|
SEBAGAI manusia yang normal akal fikiran dan perasaan, membaca dan melihat laporan akhbar mengenai anak yang anak kecil didera dan diperlakukan secara kejam sememangnya membangkitkan kemarahan yang meluap-luap kepada si pendera.
Soalan yang pasti timbul di dalam sanubari kita ialah mengapakah ada manusia sanggup memperlakukan anak sekejam itu? Tidak kasihankah dengan anak kecil yang tidak berdosa itu? Dan bermacam-macam lagi persoalan yang bermain dalam hati sehinggakan ada antara kita menganggap si pendera seumpama berhati haiwan.
Sekurang-kurangnya haiwan pun sayangkan anak mereka, dijaga dan ditatang sehingga anak mampu berdikari. Inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan hati untuk berfikir dan merasa.
Inilah natijahnya apabila hati dan nafsu tidak mampu bersabar mengekang perasaan amarah dan akal tidak mampu membezakan kebenaran dan kebatilan. Apabila anak-anak tidak dianggap sebagai amanah yang perlu dijaga sebaik- baiknya, maka banyaklah kerosakan yang berlaku yang bakal berlaku.
Anak sebagai amanah, bukan sekadar anugerah
Sudah banyak kali kita membincangkan tentang peri pentingnya memelihara anak seperti permata. Anak-anak kecil sememang tidak bersalah kerana mereka masih tidak matang dan tidak mampu mengawal emosi mereka.
Orang dewasalah yang sepatutnya mengemudi anak-anak mereka dengan tingkah laku yang baik supaya anak-anak membesar dengan binaan sikap, pendirian dan emosi yang teguh apabila menjejak alam remaja dan dewasa.
Peringatan seperti ini sememangnya perlu diulang-ulang bagi menyedarkan golongan dewasa dan ibu bapa.
Mungkin sesetengah ibu bapa lupa bahawa anak itu adalah amanah Allah yang tidak ternilai harganya. Ramai yang tidak mempunyai anak sangat kepinginkan cahaya mata lalu pelbagai cara diusahakan untuk mendapat anak. Ada pula apabila sudah mempunyai cahaya mata, tidak menjaga dan mendidik anak dengan betul dan sempurna.
Mendidik dalam erti kata mestilah mengajar anak akan nilai asas dalam kehidupan, melimpahkan kasih sayang yang sewajarnya kepada anak-anak, membina kekebalan diri anak-anak dari anasir-anasir tidak baik. Mengajar anak akan yang salah dan benar, serta memberi panduan dan pedoman berterusan agar anak membesar menjadi insan yang beriman dan teguh pendirian.
Sememangnya ia tidaklah semudah seperti yang disebutkan. Namun itulah hakikat tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Mendekati remaja menerusi pendidikan perlu bermula pada awal umur lagi.
Jangka waktu yang paling kritikal bagi anak-anak mencapai tahap remaja ialah sejak lahir sehingga ke peringkat akil baligh. Akil baligh merupakan puncak suatu proses membentuk manusia yang sudah boleh berdiri atas kaki sendiri.
Di peringkat inilah perkembangan kognitif (akal-fikir) berlaku dengan subur yang membolehkan anak-anak membuat tanggapan terhadap sesuatu.
Ajaran Islam umumnya tidak menghalang ibu bapa menghukum anak-anak, tetapi mestilah bersifat mendidik, tidak didorong perasaan amarah dan tidak melampaui batas syarak dan kemanusiaan.
Ini kerana trauma daripada zaman malang kanak-kanak boleh menghantui alam remaja serta dewasa seseorang dan lukanya sukar disembuhkan. Ada juga anak-anak yang membesar dengan kejadian dera dan pengabaian menjadi seorang yang agresif, sangat ofensif, serta tidak boleh menerima pendapat orang lain.
Anak-anak bukan sahaja anugerah yang tidak ternilai daripada Allah, malah mereka adalah amanah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Mereka perlu dididik supaya sentiasa kembali dan berdamping ke jalan Allah dan pangkuan keluarga, sekalipun ada membuat kesalahan agar proses pembaikan boleh berlaku.
Oleh itu, tanggungjawab ibu bapa berjalan sepanjang hayat mereka, bukannya melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak lain seperti sekolah atau penjaga.
Ada pula yang menganggap anak-anak sudah pandai berfikir sendiri akan baik buruk sesuatu perkara dan secara mudah menyalahkan anak-anak sekiranya berbuat salah. Walhal ibu ayah sendiri tidak membekalkan anak-anak dengan nilai-nilai asas dalam kehidupan dan didikan agama yang mencukupi.
Watak ibu dan ayah saling melengkapi
Justeru peranan ibu dan ayah amatlah penting dalam pembentukan watak dan pendirian anak. Ibu sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan.
Bapa juga tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga. Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.
Pada diri seorang ibu ada unsur penting dalam proses didik, asuhan, kasih sayang, kesabaran dan memiliki kasih sejati terhadap anak. Allah telah memberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kepada wanita yang bergelar ibu untuk menanggung kesusahan dan kepayahan demi anaknya.
Masakan tidak, seorang ibu sanggup melalui tempoh mengandung dengan susah payah sehinggalah melahirkan anak dalam kesakitan dan kepedihan. Ibu jugalah yang penat berjaga malam untuk menyusu dan menyalin lampin anak, dan bersengkang mata sekiranya anak kurang sihat.
Naluri seorang ibu sememangnya berkehendakkan anaknya sentiasa dalam keadaan sihat dan sempurna.
Ibu adalah pelengkap kepada watak bapa. Ia menjadi faktor penting dalam proses pembangunan zuriat, anak dan generasi. Ibu yang berilmu dan berketerampilan memahami proses pertumbuhan dan pembesaran anak baik dari sudut minda, psikologi, emosi dan tabiat, serta memiliki cara dan kaedah berkesan bagaimana anak harus 'diremaja' dan 'didewasakan' .
Begitu juga dengan si ayah. Menjadi seorang ayah adalah peranan yang payah. Menjadi seorang ayah tidaklah bererti memonopoli segala hak dan tanggungjawab, tetapi dikongsi dan dilalui bersama-sama secara sukarela dan penuh faham tanggungjawab.
Watak ayah tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.
Dalam masa yang sama, ayah harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu juga perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai dan memberi contoh yang baik kepada proses pendewasaan anak-anak.
Sekiranya pertumbuhan dan kesuburan yang sedang berlaku kepada anak-anak tidak didekati dengan ilmu dan keterampilan menerusi watak keibuan dan kebapaan nescaya pembesaran anak-anak bakal mengalami kelompangan yang mudah dimasuki oleh unsur-unsur negatif.
Ilmulah yang mampu memberi kekuatan kepada anak-anak supaya apabila besar nanti ia tidak menyebabkan lahirnya kecelaruan di kalangan mereka.
Oleh itu, anak perlu dipedomankan sekiranya berbuat salah, bukannya menghukum sesuka hati apatah lagi mendera dan mengasari mereka tanpa belas kasihan.
Kesimpulan
Bergelar ayah dan ibu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai kepada manusia. Bagi mereka yang mengetahuinya, amatlah besar ganjaran yang bakal diperolehi jika menjaga dan mendidik anak-anak dengan sesempurna mungkin.
Tidak dinafikan bahawa kerosakan yang terjadi dewasa ini kebanyakannya berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan, ceteknya didikan agama dan moral serta dan kurangnya sikap kepedulian sesama kita.
Tuntasnya, tanggungjawab seorang ibu dan ayah adalah tanggungjawab seumur hidup. Anak-anak kadangkala tergelincir daripada landasan, maka ibu bapalah yang perlu sentiasa mengawasi dan menasihati mereka supaya jalinan corak kehidupan anak-anak menjadi kembali teratur dan harmoni.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !