG nak guna. Manalah taukan, ,tengah sedap-sedap melepaskan hajat, bas pula langgar lopak. Maunya air dalam mangkuk tu terkeluar menyembur. adoiiiiii memang mimpi ngeri jadinya nanti. Nk layan tv pun asyik dibukanya karaoke lagu-lagu Khmer saja. Maka kena 3,4 keping biskut dan terus membuta seperti dalam buaian. Tengah sedap-sedap tidur terasa pula semakin lama aircond dah tak sejuk. Malas nak bising-bising SG tetap gagahkan untuk sambung tidur kembali. Kawan SG yang awalnya duduk kat sebelah dah lari kemana tah.
Kampungku sudah berjaya, pembangunan sekeliling |
Sedar-sedar bas dah mula memasuki kekawasan restoran untuk berhenti makan tengahari. Tempat persinggahan kali ini ialah pekan Kampong Thom di negeri Kampong Thom Province. Ketika ini jam dah pun menunjukkan hampir pukul 1:00 tengahari. Dah empat setengah jam mengharungi perjalanan penuh adventure ini. Perut memanglah lapar tapi nak makan kat restauran ni, ampunlah banyak-banyak. Memang tak halalnya. Maklumlah ternampak pula ayam gantung. Nak lepak dalam bas sahaja, driver pula matikan enjin. Kena jugalah turun. So sambil-sambil melayan hisapan rokok tu SG merayau sebentar disekitar pekan Kampong Thom ni. Ajak kawan dia tak nak ikut maka layanlah seorang diri membuat tinjauan. Sempat jugalah beli tabung Mr. Potato. Tak lama pun memantau, 10 minit terus kembali ke bas. Nanti merayau lama-lama kena tinggal pula SG dengan bas. Lagi haru.
Banjiro, banjiro rumah kita naik air.... |
Hotel My Hibiscus |
Terus terang SG dengan kawan ni surrender lain kali nak naik lagi tuk-tuk dengan driver ni. Bawak tuk-tuk pun dah gaya merempit. Giler kentang betullah mamat ni Kalaulah tercabut skru pengikat ni, maunya lurus SG masuk ke rumah orang ataupun masuk longkang. Hampeh betul. Sampai di hotel My Hibiscus ni kami berfikir 3,4 kali nak menginap kat sini. Laman nak masuk ke hotel ni dah banjir. Aduhai. Disebabkan lokasinya juga agak jauh dari kawasan elit dan kami pun tak buat booking online, maka kami arahkan sahaja driver carikan hotel yang lebih dekat dengan pusat bandar. Maka dibawanya kami ke Rithy Rine Angkor Hotel. Nak kata keselesaan memang kawan SG ni kurang berminat, tapi belasah sajalah apa yang ada. Lepas membayar duit tuk-tuk USD5 (+USD1 sebab lari dari lokasi awal), kami check in. USD30 dikenakan kepada kami. Rasanya ikut standart hotel macam ni mahal kot harga yang dikenakan kepada kami. Lantaknyalah, janji ada tempat boleh tidur untuk semalam ni je pun.
Masuk bilik rehat-rehatkan badan dulu. Keadaan bilik nampak ok tapi kelengkapan agak kurang memuaskan. Kettle tiada, bantal pun kurang satu. Cepat-sepat SG bagi tau yang bantal kurang. Sambil-sambil menghilangkan penat, SG contact kawan yang biasa datang kesini untuk bantuan. Nak minta no contact tuk-tuk yang muslim dan pandai cakap melayu. Setelah dapat maka SG pun cepat-cepatlah deal untuk pickup kami yang kelaparan ni pada pukul 5:30 petang. Diluar hujan lebat terus membasahi bumi. Nampak sedikit membantutkan penjelajahan kami. Sambil menunggu di ruang lobby, SG ni pun meninjau-ninjaulah keadaan sekeliling hotel ni. Emmm ada swimming pool. Tapi bila masanya pula nak berenang yer. huhuhu. Dalam hujan lebat tu En. Yunus sampai juga untuk mengambil kami. En. Yunus ini adalah agen pelancongan dan beliau tidak pun mempunyai tuk-tuk. Beliau datang mengambil SG pun menaiki tuk-tuk orang lain dan yang pastinya Muslim dan tahu cakap melayu. Maka pemandu tuk-tuk yang bernama Shukri ini membawa kami ke restauran Haji Musa (Muslim Family Restaurant).
Restauran Haji Musa (Muslim Family Restaurant) |
Masjid Al-Nikmah, Kampung Stoung Thmey, Siem Reap |
Sebenarnya restauran Haji Musa ni bukanlah restauran biasa yang dibuka kepada umum. Ia lebih kepada tempahan awal berkumpulan dan seandainya kalau ada yang singgah untuk makan disini mereka tetap juga menerimanya. Sewaktu SG kesini pun mereka sedang menyiapkan masakan untuk 40 orang pelancong dari Malaysia. Kedudukan restauran ini yang bersebelahan dengan masjid Al-Nikmah (masjid yang dibina melalui dana orang Malaysia). Kampung Stoung Thmey adalah nama perkampungan islam di Siem Reap ini. Disini kami makan yang simple-simple sahaja. Walaupun dah terpandang menu "Daging lembu naik bukit" tapi masih lagi belum berminat nak mencuba pada malam ini. Selepas habis mengenyangkan perut Shukri membawa pula kami ke night market. Lebih kurang 1 km saja dari perkampungan muslim ni. Dsinilah bermulanya agenda menghabiskan duit.
Makanan di Restauran Haji Musa. |
Masuk-masuk sahaja terus landing ditempat menjual batu permata. SG terus terang memang kuranglah berminat sangat nak main permata-permata ni. Tapi kawan SG ni memang hantu batu. So melayankan kawan ni memilih akhirnya SG pun terjebak jugalah membelinya. SG beli dua bentuk sahaja. Satu cincin untuk SG dan satu lagi loket berserta rantai silver untuk isteri kesayangan. Ceewahhh. Cincin berharga USD20 dan Loket pula USD30. Koyak juga RM160 untuk satu kedai ni. Nak memilih loket pun puas jugalah nak berwebcam suruh isteri pilih sendiri. Nasib baik yang dipilihnya dikategorikan murah lagi. hehhehe.
Hujan lebat melanda Night Market |
Tengah seronok-seronok shopping, tiba-tiba blackout pula. Cepat-cepat kedai-kedai disini menghidupkan lampu-lampu kecil. Rupanya boleh dikatakan setiap malam memang akan berlaku blackout dalam 5 hingga ke 10 minit. Apa puncanya SG pun tak tau. Kemudian SG sambar pula t-shirt kenang-kenangan untuk SG sekeluarga. Boleh tahan murah juga harganya. Saiz dewasa berharga USD3 dan untuk saiz budak-budak pula USD2. Merayau-merayau lagi terpadang pula selendang. Tawar menawar akhirnya dapat juga 5 helai berharga USD10. Awek dikedai ni tawarkan juga pembayaran dengan duit RM. Tapi SG tak beminat pun sebab kalau bayar dengan harga RM dah jadi RM40 sedangkan kalau convert USD10 tu baru jadi RM32. Rugi RM8 tu (adakalanya kena bijak juga convert-convert matawang ni).
Disebabkan hujan terus menerus tak berhenti-henti, maka selepas habis shopping kami buat keputusan untuk terus balik ke hotel sahaja. Dalam perjalanan tu kesian juga pada driver tuk-tuk ni. Kami elok jer bertutup canvas dari terkena hujan, tetapi beliau bermain hujan sambil berpayung dan memakai baju hujan. Begitulah menempuhi kehidupan sukar demi sesuap nasi. Sampai di Hotel dia hanya mengenakan bayaran USD5 tetapi kami bagi USD10. Kami memahami kesukaran anda. Masuk bilik SG terus mandi. Rupanya tak ada heater dibilik mandi. Baru nak melayan mandi air suam.
Hasil serbuan malam ini. Koyak juga hampir USD80. huhuhu |
Lepas mandi cepat-cepat buka tv. Cari Channel untuk tengok live game Liverpool vs Crystal Palace. Malangnya Channel dapat, suara dengar tapi gambar tiada. Haram jadah betul. Channel lain elok je. Sampaikan RTM1 pun elok je tengok kat sini. Cuba buka live streaming kat Astro on the go pula. Malangnya tetap tak boleh buka untuk game BPL disebabkan dalam kawasan negara luar. Nasib baik ada alternatif lain. Firtsrowsport masih boleh membantu. Tapi hanya mampu tengok 1 jam sahaja, lepas tu kuota internet dah habis. Wifi hotel pula walaupun dah log in password tetap juga tak boleh nak browser. Akhirya melayanlah game BPL lain sambil tunggu keputusan penuh. Dah tau keputusan maka terus layan tidur pula. Walaupun dalam bas tadi puas tido, tapi tak lena sangat. Dapat bantal dengan tilam memanglah asyik sangat. Kena rehat betul-betul untuk destinasi esok pula di Angkor Wat. Tunggu sambungannya nanti yer.
timing x kena ya..kana time hujan... btw, mahal jg ye brg2 nyer..pakai USD tu...mmg rabak laaa
ReplyDelete