Headlines News :
.
Home » , » cerai tebus talak boleh rujuk dengan akad baru

cerai tebus talak boleh rujuk dengan akad baru

Written By Unknown on Friday, March 12, 2010 | 13:12

Saya menceraikan isteri secara tebus talak kira-kira setahun lalu. Selepas bercerai, kami berkawan baik kerana sering menguruskan kebajikan anak. Saya sering berjumpa bekas isteri sehingga kami mengambil keputusan untuk bernikah semula. Namun, saya diberitahu seorang rakan bahawa tidak boleh bernikah semula dengan bekas isteri kerana cerai secara tebus talak adalah perceraian bain kubro. Harap tuan jelaskan kepada saya apakah perceraian khuluk sebenarnya, benarkah ia cerai bain kubro serta benarkah saya dan bekas isteri tidak boleh bernikah semula.

Ahmad Husaini,
Kajang.

Jawapan:
JARANG ada pasangan yang bercerai dapat mengekalkan hubungan baik sebegini. Tahniah kerana tuan mampu mengekalkan keadaan harmoni dengan bekas isteri demi kebaikan dan kepentingan anak.

Seperti kita maklum, perceraian ialah perbuatan halal tetapi amat dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Perbuatan halal yang amat dimurkai Allah ialah talak." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Di sebalik perbuatan halal yang dimurkai Allah itu, perceraian ialah penyelesaian untuk memberi nafas baru kepada pasangan suami isteri yang tidak dapat lagi hidup bersama atas pelbagai sebab.

Antara perceraian yang dibenarkan syarak ialah khuluk atau tebus talak iaitu hak diberikan kepada isteri yang mahu membebaskan diri daripada suami apabila tidak mampu meneruskan hidup bersama suami atas sebab tertentu selain sebab fasakh atau taklik.

Menurut jumhur ulama, khuluk harus dilakukan dengan memulangkan mas kahwin atau pembayaran lain sekalipun kadarnya melebihi mas kahwin yang dianggap makruh. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Janganlah seorang lelaki (suami) mengambil daripada perempuan yang menuntut khuluk melebihi apa yang diberikan kepadanya." (Riwayat al-Darul Qutni)

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas mengenai isteri Thabit Qais yang mengadu kepada Nabi SAW kerana tidak senang dengan kekufuran suaminya. Lalu Baginda bertanya: "Adakah kamu sudah memulangkan kebunnya? Ya, jawab isteri Thabit, lantas Baginda berkata kepada Thabit: Terimalah kebunmu dan ceraikanlah dia dengan satu talak."

Kehendak hukum syarak ini selari peruntukkan mengenai khuluk dalam Seksyen 49 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang antara lain memperuntukkan: "Jika jumlah bayaran tebus talak tidak dipersetujui pihak itu, mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut hukum syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak itu."

Seksyen 49 juga memperuntukkan mengikut subseksyen (1): "Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaan sendiri, tetapi pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak itu, mengarahkan suami melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tidak boleh dirujuk."

Berkenaan perceraian bain sughra, berdasarkan hukum syarak, bain adalah talak yang tidak membolehkan suami rujuk isterinya walaupun dalam tempoh edah dan talak jenis ini dibahagi kepada dua talak bain sughra dan bain kubro.

Bain sugra adalah talak yang memerlukan seorang suami mengakad semula akad nikah dengan isterinya jika suami mahu kembali hidup bersama dengan bekas isterinya. Talak yang termasuk dalam kategori ini adalah cerai secara fasakh dan cerai khuluk atau tebus talak.

Sementara bain kubro ialah cerai talak tiga atau talak ketiga dengan suami hanya boleh menikahi semula bekas isteri selepas ia bernikah dengan suami kedua, bersetubuh dan berlaku perceraian seterusnya menjalani edah. Suami pertama dibolehkan menikahi bekas isterinya dengan akad baru.

Talak yang tidak membolehkan pasangan bernikah selama-lamanya ialah perceraian yang berlaku disebabkan lian atau sumpah dibuat suami terhadap isteri yang dituduh berzina atau apabila suami menafikan anak yang dikandung isteri zuriatnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, khuluk adalah termasuk dalam kategori talak bain sugra iaitu tidak boleh dirujuk walaupun dalam tempoh edah namun pasangan boleh berkahwin semula dengan akad yang baru.

Oleh itu, jika tuan mengambil keputusan untuk memulakan semula hidup bersama dengan bekas isteri, maka tuan boleh mengahwini bekas isteri dengan akad nikah yang baru.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah.


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger