Written By Unknown on Monday, June 28, 2010 | 12:49
SOALAN :
Apakah hukum mewarnakan rambut mengunakan pewarna yang dinyatakan halal, walau pun bermacam-macam warna?
JAWAPAN:
Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.
Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala (tamyish al-sha'r).
Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya) .
Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat dalam Islam.
Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.
Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah.
Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.
Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye.
Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.
Written By Unknown on Sunday, May 23, 2010 | 22:48
Soalan
APAKAH hukumnya jika seorang isteri jatuh cinta terhadap seorang teruna berusia 20-an? Hubungan saya dengan suami sudah tidak sehaluan membuatkan rumah tangga kami goyah.
Suami saya jarang memberikan nafkah. Dia mempertikaikan tanggungjawabnya sedangkan saya bekerja, mendapatkan wang bagi menanggung anak. Ini membuatkan saya bosan.
Bagaimanapun, teruna berkenaan selalu memberikan semangat serta mengambil berat mengenai saya sehingga sanggup menerima saya dan anak jika tiada lagi jodoh bersama suami. Teruna berkenaan mempunyai kekasih hati dan menyatakan kekasihnya itu tidak sesuai dengannya. Malah, teruna itu mendakwa mempunyai keserasian dalam perhubungan. Sehingga saat ini kami masih menjaga batas hubungan cuma perasaan saja yang sering mengganggu saya.
MIEZA, Kuala Lumpur
Jawapan
SEBAGAI seorang wanita yang bergelar isteri, anda hendaklah mengelak daripada jatuh cinta kepada orang lain. Hukumnya haram bercinta dengan orang lain selain suami.
Bagaimanapun, latar belakang keluarga sendiri yang sudah goyah menyebabkan perkara begini berlaku. Untuk mengelak anda terjerumus dalam keadaan dosa kepada Allah dan suami, Islam memberi peluang kepada suami isteri untuk berdamai terlebih dulu. Dengan itu rumah tangga terus dapat dikekalkan.
Islam membenarkan seorang isteri menuntut cerai jika mendapati dia dilayan secara buruk oleh suami seperti tidak diberi nafkah atau ada alasan kukuh menurut syarak untuk berbuat demikian.
Ini termasuk suami jahat sehingga isteri tidak mampu hidup bersama. Rasulullah s.a.w mengingatkan wanita Islam dalam hal ini: "Apabila saja seorang isteri meminta talak kepada suaminya tanpa alasan yang jelas, haram baginya bau syurga." (Hadis riwayat Abu Dawud).
Perceraian penyelesaian terakhir dalam menyelesaikan kemelut keluarga. Dengan itu kedua-dua bekas suami isteri dapat hidup bahagia dengan pasangan masing-masing dalam perkahwinan seterusnya. Islam juga tidak menggalakkan hidup membujang.
SAYA seorang gadis yang memakai tudung serta berpakaian sopan. Saya juga sudah mempunyai teman lelaki. Jika tiada aral saya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan.
Apa yang merunsingkan kini adalah saya tidak dapat menahan nafsu berahi. Saya kerap terbayang melakukan adegan seks bersama lelaki dan jika tidak tahan saya akan melakukan onani. Setiap kali bertemu dengan teman lelaki, nafsu saya semakin meningkat dan dia juga merasakan perkara sama. Bagaimana untuk mengelak perkara berkenaan?
NURIN,
Kuala Lumpur.
Jawapan
SECARA semula jadi manusia diberikan akal dan nafsu. Akal bertujuan mengawal nafsu manusia supaya tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan akhlak dan norma masyarakat. Nafsu pula diberikan Allah untuk memastikan kelangsungan umat manusia.
Islam agama yang memberikan panduan kepada akal dan nafsu supaya manusia tidak terjerumus dalam perkara yang menjatuhkan martabat manusia sendiri.
Kadang-kadang seseorang tidak dapat mengawal nafsu sehingga melakukan hal yang dilarang agama.
Justeru, kita hendaklah segera bertaubat dan berazam untuk tidak melakukannya lagi. Dengan itu kita kembali kepada fitrah kesucian dan penjagaan maruah diri. Dengan akal dan agama, sepatutnya kita dapat mengawal nafsu.
Ada beberapa cara untuk mengelakkan diri daripada menurut hawa nafsu, antaranya ialah: 1) Mengelakkan diri daripada segala perkara yang boleh menaikkan nafsu sendiri seperti melihat lelaki, menonton filem lucah, tinggal sendirian dan sebagainya.
2) Membanyakkan membaca al-Quran dan mendalami agama. Semoga kita bebas daripada kongkongan nafsu dan kejahatan syaitan yang sentiasa menggoda.
3) Puasa juga dapat mengelak diri daripada kejahatan nafsu.
4) Selain itu elakkan daripada bertemu dengan teman lelaki sendirian tanpa mahram. Semua memudahkan syaitan menggoda nafsu manusia ke arah kejahatan.
SEKIRANYA seorang bapa pernah menodai anak perempuannya kemudian dia menjadi wali pernikahannya, adakah sah perkahwinan itu? Ini kerana antara syarat menjadi wali ialah seseorang itu mesti adil.
ANA, Johor
Jawapan
JAWAPAN ANTARA syarat wali ialah ia tidak fasik. Perbuatan menodai anak sendiri adalah perbuatan fasik (derhaka kepada Allah). Dengan sebab itu dia perlu bertaubat. Apabila dia sudah bertaubat, sah perkahwinan itu kerana wali telah memenuhi syarat.
Sebaliknya, apabila wali didapati fasik, gila atau mati, perwalian nikah berpindah kepada wali ab'aad. Contohnya daripada bapa kandung kepada datuk lelaki sebelah bapa ke atas, saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya. Sekiranya tiada lagi perwalian khassah, perwalian berpindah kepada perwalian 'ammah (wali raja).
heading: Hukum pamer gambar manusia di rumah SAYA kurang jelas hukum meletak atau menggantung gambar atau patung manusia, binatang atau objek lain di dalam rumah.
Apakah jenis gambar, patung atau objek yang dibenarkan Islam untuk diletakkan di dalam rumah? Adakah gambar keluarga dan sahabat juga tidak dibenarkan? WAN, Kuala Lumpur JAWAPAN ISLAM melarang meletakkan patung manusia, binatang atau objek lain di rumah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya tuan punya gambar ini akan disiksa pada hari kiamat lalu akan dikatakan kepadanya: "Hidupkan barang yang dijadikan dan sesungguhnya malaikat tidak akan masuk rumah seseorang selagi di dalamnya ada gambar (patung)." (Hadis riwayat Bukhari).
Hanya dalam keadaan tertentu patung dibenarkan seperti yang diriwayatkan dalam hadis bahawa Jibril a.s. pernah meminta izin daripada Nabi s.a.w untuk masuk rumahnya, kemudian kata Nabi kepada Jibril: "Masuklah! Tetapi Jibril menjawab: Bagaimana saya hendak masuk sedang di dalam rumahmu ada cadar dinding yang penuh gambar! Tetapi kalau kamu mahu terus menggunakannya, maka putuskanlah kepalanya atau potonglah untuk dibuat bantal atau buatlah tikar (tikar lantai)." (Hadis riwayat Nasa'i dan Ibnu Hibban) Ia hendaklah tidak sempurna sehingga tidak nampak dibesarkan dan dimuliakan. Begitu juga dengan patung mainan bagi kanak-kanak, ia dibenarkan kerana bukan dibesar-besarkan.
Manakala lukisan benda hidup seperti manusia dan binatang tidak dibenarkan menurut hadis di atas. Bagaimanapun, lukisan pemandangan alam masih dibenarkan.
Fotografi menerusi kamera dan sebagainya, ia diharuskan apabila mematuhi ajaran agama dalam berpakaian dan menutup aurat. Ia juga dilihat berlainan dengan lukisan yang melakar ciptaan sendiri. Mufti Mesir, Sheikh Muhammad Bakhit menyatakan fotografi adalah tangkapan imej kepada benda yang benar menerusi kamera. Cara itu sedikitpun tidak ada larangannya (Qardawi, 1995: 117). Menggantung gambar atau potret di dalam rumah diharuskan apabila memenuhi beberapa syarat. Antaranya, pertama, ia tidak dibesar-besarkan; kedua, bukan gambar orang yang zalim, ateis, berakhlak buruk dan sebagainya; ketiga, tidak mengganggu tumpuan atau khusyuk beribadat; dan keempat, bukan gambar yang bertentangan dengan ajaran agama dan tata susila. heading: Kaedah terbaik bayar zakar APAKAH cara terbaik menunaikan zakat? Adakah kita wajib mengeluarkannya di pusat pungutan zakat atau memberikan terus kepada orang yang layak atau cara ini hanya dianggap sedekah? JOHAN, Pahang. Jawapan ZAKAT boleh dibayar di pusat pungutan zakat atau melalui amilnya (pengutip) atau memberi terus kepada golongan yang layak menerima zakat. Walau bagaimanapun, wang yang dibayar melalui pusat pungutan zakat mempunyai banyak kelebihan. Ini kerana wang yang terkumpul itu akan diagihkan secara sistematik kepada pelbagai golongan yang layak. Berkenaan pemberian sendiri kepada asnaf (golongan yang layak) ia dianggap sedekah adalah tidak tepat. Pengeluar zakat tentu berniat zakat dan bukan sedekah pada awal-awal lagi, sesuai sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan ditentukan dengan niat." HEADING: Sedih tak tahu baca al-Quran SAYA tidak tahu membaca ayat suci al-Quran tetapi saya tahu menunaikan solat fardu. Saya belajar solat sejak kecil ketika di sekolah rendah malangnya sehingga kini saya masih tidak tahu mengaji al-Quran. Saya malu dengan diri sendiri. Jauh di sudut hati saya memang ingin membaca al-Quran seperti orang lain. Saya takut menghadapi hari mendatang dan hampir setiap malam sebelum tidur saya menangis mengenangkan kekurangan saya. WAWA, Johor JAWAPAN ANDA belum terlambat untuk mempelajari al-Quran. Ini kerana banyak tempat seperti masjid dan surau yang menyediakan kelas mempelajari al-Quran. Anda boleh mendapatkan guru al-Quran secara persendirian jika mampu. Kaedah baru membaca al-Quran seperti kaedah iqra' atau qiraati dapat mempercepatkan penguasaan al-Quran. Apa yang penting semangat terus belajar. Di samping itu buanglah rasa malu dan rendah diri dalam mempelajari ilmu terutamanya al-Quran.
Written By Unknown on Saturday, May 22, 2010 | 14:48
Soalan
ADAKAH Islam membenarkan kita menyiram air yang sudah dibacakan surah Yasin ke atas kenderaan yang baru dibeli?
Adakah ia dikira sebagai usaha atau doa?
RAHMAT,
Selangor
Jawapan
DALAM tradisi Islam amalan membaca Yasin dan air Yasin dikira sebahagian daripada ruqyah, iaitu doa dengan menggunakan keberkatan ayat al-Quran.
Ia dikira sebagai sebahagian doa dan usaha di samping usaha lain seperti memasang penggera keselamatan.
Kita hendaklah yakin bahawa hanya Allah s.w.t berkuasa memberikan kebaikan dan kemudaratan.
Allah berfirman: "Dan (orang-orang yang hadir di sisinya (orang yang hendak mati) heboh berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya) ?" (Surah al-Qiyamah ayat 27).
SAYA bercinta dengan gadis Indonesia dan pernah berzina beberapa kali.
Ibu bapa saya tidak mengetahui hubungan cinta kami sehinggalah setahun sebelum gadis itu tamat kontraknya sebelum pulang ke Indonesia.
Saya pernah memberitahu hubungan cinta kami pada keluarga dan ditentang keras orang tua saya.
Pada prinsip orang tua saya dan kebanyakan ahli usrah, seboleh-bolehnya hubungan kekeluargaan akan dikembangkan sesama ahli usrah di mana keturunan dan agama terjaga.
Sudah tentu keluarga saya akan berasa malu jika saya mengahwini gadis Indonesia yang sememangnya bukan ahli usrah.
Saya sangat cintakan gadis ini, saya rasa bertanggungjawab terhadapnya kerana saya yang meragut kesucian gadis ini. Adakah saya perlu maklumkan pada keluarga yang kami pernah berzina? Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
HAIRUN
Selangor
Jawapan
TERLEBIH dahulu anda berdua wajib bertaubat kepada Allah kerana pernah melakukan zina beberapa kali. Anda berdua mungkin tahu ia adalah dosa besar yang tercela dan amat keji.
Bagaimanapun, anda berdua gagal mengawal nafsu dan terjerumus dalam dosa zina. Selain bertaubat dan menyesali perbuatan berkenaan, anda berdua hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Anda berdua dinasihatkan supaya mengelak daripada duduk berdua-duaan terutama di tempat sunyi. Seterusnya anda berdua digalakkan mempercepatkan ikatan pernikahan.
Itulah yang dapat mengelakkan berlaku zina lagi. Saya berpendapat anda perlu menceritakan hal sebenar kepada keluarga. Mudah-mudah mereka dapat menerima kebenaran dan bersabar atas perkara itu.
Bagi ibu bapa yang memahami ajaran Islam dan jiwa anak muda, mereka tentu akan mencari jalan penyelesaian. Mereka tidak sepatutnya menjodohkan anda dengan orang lain lagi di kalangan ahli usrah apabila perkara ini sudah diketahui.
Ini dapat mengelak perkara buruk berlaku kepada keluarga sendiri dan keluarga lain.
Dalam hal ini Allah berfirman: “Lelaki yang berzina tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin dengannya melainkan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu dilarang atas orang yang beriman.” (al-Quran, al-Nur (24): 3)
Written By Unknown on Thursday, May 6, 2010 | 21:51
SOALAN:
Di sini saya ingin ajukan satu soalan, bagaimana hukum pendapatan saya sekiranya saya bekerja di kedai 24 jam yang agak terkenal iaitu 7eleven, kedai ini ada menjual minuman arak, adakah saya termasuk dalam gologan orang yang dilaknat oleh Allah ?
JAWAPAN UZAR :
Secara umumnya, kerja sebagai cashier di pasaraya termasuk 7 eleven adalah halal. Bagaimanapun jika ada orang membeli arak dan melakukan pembayaran di kaunter anda, tatkala itu anda turut mendapat dosa dan laknat Nabi SAW kerana ia dianggap telah membantu pembelian arak itu. Demikian juga jika pekerja itu seorang pembantu yang menyusun dan semak stok arak dan lain-lain yang diharamkan, apa sahaja yang berkait dengan menyusun arak, mempamerkannya adalah berdosa.
Perlu difahami, tidak semua perkara haram sama tahap berat dosanya, ada yang dosa besar dan ada dosa yang lebih kecil. Allah SWT lebih mengetahui, bagi mendapat lebih jelas panduan hukum dalam hal ini adalah hadith Nabi SAW :-
"Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya. " (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah : Tirmidzi : Hadith Gharib : Al-Munziri dalam At-Targhib: Perawinya thiqah )"
Dalam menghuraikan hadith ini dan kaitannya dengan cashier :-
Ertinya : Pemakan harta dari jualan arak yang dibeli pelanggan : iaitu samada untuk diminum atau untuk dijadikan barang dagangan melalui wakil ( Mirqat al-Mafatih, 6/22)
Ertinya : Dari Jabir r.a berkata ia mendengar Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Mekah, sesungguhnya Allah dan rasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan berhala. ( Riwayat al-Bukhari, 2/779)
Secara ringkasnya, ini bermakna kerja sebegini boleh menyebabkan pendapatannya bercampur halal dan haram. Keadaan ini boleh diselesaikan dengan memperuntukan sedeqah sebahagian dari harta setiap bulan kepada faqir miskin. Ia bergantung kepada iman kita, jika ingin rasa lebih tenang, sedeqahlah dalam jumlah yang wajar dengan keterlibatan penjualan arak tadi.
Adapun jual kondom di 7 eleven agak sedikit berbeza, kerana kita tidak dinafikan ada suami isteri yang membelinya juga, ia adalah halal
Adapun, bagi yang berlagak bagai suami isteri lalu membelinya untuk perzinaan mereka, cashier yang tidak mengetahui tidak terlibat dalam dosa tersebut, kecuali jika dalam sesetengah keadaan ada cashier yang mempunyai rakan-rakan muda yang diketahui kaki berzina, lalu meminta bantuan untuk membeli kondom dari kedai yang dijaga oleh rakannya. Ketika itu, bantuan itu menjadikan tindakannya adalah haram dengan dosa besar. Wallahu'alam.
Sebagai akhirnya, saya berasa lega kerana di beberapa buah pasaraya, mereka memisahkan kaunter pembayaran barangan tidak halal dibuat di kaunter khas yang dijaga oleh bukan Islam. Ia baik bagi menjaga kebajikan pekerja Islam.
p/s: td tengah tulis berita pasal syarikat yg suruh pekerja subahat jual arak..mcm duty free dan 7e..terlog off ,hilang suma tulisan...hmm. .letih... aku kopi paste je lah cross ref. kat atas tu...ada jugak cara menghalalkan yg haram ea...
Written By Unknown on Sunday, March 28, 2010 | 12:20
Soalan:
BENARKAH setiap kali mengadakan hubungan seks, kita kehilangan 500 kalori, iaitu sama seperti berjoging?
Diharap doktor dapat memberi penjelasan.
DRPD:
IZHAM
Ipoh, Perak
Jawapan Dr.;
Hubungan keintiman seksual boleh diibaratkan satu senaman menyeluruh, yang mana semua otot badan dalam keadaan aktif serta perubahan yang berlaku kepada metabolisma badan yang meningkat ketika hubungan seksual lancar, selain peningkatan tekanan darah dan degupan jantung ke tahap cemerlang.
Ia juga meningkatkan pernafasan dan aktiviti otot pernafasan yang cergas serta pengeluaran hormon Oxytocin dan Beta-Endorfin yang menyegar dan merangsang syahwat.
Jadi tidak salah jika aktiviti itu dikatakan memerlukan penggunaan tenaga yang banyak, seakan-akan menggunakan tenaga untuk `lari pecut 100 meter' yang mana 200-500 kalori digunakan.
Tidak salah juga jika dikatakan aktiviti hubungan seksual sungguh menyegarkan badan dan kesihatan jika kerap dilakukan.
Malah, kajian yang pernah dijalankan di Australia menunjukkan hubungan seksual mengurangkan kemungkinan mati cepat (sudden death), mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pasangan dan meningkatkan jangka hayat pasangan jika tahap kesihatan mereka mengizinkan.
Jadi kepada pasangan yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat, tidak bersenam, obes dan kerap mengalami tekanan, hubungan seksual menjadi bebanan dan mereka akan mencari alasan untuk tidak melakukannya.
Jadi untuk yang merasa letih dan lesu selepas bersama, pastikan anda amalkan gaya hidup sihat, lakukan senaman berkala dan jaga berat badan.
Insya-Allah, hubungan keintiman seksual anda akan berkekalan sepanjang hayat.
SOALAN:
SAYA pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berusia 24 tahun dan bakal menamatkan pengajian.
Sebelum ini, saya menjalin hubungan percintaan, tetapi putus di tengah jalan. Kemudian saya bertemu dengan seorang lelaki berusia 50-an yang masih bujang.
Saya bercinta dengannya bukanlah atas dasar harta atau kekayaan, tetapi kerana kasih sayang serta kematangannya. Kami menjalin hubungan cinta tanpa pengetahuan ibu bapa saya.
Bagaimanapun, hubungan kami ini direstui keluarganya. Dia juga sudah menyampaikan hasrat untuk menjadikan saya isterinya selepas tamat pengajian.
Masalahnya, saya tidak berani untuk memberitahu keluarga mengenai perkara ini kerana faktor usianya yang hampir sebaya dengan mereka. Saya takut hubungan ini tidak mendapat restu dan menimbulkan masalah di kemudian hari. Bagaimanapun, pada masa sama, saya mencintai dia sepenuh hati.
Apakah jalan terbaik yang harus saya lakukan tanpa melukakan mana-mana pihak? Saya harap Dr dapat membantu saya dalam hal ini.
drpd:
Gadis buntu
Shah Alam, Selangor
JAWAPAN:
ADIK beruntung kerana sudah menemui insan istimewa sebagai teman hidup. Kata pujangga, 'Hidup tanpa cinta ibarat taman tidak berbunga'.
Ketakutan untuk memberitahu keluarga mengenai kekasih yang lebih tua 20 tahun daripada adik sebenarnya banyak dipengaruhi perasaan adik sendiri. Dr tidak pasti apa yang adik maksudkan dengan 'takut bahawa hubungan ini akan menimbulkan masalah'.
Adakah ia merujuk kepada masalah yang akan timbul akibat tidak mendapat restu ibu bapa atau masalah yang timbul kerana adik sendiri tidak yakin untuk melalui kehidupan bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih berusia?
Sebelum berani memperkenalkan kekasih kepada keluarga, adik sendiri perlu berhadapan dengan perasaan sendiri. Tanya kepada diri sendiri sejauh mana adik boleh menjalani kehidupan berumah tangga dengan seorang lelaki yang dipanggil ayah (dari segi umurnya)?
Berupayakah adik menerima kekasih seadanya daripada semua segi termasuk kekuatan dan kelemahan dirinya di tengah-tengah perasaan cinta terhadapnya? Selain itu, adik juga perlu bersedia menerima reaksi berbeza daripada keluarga, adik-beradik, jiran dan orang ramai jika adik berkahwin dengannya?
Ada yang dengan mudah dapat menerima pilihan adik dan ada juga yang perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan bakal suami. Contohnya, ada yang akan menganggap adik berdua pasangan ayah dan anak, bukannya suami isteri. Adik juga perlu menerima kemungkinan untuk hidup keseorangan pada umur yang masih muda.
Jika adik bersifat jujur terhadap perhubungan, mungkin tidak sukar untuk adik memperkenalkan kekasih kepada keluarga. Adik boleh meyakinkan keluarga jika mereka menimbulkan persoalan atau isu mengenai perhubungan ini.
Antara contoh yang mungkin dibangkitkan oleh keluarga ialah seperti gaya pemikiran yang berbeza, isu kesihatan pasangan dan kepuasan seksual (apabila bersuami lelaki separuh umur), jangka masa lama perkahwinan dan sebagainya.
Jika adik sudah berkeyakinan untuk melalui kehidupan berumah tangga dengan lelaki tua, adik tiada masalah meyakinkan keluarga mengenai pilihan hati. Segala persoalan yang dibangkitkan boleh dijawab dengan baik.
Apa yang penting ialah adik boleh menerima realiti bahawa berkahwin dengan lelaki tua akan menghadapi masalah tersendiri. Dengan bersikap jujur dengan perasaan sendiri, adik akan berlaku adil kepada kekasih dan juga keluarga. Adik juga tidak akan melukakan hati kedua-dua pihak.
Tidak ada salahnya berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua jika adik bersedia menerima dirinya seadanya, dengan kekuatan dan kekurangan. Seperti perhubungan lain, tentunya, setiap perhubungan ada kebaikan dan masalahnya.
Pasangan lebih berumur selalunya dilihat lebih matang daripada segi gaya berfikir, mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil. Ini adalah bonus kepada perkahwinan nanti.
Dalam perhubungan berumah tangga, penting bagi pasangan untuk berkongsi banyak perkara di samping mencari persamaan dan perbezaan. Perbezaan yang wujud bukanlah penghalang kasih sayang, tetapi lebih kepada menerima dan menghormati perbezaan itu.
Cari apa yang menyebabkan adik tertarik dengan pasangan. Buat senarai dan lihat kembali senarai itu jika perkahwinan nanti menghadapi masalah.
Soalan
SAYA mempunyai seorang kawan yang bukan beragama Islam, tetapi dia mempunyai keinginan untuk belajar membaca al-Quran. Apakah hukum orang yang bukan beragama Islam memegang al-Quran?
AKMAL
Kelantan
Jawapan
KEINGINAN kawan bukan Islam untuk membaca dan mempelajari al-Quran sangat baik.
Al-Quran adalah kitab mukjizat yang banyak memberi hidayah kepada manusia.
Dengan itu hasrat beliau perlu disambut baik. Islam pula membenarkan bukan Islam membaca dan mempelajari al-Quran supaya dapat membuka hati kepada ajaran Islam yang sebenarnya.
Dalam pada itu anda boleh menerangkan kepada beliau kedudukan kitab suci al-Quran yang perlu dihormati dan dijaga.
Ini jelas apabila Allah berfirman: “Bahawa sesungguhnya itulah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci [al-mutahharun] .” (al-Quran, al-Waqi‘ah (56): 77-79)
Berkenaan hukum bukan Islam memegang al-Quran terdapat perselisihan pendapat.
Ada pendapat yang tidak membenarkan bagi menjaga kesucian al-Quran.
Ini termasuk kepada wanita dalam haid, mereka yang berhadas besar, tidak berwuduk dan juga bukan Islam. (al-Quran, al-Tawbah (9):28).
Ada pendapat yang membenarkannya. Ini termasuk kepada kanak-kanak yang belum baligh kerana masih tidak mukallaf. (Ibn Rushd, 2000: I: 72-73; 83-84).
Sebab perselisihan adalah berpunca daripada kefahaman ayat surah al-Waqi‘ah di atas. Antaranya berkenaan maksud istilah al-Mutahharun, ia sama ada bermaksud umat manusia (Bani Adam) atau malaikat.
Seterusnya perselisihan timbul sama ada ia suatu bentuk khabar (pernyataan) yang membawa kepada larangan atau semata-mata penyataan tanpa ada larangan.
Dengan itu memegang al-Quran (mushaf) dalam keadaan biasa adalah diharuskan apabila dapat dijaga kesuciannya.
Written By Unknown on Friday, March 12, 2010 | 13:23
Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini. Sempena Maulidur Rasul, elok sangat jika kita buat ulangkaji pesanan junjungan besar kita, Rasulullah SAW, iaitu khutbah terakhir baginda ketika melakukah haji wida'. Semoga semua pesanan baginda tersemat di hati dan menjadi amalan kita sehari-hari.
SOALAN : Apakah inti pati haji wida'?
JAWAPAN : Terdapat lapan perkara utama yang disebutkan oleh baginda SAW dalam khutbah tersebut. Secara ringkasnya :
Pertama, pengharaman riba kerana berkaitan dengan masalah ekonomi umat.
Riba pertama yang diharamkan oleh baginda adalah yang diterima oleh bapa saudaranya, Abbas Abdul Mutalib. Ini menunjukkan dalam melaksanakan hukum Allah, tidak boleh pilih kasih. Sebaliknya ia perlu bermula daripada keluarga sendiri. Sabda Rasulullah SAW, “Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”
Kedua, perlindungan jiwa manusia.
Mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu. Ia disebut untuk mengelak kita daripada jangan senang-senang hendak mencabut atau membunuh orang. Sebab itu diturunkan ayat tentang qisas dalam surah al-Baqarah ayat 179. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliah (sebelum Islam) telah diampunkan. Kata Nabi SAW, tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi'ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail. Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”
Ketiga, menghindari peperangan.
Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri.
Keempat, kesama-rataan hak wanita.
Isteri itu adalah amanah Allah kepada suami dan mereka juga mempunyai hak tertentu seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sabda Nabi, Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.
Kelima, menghalang penindasan.
Hal ini banyak berlaku sekarang. Pendek kata, Nabi berpesan supaya jangan kita menyalah gunakan kuasa untuk menindas orang lain.
Keenam, persamaan nilai kemanusiaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”
Islam tidak meletakkan orang Arab lebih istimewa daripada orang ajam (bukan Arab). Warna kulit bukan pengukur sebaliknya tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang menentukan kedudukannya di sisi Allah. Ini sebagaimana sabda nabi SAW yang bermaksud, “Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah...”
Ketujuh, banteras sistem monopoli.
Umat Islam kini perlu mencari jalan menghapuskan sistem ini jika ia wujud. Para ulama berkata, suatu hari nanti kamu kena berhati-hati dengan monopoli. Antara contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.
Kelapan, al-Quran dan sunnah sebagai panduan.
Nabi meninggalkan dua khazanah ini kepada umat Islam. Sabda Nabi yang bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.
SOALAN : Mutakhir masih ada golongan wanita yang memperjuangkan emansipasi. Adakah benar Islam mendiskriminasi wanita?
JAWAPAN : Dakwaan itu tidak tepat. Islam meletakkan lelaki dan wanita itu sama kedudukannya. Ini dijelaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 35. Dalam ayat tersebut antara lain Allah menjelaskan bahawa orang lelaki dan wanita yang beriman itu sama-sama mendapat pengampunan dan pahala yang besar.
Sebaliknya kalau kita perhatikan khutbah Nabi SAW itu tadi, dijelaskan wajib bagi suami menjaga kehormatan isteri jangan dizalimi atau merendah-rendahkan mereka. Waima jika bertengkar sehingga ke tahap perlu menghukum, suami dilarang memukul sehingga mencederakan. Yang dimaksudkan memisahkan tempat tidur bagi isteri yang ingkar itu bukanlah tidur berasingan tetapi tidur dengan membelakangkan isteri.
Sebab itu, kita disuruh bermusyawarah dengan isteri untuk mencapai kesepakatan. Kita disuruh berbuat baik dan memberi layanan mesra kepada isteri selagi mana mereka setia dan jujur melaksanakan perintah Allah.
Dari segi memikul tanggungjawab, kaum wanita juga memainkan peranan mencegah kemungkaran. Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dan orang lelaki dan perempuan yang beriman itu setengahnya menjadi penolong kepada setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan... (Surah at-Taubah, ayat 71)
Dalam hal masuk syurga pun tidak disebut lelaki masuk dahulu daripada wanita. Ini boleh dirujuk dalam firman Allah dalam ayat 195 surah ali-'Imran yang antara lain menyebut Allah tidak akan mensia-siakan amal soleh lelaki dan perempuan. Pada akhir ayat itu dijelaskan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa syurga sebagai pahala di sisi-Nya.
SOALAN : Nabi SAW sudah mengingatkan umatnya tentang berbuat adil dan jangan menindas. Apa pengajarannya?
JAWAPAN : Memang kita disuruh berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat. Jangan gunakan kuasa kita untuk menindas orang lain. Saidina Umar semasa melantik kakitangan kerajaan ada menulis watikah bahawa mereka itu adalah wakil kepada rakyat. Justeru, hendaklah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Jika mereka (rakyat) datang hendaklah kamu melayan dengan baik.
Rasulullah SAW juga melarang keras perbuatan memperkosa harta atau hak orang lain. Sebabnya ia memberi kesan yang amat buruk. Kerajaan Fathiniah misalnya, hanya menyedari kepentingan menunaikan hak rakyat seperti membina sekolah dan hospital di saat kerajaan mereka jatuh. Sayangnya, semua itu sudah terlambat. Kesan daripada penganiayaan akan membawa kepada pemberontakan dan demonstrasi yang akan menggugat keamanan sesebuah negara. Dalam realiti semasa, umat Islam perlu menguasai ekonomi untuk maju. Dengan demikian, barulah kita boleh keluar daripada status Negara Dunia Ketiga.
SOALAN : Nabi berpesan agar umatnya sentiasa patuh kepada al-Quran dan sunah untuk elak daripada sesat. Demikian juga dengan mafhum Allah bahawa kaum muslimin itu adalah bersaudara. Namun, masih timbul juga pertelingkahan dan perpecahan dalam umat Islam. Bagaimana mengatasi hal ini?
JAWAPAN : Imam al-Ghazali berkata, Nabi SAW bimbang umatnya kelak akan berhadapan dengan serangan yang akan merobohkan prinsip-prinsip Islam. Ia datang daripada musuh-musuhnya dan juga dari luar. Hari ini, kita dapati banyak buku yang dibawa masuk dari luar. Oleh itu, kita perlu merujuk ia kepada al-Quran dan sunah untuk elak disesatkan oleh bahan tersebut.
Kedua, nabi juga bimbang pada akhir zaman, berlaku kekacauan ilmu dan amaliah sehingga menjadikan kita kepada sifat berlebihan atau ekstrem. Sedangkan kita disuruh bersederhana.
Ketiga, bimbang penyimpangan mengatasi kebenaran. Ini adalah penyakit dari segi ilmu. Ia melibatkan rasa riak. Apabila berlaku perselisihan, kita tidak mencari penyelesaian.
Adalah disarankan kita mengambil pandangan ulama seperti Sheikh Rashid Redza. Kata beliau, sepakat kita saling bekerjasama dalam hal persetujuan dan saling faham memahami kita dalam perkara yang berselisih atau berbeza. Sebab itu, adalah malang apabila kita melihat insiden pengeboman di Pakistan. Marahkan orang lain, rakyat biasa yang menjadi mangsa pengeboman. Walhal, Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya, “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan orang Muslim yang lainnya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud; “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”
Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran. Sebab itu, perlu kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat dalam hal-hal furu'. Kita perlu bertanya, banyaknya persatuan Islam itu ke mana semua hendak pergi. Kalau ia menghala ke arah kebaikan Islam, maka teruskan tetapi jangan sampai mentakfirkan (mengkafirkan) umat Islam.
SAYA ada mendengar beberapa perkara mengenai pil perancang, tetapi tidak tahu kebenarannya.
Adakah benar pil pencegah kehamilan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim jika diambil untuk tempoh yang lama? Adakah cara lain yang lebih selamat untuk mencegah kehamilan selain pil perancang? Apakah kesan sampingannya?
Adakah benar melakukan seks dengan kerap walaupun dengan hanya satu pasangan boleh menyebabkan kanser pangkal rahim?
MARIA
Kuala Lumpur
---------
KINI, pangkal rahim atau pintu rahim lebih dikenali sebagai serviks. Benar ada kaitan antara pil pencegah kehamilan dengan insiden kanser serviks.
Ini berdasarkan kajian dulu yang melihat pesakit kanser serviks dan didapati lebih ramai yang pernah mengambil pil pencegah kehamilan berbanding yang tidak mengambilnya.
Maka, andaian asal adalah pil pencegah kehamilan menyebabkan kanser serviks.
Namun apabila dikaji dengan lebih lanjut, ada pendapat bercanggah mengenai hasil kajian ini memandangkan pesakit kanser serviks terbabit turut mengamalkan aktiviti seks berbilang pasangan dan mengambil pil itu untuk mencegah kehamilan.
Sebaliknya, pendapat yang menyokong hasil kajian asal mendebatkan teori kemungkinan hormon dalam pil pencegah kehamilan mengubah keadaan permukaan serviks sehingga mencetuskan pembentukan kanser.
Pil pencegah kehamilan adalah antara kaedah yang berkesan dengan syarat anda perlu mengambilnya mengikut peraturan.
Keunikan kanser serviks berbanding kanser lain ialah ia boleh dicegah kerana ia mempunyai suatu peringkat penyakit yang mudah dikesan dan jika penyakit ini dirawat, ia dapat mengelakkan kanser serviks.
Sebaliknya jika penyakit ini tidak dirawat, ia boleh berubah kepada kanser.
Penyakit ini dinamakan CIN (Carcinoma Intra-epithelial Neoplasia) yang boleh disaring menggunakan ujian pap smear dan jika disyaki, ia kemudian boleh disahkan melalui ujian histopatologi ke atas biopsi serviks.
Malangnya, di negara kita, masih ramai yang tidak menjalani ujian saringan pap smear ini.
Saya menceraikan isteri secara tebus talak kira-kira setahun lalu. Selepas bercerai, kami berkawan baik kerana sering menguruskan kebajikan anak. Saya sering berjumpa bekas isteri sehingga kami mengambil keputusan untuk bernikah semula. Namun, saya diberitahu seorang rakan bahawa tidak boleh bernikah semula dengan bekas isteri kerana cerai secara tebus talak adalah perceraian bain kubro. Harap tuan jelaskan kepada saya apakah perceraian khuluk sebenarnya, benarkah ia cerai bain kubro serta benarkah saya dan bekas isteri tidak boleh bernikah semula.
Ahmad Husaini,
Kajang.
Jawapan:
JARANG ada pasangan yang bercerai dapat mengekalkan hubungan baik sebegini. Tahniah kerana tuan mampu mengekalkan keadaan harmoni dengan bekas isteri demi kebaikan dan kepentingan anak.
Seperti kita maklum, perceraian ialah perbuatan halal tetapi amat dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talak." (Hadis riwayat Ibn Majah)
Di sebalik perbuatan halal yang dimurkai Allah itu, perceraian ialah penyelesaian untuk memberi nafas baru kepada pasangan suami isteri yang tidak dapat lagi hidup bersama atas pelbagai sebab.
Antara perceraian yang dibenarkan syarak ialah khuluk atau tebus talak iaitu hak diberikan kepada isteri yang mahu membebaskan diri daripada suami apabila tidak mampu meneruskan hidup bersama suami atas sebab tertentu selain sebab fasakh atau taklik.
Menurut jumhur ulama, khuluk harus dilakukan dengan memulangkan mas kahwin atau pembayaran lain sekalipun kadarnya melebihi mas kahwin yang dianggap makruh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Janganlah seorang lelaki (suami) mengambil daripada perempuan yang menuntut khuluk melebihi apa yang diberikan kepadanya." (Riwayat al-Darul Qutni)
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas mengenai isteri Thabit Qais yang mengadu kepada Nabi SAW kerana tidak senang dengan kekufuran suaminya. Lalu Baginda bertanya: "Adakah kamu sudah memulangkan kebunnya? Ya, jawab isteri Thabit, lantas Baginda berkata kepada Thabit: Terimalah kebunmu dan ceraikanlah dia dengan satu talak."
Kehendak hukum syarak ini selari peruntukkan mengenai khuluk dalam Seksyen 49 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang antara lain memperuntukkan: "Jika jumlah bayaran tebus talak tidak dipersetujui pihak itu, mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut hukum syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak itu."
Seksyen 49 juga memperuntukkan mengikut subseksyen (1): "Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaan sendiri, tetapi pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak itu, mengarahkan suami melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tidak boleh dirujuk."
Berkenaan perceraian bain sughra, berdasarkan hukum syarak, bain adalah talak yang tidak membolehkan suami rujuk isterinya walaupun dalam tempoh edah dan talak jenis ini dibahagi kepada dua talak bain sughra dan bain kubro.
Bain sugra adalah talak yang memerlukan seorang suami mengakad semula akad nikah dengan isterinya jika suami mahu kembali hidup bersama dengan bekas isterinya. Talak yang termasuk dalam kategori ini adalah cerai secara fasakh dan cerai khuluk atau tebus talak.
Sementara bain kubro ialah cerai talak tiga atau talak ketiga dengan suami hanya boleh menikahi semula bekas isteri selepas ia bernikah dengan suami kedua, bersetubuh dan berlaku perceraian seterusnya menjalani edah. Suami pertama dibolehkan menikahi bekas isterinya dengan akad baru.
Talak yang tidak membolehkan pasangan bernikah selama-lamanya ialah perceraian yang berlaku disebabkan lian atau sumpah dibuat suami terhadap isteri yang dituduh berzina atau apabila suami menafikan anak yang dikandung isteri zuriatnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, khuluk adalah termasuk dalam kategori talak bain sugra iaitu tidak boleh dirujuk walaupun dalam tempoh edah namun pasangan boleh berkahwin semula dengan akad yang baru.
Oleh itu, jika tuan mengambil keputusan untuk memulakan semula hidup bersama dengan bekas isteri, maka tuan boleh mengahwini bekas isteri dengan akad nikah yang baru.
Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah.
SAYA berkahwin empat tahun lalu dan dikurniakan sepasang cahaya mata. Tahun lalu, isteri saya berhenti kerja kerana majikannya berpindah ke luar negara. Secara kasar, dengan pendapatan yang ada, saya masih mampu menampung keperluan rumah tangga serta membayar ansuran rumah, kereta dan motosikal. Isteri hanya menjaga anak bongsu kerana anak sulung dijaga ibu saya sejak kecil. Masalahnya, isteri saya belum dapat menyesuaikan diri menjadi suri rumah sepenuh masa dan selalu menyuruh saya membuat kerja rumah yang boleh dilakukannya hanya kerana dia berasa bosan. Apabila saya enggan melakukannya, beliau akan bercakap secara kasar hingga bilik tidur. Saya tahu kerja suri rumah tiada hentinya, tetapi wajarkah isteri menyuruh saya? Ia mendatangkan tekanan kepada saya yang mengharapkan kebahagiaan dalam perkahwinan. Saya berusaha meringankan bebannya dengan menguruskan makan pakai sendiri dan membelikan keperluan dapur. Saya tidak faham apa yang disibukkan isteri kerana rumah kami kecil saja. Kami selalu bertengkar dan saya selalu mengingatkan isteri supaya bercakap lembut dengan suami. Saya tidak pernah memukulnya dan tidak pernah mengadukan hal ini kepada sesiapa demi menjaga maruahnya. Namun, saya takut akan hilang sabar suatu hari nanti. Apa yang harus saya lakukan.
Suami Makan Hati,
Kuala Lumpur.
------------ --------- ----
Terima kasih atas soalan saudara dan semoga ia menjadi iktibar untuk semua pasangan lain. Kami berpendapat, saudara sebagai suami mesti berbual dan berbincang dengan isteri berkaitan masalah ini dari hati ke hati.
Niat anda mengharapkan kebahagiaan adalah suatu yang baik. Secara jujur, isteri yang pernah berkerja dan kemudian berhenti untuk menjadi suri rumah sepenuh masa akan mudah berasa bosan apabila melakukan kerja sama setiap hari.
Apatah lagi jika suami pulang dari kerja, tiada langsung bertanyakan khabarnya. Saudara wajar memahami keadaan itu.
Sebenarnya, cara berkomunikasi penting dalam sesebuah perkahwinan. Masalah yang sering berlaku dalam rumah tangga hari ini ialah pasangan gagal berkomunikasi. Suami pula selalu beranggapan isteri tinggal di rumah hanya membuat kerja rumah senang, wajar duduk diam dan tidak boleh bersuara. Pandangan sebegini perlu diubah.
Apabila perkahwinan masuk tahun keempat, kebiasaannya kasih sayang yang tidak disuburkan akan semakin pudar dan mula mencari kesilapan satu sama lain. Perasaan kasih sayang seharusnya dibina setiap hari, walaupun sekadar ucapan terima kasih atas apa yang isteri lakukan.
Isteri yang tidak bekerja jarang mengharapkan hadiah mahal, tetapi ucapan terima kasih dan ucapan selamat sudah cukup mengubat kepenatan seharian menguruskan rumah tangga. Suami perlu kerap bertanyakan khabar, bercerita dan membiarkan isteri meluahkan perasaannya.
Cubalah bawa isteri bersiar-siar di tempat yang disukainya atau menghadiahkan sesuatu supaya isteri sentiasa rasa dihargai.
Amalkan bersolat secara berjemaah, membaca al-Quran dan makan bersama isteri dan anak. Kadang kala ada isteri yang ingin suaminya turut sama memasak, mengemas rumah dan bermain dengan anak apabila suami ada di rumah.
Layan kemahuannya sekadar yang munasabah. Saudara juga wajar memberi jalan dan menggalakkan isteri ke majlis ilmu seperti kuliah agama hujung minggu untuk wanita di masjid tempat tinggal anda. Ia akan meluaskan pandangannya di samping menambah ilmu dan kawan baru. Semua ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapinya.
Amalan solat berjemaah dan bersama-sama melakukan sesuatu aktiviti amat digalakkan dalam Islam kerana boleh menanamkan rasa hormat dan kasih sayang antara suami isteri. Rumah tangga dibina bukan demi memenuhi tuntutan nafsu dan kasih sayang semata-mata, tetapi sebagai satu ibadat untuk mendidik isteri ke jalan Allah.
Isteri yang berasa dihargai dan selamat dalam naungan suaminya tidak akan bercakap kasar tanpa sebab munasabah kerana suami itu sendiri sudah menanamkan keimanan yang teguh di dalam hati isteri.
Sebagai teladan, Rasulullah SAW sangat sabar dan lembut dalam bergaul bersama isteri Baginda. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna adalah mukmin yang baik akhlaknya dan paling lembut terhadap keluarganya.”
Baginda sentiasa berpekerti sopan, berbudi bahasa mulia dan menghormati wanita seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Tidaklah orang yang memuliakan wanita kecuali orang yang mulia, tidaklah orang yang menghinakannya (wanita) kecuali orang yang hina.”
Walaupun Baginda SAW adalah pemimpin agung umat Islam, baginda turut membantu isteri membuat kerja rumah seperti pergi ke pasar, menjahit pakaian sendiri dan turut beriadah seperti berlumba lari dengan isteri Baginda.
Saidina Umar yang terkenal sebagai seorang sahabat Rasulullah SAW yang tegas dan garang juga tidak memberi maklum balas negatif atau mengherdik isterinya walaupun isterinya berleter dan meninggikan suara kerana beliau memahami tekanan serta psikologi isteri yang kepenatan seharian dengan urusan rumah tangga.
Jika semua cadangan di atas sudah anda lakukan, tetapi isteri masih tidak berubah, tegur dan nasihatkan isteri dengan berhikmah, bukan dimarahi dengan kasar di samping sentiasa berdoa untuk kebaikan bersama.
Asingkan tempat tidur dan jika sudah melampaui batas, pukul setakat untuk mengajarnya dengan menggunakan benda lembut untuk menginsafkannya. Bersabar dan berlembut dalam mendidik isteri kerana ia adalah amanah yang anda terima ketika menikahinya.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.
Sepupu saya, dua tahun lebih tua daripada saya, dibela oleh kedua-dua ibu bapa saya sejak dilahirkan. Biasanya dia tidur di bilik atau di atas bangku panjang di ruang tamu. Beberapa kali dia masuk bilik, menggoda dan merayu, lalu akhirnya tanpa rela saya menjadi mangsanya.
Setelah beberapa kali keterlanjuran ini berlaku saya memintanya mengahwini saya, tetapi dia enggan biarpun dia telah bekerja. Dia juga meminta supaya saya memutuskan hubungan dengan teman lelaki. Saya keliru dan tidak tahu jalan mana yang mesti dilalui.
- Ros, Hulu Kelang.
Jawapan
Dalam surah Al-Isra:32, Allah menjelaskan agar semua orang jangan menghampiri zina. Dalam ayat ini Allah SWT melarang seseorang itu daripada “menghampiri zina.” Kerana sekiranya seseorang itu berupaya mematuhi perintah Allah dengan menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang menghampirkan diri daripada zina, maka zina itu dengan sendirinya dapat dielakkan.
Perbuatan menghampiri zina itu terlalu banyak, atau lebih mudah bermaksud perbuatan yang merangsang nafsu untuk melakukan zina, termasuklah gambar-gambar separuh bogel, yang menggairahkan yang ditayang di televisyen, iklan-iklan, surat-surat khabar, telefon bimbit dan sebagainya.
Kita sering melaungkan supaya setiap orang itu berakhlak mulia, jangan minum arak, jangan merempit dan sebagainya, tetapi iklan-iklan arak, pertandingan merempit terus menerus ditayangkan, secara tidak langsung menggalakkan untuk melakukannya.
Allah menetapkan undang-undang itu untuk kesejahteraan manusia, iaitu mencegah sejak awal lagi daripada berlaku sesuatu larangan. Kerana manusia itu sekiranya berupaya dia menjauhkan diri daripada tindak tanduk yang mendorong atau merangsang berlakunya zina.
Setiap perbuatan yang boleh merangsang nafsu syahwat dianggap boleh mendorong kepada perbuatan zina, tidak kira ia merupakan rangsangan secara khusus, rangsangan sampingan atau semata-mata pendorong yang ditambah oleh rangsangan-rangsang an lain.
Allah SWT menegah lelaki dan perempuan berkhalwat, berdua-duaan kerana apabila hal demikian berlaku makhluk yang ketiga ialah syaitan, yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan kejahatan.
Dorongan lain ialah seperti menonton wayang separuh bogel, tayangan yang menjolok mata di televisyen, melihat gambar-gambar di akhbar, majalah, iklan-iklan, menonton perempuan berbaris di tepi-tepi kolam mandi sama ada untuk tujuan pertandingan atau semata-mata memperagakan seluar dan baju mandi. Semua ini boleh merangsang nafsu syahwat yang boleh menghela kepada perbuatan zina. Perbuatan seperti ini termasuk dalam larangan yang jelas seperti tersebut dalam ayat tadi.
Atas dasar ini, mereka yang bekerja, tidak kira di mana, sama ada bekerja dengan surat khabar, terlibat dengan tayangan gambar di pawagam-pawagam, badan penyiaran, termasuk mereka yang melukis kartun-kartun yang menyebabkan pembaca atau penonton terangsang nafsu syahwat, orang seperti ini, secara langsung ataupun tidak langsung adalah terlibat dengan larangan tadi.
Termasuk dalam larangan ini ialah mengunjungi tempat-tempat hiburan, muzik yang romantis, mengkhayalkan, menyediakan ruang lelaki, perempuan menari berpeluk-pelukan, apatah lagi disertai dengan minuman keras.
Islam menganggap arak itu ibu segala kejahatan, kerana itu Islam melarang manusia bergaul dengan mereka yang bukan muhrim, muzik dan nyanyian yang mengkhayalkan, mengasyikkan dan perbuatan minum arak.
Semua mereka yang berfikir waras tidak akan menafikan kemudaratan yang lahir daripada kegiatan seperti ini. Walaupun begitu tidak semua orang berupaya untuk akur dengan keburukan-keburukan yang lahir, biarpun ia menyedari apa yang sebenarnya berlaku.
Termasuk dalam larangan seperti ini ialah amalan bekerja yang melibatkan lelaki dan perempuan di satu tempat yang terpencil, jauh daripada manusia biarpun atas alasan menjalankan tugas.
Iman
Betapa tebal iman seseorang, kalau ia melibatkan lelaki, perempuan dewasa, duduk berdua-duaan berjam-jam pada malam hari, kemungkinan akan tunduk kepada kehendak nafsu. Kerana itulah Rasulullah memberi amaran supaya seseorang tidak memelihara kambing di tepi perigi, dikhuatiri ia akan termasuk ke dalam perigi oleh itu amalan seperti ini perlu dielakkan.
Masalah yang saudari hadapi agak rumit kerana ia melibatkan sepupu yang tinggal bersama sejak kecil. Mungkin saudara tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya dan menganggapnya sebagai sebahagian dalam keluarga, tetapi saudari tidak dapat membaca gelora nafsunya terhadap diri saudari. Biarpun dia merayu berulang kali pada malam hari, akhirnya saudari mengaku kalah dan menjadi korban nafsunya.
Saudari sepatutnya mempunyai pendirian yang tegas, menyedari perbuatan sepupu yang masuk ke dalam bilik adalah perbuatan yang terlarang dan berniat jahat. Apa motif seorang lelaki yang masuk ke bilik seorang perempuan pada malam hari, merangkak dari atas bangku panjang ke dalam bilik kalau tidak kerana untuk melepaskan nafsunya.
Telah berulang kali dia memujuk rayu, bererti dia telah masuk dalam bilik saudari beberapa kali, kenapa pintu tidak dikunci atau saudari boleh menghalaunya keluar pada awal percubaannya memujuk atau memberi amaran daripada awal dengan memberitahu kepada kedua-dua ibu bapa saudari.
Kerana saudari membiarkan hal tersebut berlarutan, dia merasakan adanya satu ruang untuk menyampai hasrat nafsunya, lalu terus menerus memujuk rayu dan akhirnya saudari lemas dalam paksaan.
Memang benar, bukan mudah bagi mereka yang terlibat dengan perbuatan seperti ini bertindak, memberi amaran, menghalau keluar dari bilik, menjerit, memberitahu orang tua dan sebagainya, apatah lagi sekiranya ia melibatkan orang yang dipelihara dan membesar dalam rumah sendiri, kerana ia akan melibatkan maruah diri. Tetapi dalam menangani masalah seperti ini, jalan lain memang tiada selain berbuat demikian.
Menganggap
Masyarakat Melayu menganggap perempuan dara yang terlibat dengan persetubuhan di luar nikah, dianggap sebagai “kelapa ditebuk tupai”.
Untuk memberitahu kedua-dua orang tua atau membuat aduan kepada pihak berkuasa juga sukar dilakukan, kerana ia melibatkan kehormatan keluarga. Semakin lama kes seperti ini di mahkamah, maka semakin meluas khabar atau aib diri itu tersemat dalam ingatan masyarakat, kerana itu sebahagian mereka lebih suka mendiamkan diri.
Sepupu saudari membalas kebaikan kedua-dua ibu bapa saudari dengan menodai saudari. Ia enggan untuk mengahwini saudari dan melarang saudari memberitahu sesiapa. Juga meminta saudari memutuskan hubungan dengan teman lelaki saudari. Apa tujuan di sebalik larangan tersebut, selain daripada untuk memperalatkan diri saudari menjadi penggalas nafsunya.
Cara terbaik ialah berbincang mengenai bencana yang telah berlaku, kepada kedua-dua orang tua. Semoga saudari mendapat nafas baru, bersifat tegas, berjalan dengan tegak bukan menapak sambil membaling batu-batu hitam di hujung jari.
Saudari perlu insaf dan sedar segala-galanya adalah di tangan saudari. Ketika ini saudari tidak perlu memikiri lelaki yang memusnahkan hidup saudari itu adalah sepupu. Semakin lama bertahan seperti yang ada sekarang, saudari akan lebih berhadapan dengan keadaan yang bercelaru dan tidak keruan, apatah lagi manusia yang memusnahkan masa depan saudari itu tinggal sebumbung.
Saya menerima saman daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang meminta hadir ke mahkamah. Suami saya memfailkan permohonan untuk berpoligami. Jika saya tidak bersetuju dengan permohonan itu apakah yang perlu saya lakukan. Perlukah saya hadir ke mahkamah? Jika saya tidak hadir, adakah suami masih boleh dibenarkan untuk berpoligami oleh mahkamah.
Isteri risau,
Banting.
Jawapan:
Tatacara permohonan poligami di Negeri Selangor diterangkan dalam subseksyen 23 (1) hingga (10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Menurut subseksyen 23 (5) enakmen itu: "Apabila menerima permohonan (suami untuk berpoligami) itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar."
Puan bernasib baik kerana bermastautin di Selangor kerana tidak seperti di beberapa negeri lain: Isteri pertama atau isteri sedia ada di Selangor wajib disaman untuk hadir ke mahkamah untuk menjawab permohonan suaminya yang ingin berpoligami.
Apabila saman diterima, puan sebagai pihak defendan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menjawab permohonan suami itu. Seksyen 64 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 memberi hak kepada defendan yang mempertikaikan keseluruhan atau sebahagian tuntutan plaintif, untuk memfailkan suatu pembelaan mengikut cara yang ditetapkan.
Pembelaan itu boleh difailkan sama ada sebelum tarikh sebutan yang mana si isteri perlu hadir, atau difailkan pada tarikh sebutan berkenaan, atau pada suatu tarikh lain yang dibenarkan mahkamah.
Puan juga berhak untuk melantik peguam syarie yang mempunyai Sijil Amalan Peguam Syarie Negeri Selangor untuk mewakili puan dan bertindak bagi pihak puan dalam prosiding berhubungan tuntutan yang difailkan itu.
Kehadiran puan bukan semata-mata untuk membela diri, malah ia juga untuk kepentingan dan masa depan anak. Kehadiran puan juga boleh membantu mahkamah membuat keputusan adil, yang lebih disukai Allah dan lebih hampir kepada kebenaran.
Menurut subseksyen 23 (5)(a) hingga (d), semua empat kriteria perlu dipenuhi oleh suami yang berhasrat berpoligami, iaitu:
l Bahawa perkahwinan itu adalah patut atau perlu;
l Suami mampu menanggung semua isteri dan tanggungannya dan orang yang bakal menjadi tanggungan;
l Suami berupaya memberi layanan sama adil kepada semua isterinya;
l Perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada.
Jika puan berasakan suami tidak dapat memenuhi salah satu atau semua kriteria itu, puan hendaklah mengemukakan keterangan dan bukti kepada mahkamah.
Puan juga boleh menuntut supaya mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah puan dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).
Puan juga boleh menuntut supaya mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinan puan dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.
Ia adalah suatu kesilapan besar jika puan tidak hadir setelah saman diterima. Mahkamah masih boleh meneruskan permohonan suami walaupun tanpa kehadiran puan.
Subseksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan: "Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran, defendan tidak hadir, mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya. Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-apa penghakiman mengenai tuntutan plaintif di bawah (1) (b), mengikut mana-mana berkenaan, mengangkat sumpah istizhar.
Hak puan sebagai isteri sudah diperuntukkan dalam undang-undang. Manfaatkanlah sebaik-baiknya supaya puan dan anak tidak teraniaya. Jika puan tidak berapa arif mengenai undang-undang, lantik peguam syarie bertauliah untuk mewakili puan. Semoga jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu puan membuat tindakan sewajarnya.
Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http:\\www.peguamsy arie.org. my
Saya berumur 36 tahun, berpendidikan tinggi dan bekerja di syarikat swasta yang agak terkenal. Saya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak. Suami saya seorang yang panas baran dan tidak pernah memberi nafkah sejak mula berkahwin hingga kini. Saya sudah tidak tahan dengan sikap suami dan kami kini dalam proses perceraian. Suami bersetuju menceraikan saya dan kini peguam kami sedang membincangkan isu nafkah anak. Ketika proses perceraian ini, secara kebetulan saya terjumpa kekasih lama selepas hampir 20 tahun terpisah. Awalnya saya cuba mengelak daripada berhubungan dengan bekas kekasih saya itu, tetapi akhirnya hubungan kami menjadi rapat. Kebetulan, bekas suami saya juga memberitahu bahawa rumah tangganya turut berhadapan masalah. Walaupun tinggal berjauhan kami berhubungan menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas. Akhirnya kami mengakui masih saling menyayangi. Malah, saya terfikir apabila proses perceraian selesai, saya sanggup menjadi isteri kedua kepada bekas kekasih saya itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangganya. Masalahnya sekarang perasaan saya jadi keliru kerana saya tidak yakin dapat berkongsi kasih dengan isteri bekas kekasih saya dan pada masa sama, saya tidak mahu kehilangan bekas kekasih saya itu. Apa yang perlu saya lakukan?
Nur Zamzam,
Melaka.
------------ --------
Kasih sayang, cinta dan rindu adalah emosi manusia yang sukar untuk diubahkan. Sama juga benci dan dendam. Seolah macam tidak dapat hendak dikawal. Namun, kita semua tahu bahawa mengawal perasaan dan tidak bertindak ikutkan perasaan adalah wajib untuk menjadi manusia yang waras dan adil serta lurus di jalan Allah.
Justeru, dalam berusaha menahan diri daripada melakukan perkara tidak sepatutnya, saya nasihatkan puan supaya memastikan pergaulan dengan bekas kekasih itu tidak melampaui batasan pergaulan dalam Islam.
Berdasarkan status, puan masih isteri orang sehingga kes perceraian selesai. Jika ingin berhubungan, jangan bercakap perkara yang melanggar syariah atau menjurus kepada perbincangan yang tidak sepatutnya.
Mengadakan perhubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin adalah berdosa jika membawa kepada perbuatan sumbang dan dilarang. Sebaiknya tunaikan solat istikharah supaya diberi petunjuk oleh Allah mengenai jodoh yang sesuai. Sukacita diingatkan bahawa jodoh seseorang itu adalah ketentuan Tuhan dan kita hendaklah berikhtiar.
Usah pula rasa bersalah atas niat untuk berkahwin dengan suami orang, tetapi biarlah jalannya mengikut peraturan yang ditetapkan syarak dan pihak berkuasa. Cerita daripada kekasih hanya cerita sebelah pihak saja.
Berjumpa dengan isteri kekasih untuk mendengar penjelasan beliau pula. Takut-takut keluar mulut harimau masuk mulut buaya kerana kekasih bukan lagi orang yang puan kenal dulu dan peristiwa dilalui sejak zaman persekolahan boleh mengubah tingkah laku beliau.
Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan. Ia juga mempunyai hikmat dan manfaat besar kepada umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Sama ada cintakan suami orang itu boleh membawa kebahagiaan atau tidak, bergantung kepada sistem pengurusan keluarga.
Beberapa tip untuk persediaan mental ke arah mengamalkan poligami, langkah pertama ialah menghapuskan mitos bahawa mencintai suami orang itu satu tindakan merampas, poligami akan membawa kepada ketidakadilan atau sukar untuk membahagikan kasih sayang.
Sebenarnya kasih sayang ibarat hujan. Ia tidak dibahagikan tetapi semua orang akan basah jika ditimpa hujan walaupun berada di tempat berlainan. Bukan bererti dua orang yang berada di suatu padang akan basah separuh saja apabila ditimpa hujan.
Langkah kedua ialah mendapat persetujuan semua pihak. Isteri pertama jangan menganggap bahawa dia lemah, tidak pandai menjaga suami apabila suaminya berkahwin lagi. Dan paling penting, suami yang mempunyai lebih daripada satu keluarga mestilah berlaku adil.
Walaupun tidak mudah untuk berlaku adil tetapi tidak mustahil, jika dimulakan dengan niat atas dasar iman. Adil bukan maksudnya semuanya sama tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan.
Semua pihak perlu ada kesepakatan untuk menangani masalah di masa depan. Banyak konflik besar bermula daripada konflik kecil yang tidak dikendalikan dengan baik. Apatah lagi jika emosi menjadi perkasa ketika konflik.
Written By Unknown on Thursday, March 11, 2010 | 14:08
Disiarkan pada Feb 22, 2010
dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
Beberapa pihak telah mengulas tentang hukuman sebat yang dikenakan oleh pihak berkuasa agama ke atas beberapa orang wanita muslimah. Saya ditanya berulang kali tentang hal ini. Berikut adalah beberapa perkara penting yang ingin saya sentuh;
1. Sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi (zina dan meminum arak) adalah sebatan yang tidak mencederakan. Ini hendaklah dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau, sebaliknya sekadar pengajaran. Bahkan dalam hadis, ada yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.
Ini amat berbeza dengan sebatan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil. Jika sebatan yang dilaksanakan itu –inilah juga yang dimaklumkan oleh pihak berkenaan- tidak mencederakan, atau menimbulkan kesakitan yang melampau, maka ia sesuatu yang mempunyai unsur-unsur islamik, dan itu lebih baik dari memenjarakan mereka berbulan atau bertahun yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka. Membantah perlaksanaan hukuman tersebut adalah tidak wajar.
2. Persoalan yang patut juga diambil berat; bagaimanakah proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum? Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum. Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses situ bercanggah dengan nas-nas Islam.
Hal ini telah disebut oleh ramai sarjana sejak dahulu seperti al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), begitu juga Sayyid Qutb, Dr al-Qaradawi dan ramai yang lain. Para sarjana menyebut bahawa antara syarat Amar Makruf dan Nahy Munkar: An yakuna al-Munkar Zahiran min ghair tajassus (Hendaklah munkar itu zahir kelihatan tanpa intipan).
Bagi yang memahami bahasa Arab mereka boleh membaca bagaimana hampir semua tulisan berkaitan Amar Makruf dan Nahy Munkar yang ditulis oleh berbagai penulis meletakkan syarat tersebut. Sila lihat dalam internet begitu banyak artikel berbagai sarjana di peringkat antarabangsa yang mengingatkan tentang syarat ini. Hanya mereka yang primitive sahaja yang mengintip maksiat peribadi orang lain.
Saya telah tulis beberapa artikel tentang hal ini. antaranya artikel Bila Yang Nyata Dibiar, Yang Tersembunyi Dicari. Maka jika wanita-wanita tersebut dicemari hak mereka secara intipan lalu dihukum, maka itu menyanggahi ruh islami. Namun, jika mereka melibatkan diri dalam maksiat terbuka seperti di pusat-pusat hiburan, pentas-pentas lakunan dan seumpamanya, mereka layak dihukum.
3. Hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil (not only be fair but seen to be fair). Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi taukeh-taukeh atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak dalam kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.
Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan. Maka pihak berkuasa agama hendaklah jujur dengan rakyat, dan berani membawa empunya, atau pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun ‘kelompok yang dianggap kebal’ dalam negara ini.
4. Kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama. Nabi s.a.w dalam berbagai riwayat menunjuk cuba mengelak dari mengambil kes-kes zina dan memberikan berbagai alasan agar pelakunya tidak dihukum. Kes Maiz bin Malik dan berbagai yang lain menunjukkan baginda Nabi s.a.w tidak mahu kes-kes ini diteruskan ke peringkat hukuman, sebaliknya baginda mementing taubat individu berkenaan.
5. Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi ‘tangkap khalwat’ begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamirkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya. Pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi yang seperti ini hendaklah diambil tindakan kerana mencemarkan maruah agama yang mulia ini dan maruah orang lain.
6. Hendaklah dielakkan gambaran bahawa negara ini kerap menghukum wanita. Apakah mereka melakukan kesalahan bersendirian? Amat membimbangkan, imej Islam yang sering dikaitkan media Barat dengan Malaysia akan menyebabkan mereka menyangka ini merupakan cara Islam yang selalu menghukum wanita, dan tidak pula menonjolkan hukuman terhadap lelaki yang terbabit. Maka, hukuman terhadap lelaki-lelaki yang terbabit juga hendaklah diumumkan dengan jelas dan media diminta menyiarkannya bersama.
7. Beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman ini hendaklah berhati-hati. Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga bukan muslim, jangan mereka mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, itu boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara dalam negara yang harmoni ini.
8. Usaha menerapkan unsur-unsur Islam dalam negara ini merupakan satu usaha baik dan disanjung. Namun, dalam konteks negara moden, proses ini hendaklah dibuat dengan teliti dan berhati-hati. Negara beragama adalah tuntutan, tetapi negara autocratic agama amat menakutkan. Beberapa pengalaman Pakistan dan Afghanistan yang lepas patut diteliti. Maka, badan pemantau kepada perkembangan ini yang terdiri dari cendiakawan- cendiakawan muslim yang terbuka dan tidak sifat orthodoxy perlu diwujudkan untuk memberi pandangan balas kepada kerajaan.
Written By Unknown on Wednesday, February 24, 2010 | 03:50
Saya merupakan seorang suami yang mempunyai 2 orang isteri. Saya mempunyai 3 orang anak dari isteri pertama dan mempunyai seorang anak dari isteri kedua.
Saya mempunyai beberapa harta yang ingin saya serah dan bahagikan kepada anak-anak saya selepas kematian saya. Saya berhasrat untuk mewasiatkan harta-harta tersebut mengikut apa yang saya fikirkan adil kepada anak-anak saya.
Bagaimanapun, saya musykil kerana menurut pandangan dari beberapa rakan termasuk seorang ustaz, saya tidak dibenarkan untuk mewasiatkan harta kepada ahli waris. Saya keliru dengan siapa yang dikira sebagai ahli waris kerana saya juga telah melihat beberapa produk yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan yang membenarkan saya untuk membuat wasiat kepada anak-anak saya.
Hassan, Kuala Lumpur.
JawapanWasiat diharuskan dalam Islam kerana ianya membawa faedah kepada diri pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya. Bagaimanapun, wasiat dalam Islam berbeza dengan wasiat dalam undang-undang sivil.
Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.
Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri tuan juga merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika tuan meninggal kelak. Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya berbunyi;
“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.
Merujuk kepada kes tuan, tuan boleh untuk melaksanakan wasiat kepada bukan waris. Bagaimanapun, wasiat kepada bukan waris tersebut tidak boleh melebihi dari 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta-harta tuan kepada anak-anak tuan yang juga merupakan ahli waris. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 dari nilai harta juga boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat persetujuan waris. Harus diingat, persetujuan yang dibuat oleh waris hendaklah diperolehi selepas kematian pewasiat kerana hak tersebut hanya muncul selepas kematian pewasiat.
Pewasiat juga boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya kerana wasiat bukan suatu akad yang wajib, malahan harta yang diwasiatkan juga masih lagi menjadi milik pewasiat dalam tempoh hayatnya.
Merujuk kepada gambaran tuan kepada produk-produk yang ditawarkan, tuan perlu mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dari pengeluar produk-produk tersebut. Apa yang dikhuatiri ianya tidak menepati kehendak syarak. Tuan juga wajar meneliti setiap produk yangditawarkan agar ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas kematian tuan kelak.
Hak Isteri Yang Didera Untuk Mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara.
Saya telah berkahwin 5 tahun yang lalu.di awal perkahwinan suami saya seorang yang baik lemah lembut dan penyayang.Setelah saya melahirkan anak kedua kami, suami saya telah mula berubah menjadi seorang yang pembengis dan panas baran. Saya selalu dipukul, disepak dan diterajang sehingga badan saya lebam-lebam di hadapan anak-anak saya dan saya juga pernah dikurung dan tidak dibenarkan pergi bekerja kerana cemburu . Tidak cukup dengan memukul saya suami saya juga sering memaki hamun saya dengan perkataan kesat seperti “perempuan tak guna” perempuan tak tahu malu” . Saya pernah meminta dia ceraikan saya tetapi dia telah pujuk saya dan berjanji akan berubah serta tidak akan memukul saya lagi. Namun begitu tidak sampai pun sebulan dia mula pukul saya balik apabila saya tidak dapat menyediakan makanan kesukaaannya akibatnya saya telah dipukul dan ditendang sehingga berdarah. Di Atas bantuan jiran saya telah berjaya keluar dari rumah bersama-sama anak-anak saya.Namun begitu saya sekarang ini telah menerima beberapa ugutan dari suami yang dia akan cederakan saya dan anak-anak jika saya tidak kembali semula kepada. Saya sudah tidak tahan lagi dengan siksaan dan deraannya dan tidak tahu dimana tempat untuk mengadu .Adakah saya mempunyai hak perlindungan di bawah undang-undang dan bolehkah saya minta fasakh?
Azimah rawang.
Jawapan
Saya amat bersimpati dengan apa yang menimpa puan dan saya berharap agar puan tabah dan bersabar untuk menghadapi dugaan ini. Apa yang berlaku ke atas puan adalah suatu kekejaman dan kebiadapan yang melanggar batas kemanusiaan. Kes keganasan rumah tangga di dalam Masyarakat kita pada hari ini semakin meningkat dan berada di tahap yang amat membimbangkan dan memerlukan pembelaan yang sewajarnya.
Oleh yang demikian, Puan sebenarnya mempunyai Hak di bawah Undang-undang Akta keganasan rumah tangga 1994. Saya menasihatkan puan agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana hospital yang berdekatan dan juga membuat aduan terhadap keganasan yang dilakukan terhadap puan di mana-mana balai polis yang berdekatan .
Seterusnya puan juga sebenarnya berhak mendapatkan perintah perlindungan sementara (interim protection order/IPO).sepertim ana yang diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.melalui perintah ini puan akan dilindungi daripada sebarang gangguan daripada pihak suami sementara menunggu siasatan polis selesai.bagi tujuan perintah perlindungan ini saya menasihatkan agar puan mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) dan puan perlulah mengemukakan dokumen-dokumen seperti kad pengenalan , sijil perkahwinan puan, laporan polis, laporan perubatan serta apa-apa dokumen yang berkaitan kepada JKM untuk siasatan. Jika sekiranya JKM mendapati kes ini tergolong dalam kes keganasan Rumah tangga , maka JKM akan membantu puan dalam menfailkan satu permohonan untuk mendapatkan Hak perlindungan sementara di Mahkamah Majistret. Setelah mahkamah mengeluarkan perintah tersebut, maka JKM akan menyerahkan satu salinan kepada puan dan suami puan.
Jika sekiranya suami puan didapati melanggar perintah tersebut, maka suami puan boleh didenda tidak lebih daripada RM2,000.00 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali serta boleh di kenakan hukuman di bawah undang-undang jenayah sepertimana diperuntukkan di bawah Kanun Kesiksaan.
Puan juga boleh mendapatkan perintah perlindungan secara menhalang suamik puan daripada melakukan kekasaran ke atas puan dengan memohon perintah injunksik dari mahkamah syariah. Beberapa syarat dan permohonan perlu dipenuhi dan sebaiknya dapatkan nasikhatg dari peguam syarie.
Selain dari itu puan juga mempunyai hak untuk bercerai dengan suami puan secara fasakh sepertimana di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana diperuntukkan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya, termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak. Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar serta menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan yang kukuh untuk menuntut fasakh. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah mereka yang baik dengan isterinya. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu.”.
Oleh yang demikian, Puan boleh menggunakan laporan polis, laporan perubatan serta perintah perlindungan sementara ini sebagai bukti untuk menyokong permohonan fasakh puan tersebut.
Saya juga menasihatkan agar puan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam syari’e yang bertauliah dan berpengalaman bagi melicinkan proses permohonan fasakh puan . Jika sekiranya puan tidak mampu untuk melantik peguam, puan bolehlah mendapatkan bantuan daripada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman.
Jawapan ini disediakan oleh Yusmawati Binti Ab.llah Exco Penerbitan PGSM.