Headlines News :
.
Home » , » Kenyataan media JIM mengenai pembuangan bayi

Kenyataan media JIM mengenai pembuangan bayi

Written By Unknown on Monday, March 8, 2010 | 14:02

Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)

12 Februari 2010

ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!


JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).

Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi

Tahun
2006
2007
2008
2009
(sehingga Mei)
Jumlah kes
53
76
102
33

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.

Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?

JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.

JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua - dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.

JIM menuntut  semua pihak  memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini.

  1. Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan  kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.

  1. Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat  kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran  yang menghakis nilai murni dalam komuniti.

  1. Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan  yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.

  1. Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .

JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :

  1. Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir.

  1.  Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.

  1. Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabk an. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.

  1. Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah  menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja!
Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.  

JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
0123243134

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger