Headlines News :
.
Home » , » Salahkah gadis kahwini lelaki berusia 50an?

Salahkah gadis kahwini lelaki berusia 50an?

Written By Unknown on Sunday, March 28, 2010 | 12:19

SOALAN:
SAYA pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berusia 24 tahun dan bakal menamatkan pengajian.

Sebelum ini, saya menjalin hubungan percintaan, tetapi putus di tengah jalan. Kemudian saya bertemu dengan seorang lelaki berusia 50-an yang masih bujang.

Saya bercinta dengannya bukanlah atas dasar harta atau kekayaan, tetapi kerana kasih sayang serta kematangannya. Kami menjalin hubungan cinta tanpa pengetahuan ibu bapa saya.

Bagaimanapun, hubungan kami ini direstui keluarganya. Dia juga sudah menyampaikan hasrat untuk menjadikan saya isterinya selepas tamat pengajian.

Masalahnya, saya tidak berani untuk memberitahu keluarga mengenai perkara ini kerana faktor usianya yang hampir sebaya dengan mereka. Saya takut hubungan ini tidak mendapat restu dan menimbulkan masalah di kemudian hari. Bagaimanapun, pada masa sama, saya mencintai dia sepenuh hati.

Apakah jalan terbaik yang harus saya lakukan tanpa melukakan mana-mana pihak? Saya harap Dr dapat membantu saya dalam hal ini.

drpd:
Gadis buntu
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN:
ADIK beruntung kerana sudah menemui insan istimewa sebagai teman hidup. Kata pujangga, 'Hidup tanpa cinta ibarat taman tidak berbunga'.

Ketakutan untuk memberitahu keluarga mengenai kekasih yang lebih tua 20 tahun daripada adik sebenarnya banyak dipengaruhi perasaan adik sendiri. Dr tidak pasti apa yang adik maksudkan dengan 'takut bahawa hubungan ini akan menimbulkan masalah'.

Adakah ia merujuk kepada masalah yang akan timbul akibat tidak mendapat restu ibu bapa atau masalah yang timbul kerana adik sendiri tidak yakin untuk melalui kehidupan bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih berusia?

Sebelum berani memperkenalkan kekasih kepada keluarga, adik sendiri perlu berhadapan dengan perasaan sendiri. Tanya kepada diri sendiri sejauh mana adik boleh menjalani kehidupan berumah tangga dengan seorang lelaki yang dipanggil ayah (dari segi umurnya)?

Berupayakah adik menerima kekasih seadanya daripada semua segi termasuk kekuatan dan kelemahan dirinya di tengah-tengah perasaan cinta terhadapnya? Selain itu, adik juga perlu bersedia menerima reaksi berbeza daripada keluarga, adik-beradik, jiran dan orang ramai jika adik berkahwin dengannya?

Ada yang dengan mudah dapat menerima pilihan adik dan ada juga yang perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan bakal suami. Contohnya, ada yang akan menganggap adik berdua pasangan ayah dan anak, bukannya suami isteri. Adik juga perlu menerima kemungkinan untuk hidup keseorangan pada umur yang masih muda.

Jika adik bersifat jujur terhadap perhubungan, mungkin tidak sukar untuk adik memperkenalkan kekasih kepada keluarga. Adik boleh meyakinkan keluarga jika mereka menimbulkan persoalan atau isu mengenai perhubungan ini.

Antara contoh yang mungkin dibangkitkan oleh keluarga ialah seperti gaya pemikiran yang berbeza, isu kesihatan pasangan dan kepuasan seksual (apabila bersuami lelaki separuh umur), jangka masa lama perkahwinan dan sebagainya.

Jika adik sudah berkeyakinan untuk melalui kehidupan berumah tangga dengan lelaki tua, adik tiada masalah meyakinkan keluarga mengenai pilihan hati. Segala persoalan yang dibangkitkan boleh dijawab dengan baik.

Apa yang penting ialah adik boleh menerima realiti bahawa berkahwin dengan lelaki tua akan menghadapi masalah tersendiri. Dengan bersikap jujur dengan perasaan sendiri, adik akan berlaku adil kepada kekasih dan juga keluarga. Adik juga tidak akan melukakan hati kedua-dua pihak.

Tidak ada salahnya berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih tua jika adik bersedia menerima dirinya seadanya, dengan kekuatan dan kekurangan. Seperti perhubungan lain, tentunya, setiap perhubungan ada kebaikan dan masalahnya.

Pasangan lebih berumur selalunya dilihat lebih matang daripada segi gaya berfikir, mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil. Ini adalah bonus kepada perkahwinan nanti.

Dalam perhubungan berumah tangga, penting bagi pasangan untuk berkongsi banyak perkara di samping mencari persamaan dan perbezaan. Perbezaan yang wujud bukanlah penghalang kasih sayang, tetapi lebih kepada menerima dan menghormati perbezaan itu.

Cari apa yang menyebabkan adik tertarik dengan pasangan. Buat senarai dan lihat kembali senarai itu jika perkahwinan nanti menghadapi masalah.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger