Setelah beberapa kali keterlanjuran ini berlaku saya memintanya mengahwini saya, tetapi dia enggan biarpun dia telah bekerja. Dia juga meminta supaya saya memutuskan hubungan dengan teman lelaki. Saya keliru dan tidak tahu jalan mana yang mesti dilalui.
- Ros, Hulu Kelang.
Jawapan
Dalam surah Al-Isra:32, Allah menjelaskan agar semua orang jangan menghampiri zina. Dalam ayat ini Allah SWT melarang seseorang itu daripada “menghampiri zina.” Kerana sekiranya seseorang itu berupaya mematuhi perintah Allah dengan menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang menghampirkan diri daripada zina, maka zina itu dengan sendirinya dapat dielakkan.
Perbuatan menghampiri zina itu terlalu banyak, atau lebih mudah bermaksud perbuatan yang merangsang nafsu untuk melakukan zina, termasuklah gambar-gambar separuh bogel, yang menggairahkan yang ditayang di televisyen, iklan-iklan, surat-surat khabar, telefon bimbit dan sebagainya.
Kita sering melaungkan supaya setiap orang itu berakhlak mulia, jangan minum arak, jangan merempit dan sebagainya, tetapi iklan-iklan arak, pertandingan merempit terus menerus ditayangkan, secara tidak langsung menggalakkan untuk melakukannya.
Allah menetapkan undang-undang itu untuk kesejahteraan manusia, iaitu mencegah sejak awal lagi daripada berlaku sesuatu larangan. Kerana manusia itu sekiranya berupaya dia menjauhkan diri daripada tindak tanduk yang mendorong atau merangsang berlakunya zina.
Setiap perbuatan yang boleh merangsang nafsu syahwat dianggap boleh mendorong kepada perbuatan zina, tidak kira ia merupakan rangsangan secara khusus, rangsangan sampingan atau semata-mata pendorong yang ditambah oleh rangsangan-rangsang an lain.
Allah SWT menegah lelaki dan perempuan berkhalwat, berdua-duaan kerana apabila hal demikian berlaku makhluk yang ketiga ialah syaitan, yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan kejahatan.
Dorongan lain ialah seperti menonton wayang separuh bogel, tayangan yang menjolok mata di televisyen, melihat gambar-gambar di akhbar, majalah, iklan-iklan, menonton perempuan berbaris di tepi-tepi kolam mandi sama ada untuk tujuan pertandingan atau semata-mata memperagakan seluar dan baju mandi. Semua ini boleh merangsang nafsu syahwat yang boleh menghela kepada perbuatan zina. Perbuatan seperti ini termasuk dalam larangan yang jelas seperti tersebut dalam ayat tadi.
Atas dasar ini, mereka yang bekerja, tidak kira di mana, sama ada bekerja dengan surat khabar, terlibat dengan tayangan gambar di pawagam-pawagam, badan penyiaran, termasuk mereka yang melukis kartun-kartun yang menyebabkan pembaca atau penonton terangsang nafsu syahwat, orang seperti ini, secara langsung ataupun tidak langsung adalah terlibat dengan larangan tadi.
Termasuk dalam larangan ini ialah mengunjungi tempat-tempat hiburan, muzik yang romantis, mengkhayalkan, menyediakan ruang lelaki, perempuan menari berpeluk-pelukan, apatah lagi disertai dengan minuman keras.
Islam menganggap arak itu ibu segala kejahatan, kerana itu Islam melarang manusia bergaul dengan mereka yang bukan muhrim, muzik dan nyanyian yang mengkhayalkan, mengasyikkan dan perbuatan minum arak.
Semua mereka yang berfikir waras tidak akan menafikan kemudaratan yang lahir daripada kegiatan seperti ini. Walaupun begitu tidak semua orang berupaya untuk akur dengan keburukan-keburukan yang lahir, biarpun ia menyedari apa yang sebenarnya berlaku.
Termasuk dalam larangan seperti ini ialah amalan bekerja yang melibatkan lelaki dan perempuan di satu tempat yang terpencil, jauh daripada manusia biarpun atas alasan menjalankan tugas.
Iman
Betapa tebal iman seseorang, kalau ia melibatkan lelaki, perempuan dewasa, duduk berdua-duaan berjam-jam pada malam hari, kemungkinan akan tunduk kepada kehendak nafsu. Kerana itulah Rasulullah memberi amaran supaya seseorang tidak memelihara kambing di tepi perigi, dikhuatiri ia akan termasuk ke dalam perigi oleh itu amalan seperti ini perlu dielakkan.
Masalah yang saudari hadapi agak rumit kerana ia melibatkan sepupu yang tinggal bersama sejak kecil. Mungkin saudara tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya dan menganggapnya sebagai sebahagian dalam keluarga, tetapi saudari tidak dapat membaca gelora nafsunya terhadap diri saudari. Biarpun dia merayu berulang kali pada malam hari, akhirnya saudari mengaku kalah dan menjadi korban nafsunya.
Saudari sepatutnya mempunyai pendirian yang tegas, menyedari perbuatan sepupu yang masuk ke dalam bilik adalah perbuatan yang terlarang dan berniat jahat. Apa motif seorang lelaki yang masuk ke bilik seorang perempuan pada malam hari, merangkak dari atas bangku panjang ke dalam bilik kalau tidak kerana untuk melepaskan nafsunya.
Telah berulang kali dia memujuk rayu, bererti dia telah masuk dalam bilik saudari beberapa kali, kenapa pintu tidak dikunci atau saudari boleh menghalaunya keluar pada awal percubaannya memujuk atau memberi amaran daripada awal dengan memberitahu kepada kedua-dua ibu bapa saudari.
Kerana saudari membiarkan hal tersebut berlarutan, dia merasakan adanya satu ruang untuk menyampai hasrat nafsunya, lalu terus menerus memujuk rayu dan akhirnya saudari lemas dalam paksaan.
Memang benar, bukan mudah bagi mereka yang terlibat dengan perbuatan seperti ini bertindak, memberi amaran, menghalau keluar dari bilik, menjerit, memberitahu orang tua dan sebagainya, apatah lagi sekiranya ia melibatkan orang yang dipelihara dan membesar dalam rumah sendiri, kerana ia akan melibatkan maruah diri. Tetapi dalam menangani masalah seperti ini, jalan lain memang tiada selain berbuat demikian.
Menganggap
Masyarakat Melayu menganggap perempuan dara yang terlibat dengan persetubuhan di luar nikah, dianggap sebagai “kelapa ditebuk tupai”.
Untuk memberitahu kedua-dua orang tua atau membuat aduan kepada pihak berkuasa juga sukar dilakukan, kerana ia melibatkan kehormatan keluarga. Semakin lama kes seperti ini di mahkamah, maka semakin meluas khabar atau aib diri itu tersemat dalam ingatan masyarakat, kerana itu sebahagian mereka lebih suka mendiamkan diri.
Sepupu saudari membalas kebaikan kedua-dua ibu bapa saudari dengan menodai saudari. Ia enggan untuk mengahwini saudari dan melarang saudari memberitahu sesiapa. Juga meminta saudari memutuskan hubungan dengan teman lelaki saudari. Apa tujuan di sebalik larangan tersebut, selain daripada untuk memperalatkan diri saudari menjadi penggalas nafsunya.
Cara terbaik ialah berbincang mengenai bencana yang telah berlaku, kepada kedua-dua orang tua. Semoga saudari mendapat nafas baru, bersifat tegas, berjalan dengan tegak bukan menapak sambil membaling batu-batu hitam di hujung jari.
Saudari perlu insaf dan sedar segala-galanya adalah di tangan saudari. Ketika ini saudari tidak perlu memikiri lelaki yang memusnahkan hidup saudari itu adalah sepupu. Semakin lama bertahan seperti yang ada sekarang, saudari akan lebih berhadapan dengan keadaan yang bercelaru dan tidak keruan, apatah lagi manusia yang memusnahkan masa depan saudari itu tinggal sebumbung.
~ Utusan
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !