Isteri risau,
Banting.
Jawapan:
Tatacara permohonan poligami di Negeri Selangor diterangkan dalam subseksyen 23 (1) hingga (10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Menurut subseksyen 23 (5) enakmen itu: "Apabila menerima permohonan (suami untuk berpoligami) itu, mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar."
Puan bernasib baik kerana bermastautin di Selangor kerana tidak seperti di beberapa negeri lain: Isteri pertama atau isteri sedia ada di Selangor wajib disaman untuk hadir ke mahkamah untuk menjawab permohonan suaminya yang ingin berpoligami.
Apabila saman diterima, puan sebagai pihak defendan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menjawab permohonan suami itu. Seksyen 64 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 memberi hak kepada defendan yang mempertikaikan keseluruhan atau sebahagian tuntutan plaintif, untuk memfailkan suatu pembelaan mengikut cara yang ditetapkan.
Pembelaan itu boleh difailkan sama ada sebelum tarikh sebutan yang mana si isteri perlu hadir, atau difailkan pada tarikh sebutan berkenaan, atau pada suatu tarikh lain yang dibenarkan mahkamah.
Puan juga berhak untuk melantik peguam syarie yang mempunyai Sijil Amalan Peguam Syarie Negeri Selangor untuk mewakili puan dan bertindak bagi pihak puan dalam prosiding berhubungan tuntutan yang difailkan itu.
Kehadiran puan bukan semata-mata untuk membela diri, malah ia juga untuk kepentingan dan masa depan anak. Kehadiran puan juga boleh membantu mahkamah membuat keputusan adil, yang lebih disukai Allah dan lebih hampir kepada kebenaran.
Menurut subseksyen 23 (5)(a) hingga (d), semua empat kriteria perlu dipenuhi oleh suami yang berhasrat berpoligami, iaitu:
l Bahawa perkahwinan itu adalah patut atau perlu;
l Suami mampu menanggung semua isteri dan tanggungannya dan orang yang bakal menjadi tanggungan;
l Suami berupaya memberi layanan sama adil kepada semua isterinya;
l Perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada.
Jika puan berasakan suami tidak dapat memenuhi salah satu atau semua kriteria itu, puan hendaklah mengemukakan keterangan dan bukti kepada mahkamah.
Puan juga boleh menuntut supaya mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah puan dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).
Puan juga boleh menuntut supaya mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinan puan dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.
Ia adalah suatu kesilapan besar jika puan tidak hadir setelah saman diterima. Mahkamah masih boleh meneruskan permohonan suami walaupun tanpa kehadiran puan.
Subseksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan: "Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran, defendan tidak hadir, mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya. Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-apa penghakiman mengenai tuntutan plaintif di bawah (1) (b), mengikut mana-mana berkenaan, mengangkat sumpah istizhar.
Hak puan sebagai isteri sudah diperuntukkan dalam undang-undang. Manfaatkanlah sebaik-baiknya supaya puan dan anak tidak teraniaya. Jika puan tidak berapa arif mengenai undang-undang, lantik peguam syarie bertauliah untuk mewakili puan. Semoga jawapan ini sedikit sebanyak dapat membantu puan membuat tindakan sewajarnya.
Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sila layari http:\\www.peguamsy arie.org. my
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !