Konflik antara mertua dan menantu seperti yang tersiar minggu lalu sering menjadi topik hangat di kalangan masyarakat, baik di timur mahupun di barat. Pendek kata sedangkan dengan ibu sendiri pun kita tersentuh hati inikan pula dengan ibu mertua. Dengan adik beradik pun kita bertengkar apalagi dengan ipar duai. Orang yang kita baru kenal tentulah sukar untuk kita suka.''
Demikian cerita Norsyuhaila dalam e-melnya, berasal dari Pantai Timur dan beliau baru tiga tahun berkahwin, katanya dia amat simpati dengan nasib Zureen namun sebenarnya ibu mertua amat penting dalam hidup kita. Mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian sama seperti ibu kita. Namun tak dinafikan kadang-kadang ada perbuatan mereka benar-benar meruntun hati dan perasaan kita.
''Dari pengalaman inilah saya ingin berkongsi pendangan dengan pembaca sebagai menantu dan isteri. Walaupun baru berkahwin, tetapi saya telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan. Saya pernah dianiaya, dikasari secara verbal dan fizikal, ditipu, di tomah, dibenci, dimaki, dipinggirkan selama saya berumah tangga.
''Namun kerana ingin jadi isteri yang baik saya banyak bersabar dan ambil keputusan berhenti kerja dan bekerja di tempat hampir dengan suami. Awalnya semua berjalan lancar dan baik, tetapi tak kemudian suami saya Fazli mula menunjukkan belangnya suka keluar malam dan melakukan aktivitinya sama seperti semasa bujang dulu.
''Perbuatannya membuatkan kami kerap bergaduh, sebab dia marah bila ditanya jika pulang dini hari setiap malam. Hingga melupakan tanggungjawabnya kepada isteri dan tidak menyediakan makan minum saya seperti sepatutnya.
''Saya juga pelik kenapa kami sering bergaduh hingga hampir bercerai. Saya juga pelik kenapa saya terlalu emosi. Bertambah tertekan dan kemuncak kemarahan saya apabila Fazli mengadu dan memburuk-burukkan saya kepada ibu saya sendiri.
''Ibu beberapa kali menyuruh saya menceritakan masalah saya, tetapi saya diamkan diri kerana beberapa sebab, pertama kerana saya nak jaga maruah suami di mata keluarga.
''Kedua kerana saya tidak mahu hubungan suami dan keluarga saya renggang apabila mereka tahu perangai Fazli sebenar. Ketiga kerana saya tak mahu keluarga pandang rendah pada Fazli. Jadi saya diamkan perangai buruknya dari pengetahuan keluarga.
Berpindah
''Tak lama kemudian Fazli dapat kerja baru dan berpindah ke KL. Saya ditumpangkan ke rumah kakaknya beberapa bulan sementara menunggu pertukaran saya diluluskan.
''Mulanya saya fikir jika berjauhan tentulah kelakuannya berubah, malangnya lebih teruk lagi. Setiap kali saya memandu ke KL yang jauh itu dia terima kedatangan saya dengan acuh tak acuh saja. Rupanya dia lebih senang hidup macam orang bujang.
''Takdir Allah menentukan tidak sampai enam bulan berjauhan saya jatuh sakit hingga doktor sendiri tak dapat membuat pengesahan yang pasti. Tapi yang pasti demam saya memang panas dan seluruh sendi badan saya terasa sakit seperti dicocok-cocok.
''Fazli bila datang menjengok saya mendakwa saya demam biasa sahaja. Malah memburuk-burukkan saya konon sakit tapi lebih manja. Kerana sedih saya buat keputusan balik ke rumah emak saya.
''Di rumah emak saya sendirian, kerana emak bekerja. Keadaan itu membuatkan penyakit saya bertambah serius, pelbagai perasaan buruk dan menakutkan datang menjelma dalam diri saya. Melihat keadaan saya semakin teruk emak bawa jumpa bomoh yang bergelar ustaz, pelbagailah kepercayaan saya dengar, tapi saya sukar percaya kerana saya dan keluarga lebih rapat dengan perubatan moden.
Tetapi Allah itu Maha Besar, Dia menunjukkan kepada saya bahawa sihir itu wujud dan usah memandang rendah atau menuduh orang tanpa ilmu.
''Kerana penyakit ini juga saya di bawa suami pulang ke rumah emak mertua saya. Ketika itu diri saya seperti orang yang hampir mati. Tetapi emak saya memikirkan saya menghadapi masalah tekanan perasaan, tekanan jiwa, jika tidak dirawat dengan betul saya mungkin boleh hampir kepada gila. Emak tak percaya cerita-cerita hantu, sihir, buatan manusia dan sebagainya.
''Tetapi apabila sampai ke rumah mertua di situ saya merasakan perubahan layanan mereka saya bukan sahaja dihantar berubat malah mereka sentiasa menjaga saya dengan baik. Malah kakak dan adik ipar saya sanggup bercuti dan bergilir-gilir menjaga saya terutama ketika saya sedang mengalami serangan sakit yang teruk.
''Ketika itu saya benar-benar 'berperang' untuk hidup, Saya mahu bebas dari belenggu gangguan yang tidak elok supaya saya dapat membalas jasa mereka. Ketika itu juga keinsafan dan kekesalan datang silih berganti dalam jiwa saya kerana selama ini saya mempunyai persepsi buruk terhadap keluarga mertua saya. Kini saya rasa amat bersyukur kerana dikurniakan mertua yang amat penyayang, memahami dan bertimbang rasa.
''Memang benar kadang-kala saya pernah merasakan mertua saya seolah-olah melebihkan anak lelaki mereka dan menganggap saya menghabiskan wang ringgit anaknya, tetapi itu perkara normal dan tidak sukar difahami.
''Ibu mana yang tak sayangkan anak lelaki mereka yang telah mereka besarkan dari kecil sehingga dewasa? Ibu mana yang tidak bersikap melindungi terhadap seorang manusia yang telah dikenali dan disayangi jauh lebih lama dari kita?
''Menyayangi dan mengasihi mertua kita lebih daripada satu tanggungjawab kerana ia adalah satu perbuatan yang juga mendatangkan 1001 hikmah kepada kita sebagai seorang manusia bergelar wanita. Kini saya benar-benar faham apakah maksudnya 'berkahwin dengan seorang lelaki/ wanita sama seperti mengahwini seluruh keluarganya' .
''Saya juga bangga menyatakan saya terlampau sayangkan keluarga mertua saya terutamanya nenek dan mertua dan saya juga rasa tidak mampu hidup dengan bahagia tanpa kehadiran mereka dalam hidup saya.
''Saya juga bersyukur dengan kejadian yang menimpa diri saya jatuh sakit teruk perangai Fazli telah banyak berubah, dengan izin Allah dia semakin dekat dengan Allah dan saya. Dia menjadi suami yang baik. Perangainya berubah 360 darjah
''Saya amat bahagia hingga saya tidak percaya perangai Fazli berubah kepada yang lebih positif. Saya bersyukur dan percaya dugaan dan ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmah tersendiri.' ' Demikian cerita Norsyuhaila tentang pengalamannya.
Sykurlah Norsyuhaila mendapat mertua yang baik, cuma sesetengah mertua sahaja yang masih belum berubah. Namun sebagai isteri kita mesti ingat, satu hari nanti dengan izinNya mungkin kita juga menjadi mertua. Ketika itu, jadilah mertua yang terbilang kerana baik disayang dan timbang rasa kita kepada menantu kita.
Dan ingatlah apa juga keburukan yang anda buat hari ini akan datang jua pembalasan keburukan itu ke atas anda ketika anda masih hidup lagi, bukan sahaja di akhirat.
Home »
07. Ilmu
,
09. Keluarga/Pernikahan
,
12. Tazkirah/Wasiat/Ikhtibar
» Belajarlah pikat hati mertua
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !