Headlines News :
.
Home » , » Tambang yang perlu dibayar bagi melayari internet

Tambang yang perlu dibayar bagi melayari internet

Written By Unknown on Sunday, March 28, 2010 | 12:12

Kepada kebanyakan orang melayari internet boleh dikatakan hampir percuma. Jika kita menggunakan broadband yang bayarannya pada kadar RM100 maka masih boleh dikatakan sebagai percuma berbanding dengan ilmu serta bahan yang dapat kita perolehi darinya. Bagi yang melayari internet di tempat-tempat awam yang menyediakan free wifi lagilah hampir percuma kerana mereka hanya perlu berbelanja secawan kopi.

Samada kita sedar atau tidak terdapat juga ramai orang yang terpaksa atau dipaksa membayar harga yang amat tinggi bagi melayari internet yang sudah tidak terkawal lagi haluannya itu. Mereka adalah orang-orang yang hanyut di lautan internet tanpa berpandu kepada kepada kemudi kemanusian. Antaranya ialah orang-orang yang tertipu dengan skim-skim cepat kaya, wanita-wanita yang meninggalkan suami kerana mengikut teman yang dikenali melalui laman-laman web sosial, gadis-gadis yang ternoda akibat godaan dari ruang-ruang sembang maya serta mereka yang terpaksa membayar pampasan kerana foto peribadi mereka dipaparkan kepada umum seluruh dunia. Mereka ini terpaksa membelanjakan ribuan malah jutaan ringgit kerana kesilapan yang mereka sendiri tidak sedar akan akibatnya.

Pada tahun 2009 dilaporkan lebih 1 billion kanak-kanak melayari internet diseluruh dunia dan 13 peratus dari mereka telah menjadi mangsa dalam berbagai bidang jenayah seperti seks, penculikan, penipuan kewangan serta video lucah. Dalam kes-kes yang melibatkan remaja pula ruang sembang maya dan laman web sosial merupakan tempat dimana penjenayah sentiasa memasang perangkap. Di Malaysia umpamanya kebanyakan kes-kes jenayah seks seperti rogol, video lucah dan hubungan seks luar nikah kini bermula dari internet. Saban hari kita membaca bagaimana gadis-gadis dilarikan dari jagaan keluarga hasil pujuk rayu di internet. Ini belum lagi termasuk kes-kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang menggunakan saluran internet bagi mendapatkan penagih-penagih baru.

Bagi wanita dan lelaki yang telah berumahtangga kes-kes perceraian dan perkahwinan "haram" semakin berleluasan dengan punca yang dikenalpasti ialah hubungan sosial tanpa kawalan di internet. Isteri meninggalkan anak kerana mengikut teman siber, suami curang dengan rakan siber, sembang seks maya, pengedaran video lucah peribadi serta hubungan tanpa batasan merupakan gejala yang akhirnya membawa akibat yang cukup besar kepada institusi keluarga. Harga yang terpaksa dibayar akibat dari gejala tersebut adalah terlalu besar dan memakan masa yang panjang untuk dibaiki jika ianya masih boleh dibaiki. Jika tidak ianya akan terus hancur dan membabitkan beberapa generasi berikutnya.

Jika dinilai dari segi kewangan ianya bukanlah satu angka yang kecil untuk kita bayar. Nilai moral itu sendiri tidak dapat kita ukur dengan bayaran yang setinggi mana pun. Kesannya terhadap masyarakat sangatlah parah dan boleh bersifat kekal. Itu belum lagi dikira tentang tuntutan ganti rugi akibat fitnah atau maklumat yang kita salah lapor atau kita salah tafsir. Sudah terdapat ramai orang yang terpaksa membayar ganti rugi kerana menyebar fitnah malahan tak kurang juga yang kini sedang merengkok dalam penjara akibat penyebaran maklumat yang salah didalam internet.

Saya suka memetik kata-kata seorang teman satu masa dulu bahawa akan tiba masanya syaitan akan menguasai manusia melalui hujung jarinya. Saya tidak pasti daripada kitab mana ia merujuk pendapat tersebut tetapi menurutnya Allah SWT telah menjadikan syaitan dan iblis dari api. Manusia pada satu masa nanti akan berhubung sesama manusia melalui hujung jari mereka. Diantara jari si A dan si B akan disambungkan melalui wayar yang membawa arus elektrik (api) . Didalam arus api itulah syaitan dan iblis mengambil tempatnya bagi menyalurkan rasa tamak haloba serta ghairah bagi merosakkan manusia. Jika kita perhatikan pada hari ini hubungan silaturahim itu tidak lagi di zahirkan secara bersemuka tetapi melalui media internet yang bersambung dari sebuah komputer melalui wayar atau gelombang yang kemudiannya menukarkannya menjadi arus elektrik kepada sambungan komputer yang lain.

Kemajuan teknologi tidak lagi boleh disekat-sekat. Ianya menjadi wajib untuk digunakan. Semua kemudahan telah dimasukkan kedalam internet. Tidak dapat tidak kita terpaksa atau dipaksa untuk menggunakannya. Jika ianya kita anggap sebagai "hampir percuma" tetapi ingatlah bahawa harga tambang bagi kita melayarinya adalah sangat mahal jika kita gagal mengawal nafsu. Godaan didalam internet sangatlah kuat kuasanya. Ramai yang kecundang dan terpaksa menanggung kesannya seumur hidup. Oleh yang demikian berhati-hatilah ketika menggunakan kemudahan yang ada di internet. Elakkan dari meletakkan foto serta video peribadi didalamnya. Jauhi orang yang kita belum pasti akan peribadinya. Hari ini kita meletakkan foto kita berpakaian penuh sopan adalah tidak mustahil jika sebentar lagi wajah kita berada pada tubuh yang tanpa seurat benang. Mungkin 80 peratus pelayar internet tidak percaya bahawa diri kita telah berbogel namun jika 20 peratus pelayar yang lain mempercayainya maka kita telah meletakkan diri kita dalam keadaan berbogel seumur hidup. Ianya sudah tidak boleh lagi ditarik balik sepertimana kita menarik balik buku yang tersalah cetak di pasaran. Seumur hidup kita akan melihat bahan tersebut datang kepada kita semula jika tidak pada hidup kita mungkin di zaman anak cucu kita.

Jadi berhati-hatilah dengan internet yang kini telah menjadi salah satu fitnah dunia. Gunakan sebaik mungkin dengan mengambil kira kesan terhadap diri kita dan juga kesan terhadap manusia lain yang sedang berada dihujung sambungan kita disebelah sana.

Wasalam


AMEER SOEKRE ISHAK
Soekre Consulting
For Better Lives Of People
ameer@soekre. com
http://www.facebook .com/soekre
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger