Headlines News :
.
Home » , » Kaedah umum didik anak

Kaedah umum didik anak

Written By Unknown on Saturday, May 22, 2010 | 13:48

Kaedah umum didik anak - lelaki & perempuan
Akhir-akhir ini kita disajikan dengan kisah anak-anak yang derhaka kepada ibu bapa sendiri. Si Tanggang versi moden ini tegar menginggalkan ibu/ayah tua di pusat dialysis, perhentian bas, rumah orang tua dan sebagainya. Mengapa anak-anak zaman sekarang tidak tahu dan tidak mahu mengenang budi ibu dan ayah yang telah banyak menabur jasa dan bersusah-payah membesarkan anak-anak sehingga anak-anak ini dapat hidup dengan selesa dan sempurna?

Tidak dapat kita nafikan, ada kalanya kita fikir ibu dan ayah tadi telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna, mungkin ini sudah takdirnya diuji begitu. Tetapi benarkah ibu bapa sudah memberikan didikan yang sempurna didikan kepada anak-anak? Saya percaya, jika anak-anak diberi didikan yang cukup mantap dalam agama, insya Allah, kisah si Tanggang moden ini dapat kita minimumkan. Mari kita refresh didikan asas untuk anak-anak dan kenal-pasti kelemahan yang masih kita perbaiki.

Dari segi prinsip dan perkara pokok dalam didikan, mendidik anak lelaki dan anak perempuan sama saja. Tanggungjawab ibu bapa Mukmin dalam soal ini ialah memberi sebaik-baik didikan sebagaimana yang Allah dan Rasul kehendaki. Kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah – sama ada anak itu ‘menjadi’ atau tidak. Kerana setiap kita akan ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti berkenaan amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan di pundak kita. Memberi didikan yang baik dan sempurna ini adalah hak paling utama bagi anak-anak yang wajib ditunaikan oleh ibu bapa.

Kesedaran ibu bapa secara mendalam terhadap hak pendidikan anak-anak ini sangat perlu dan penting bagi memelihara zuriat dan keturunan mereka daripada kehinaan, kerendahan dan kejahilan. Untuk itu, ibu bapa perlu memahami paling tidak perkara yang dikira asas ilmu pendidikan itu sendiri. Dengan itu, tidaklah kita hanya menyerahkan bulat-bulat anak kita kepada sekolah dan guru-guru. [NB: Saya masih ingat lagi pada hari pertama saya menghadirkan diri ke sekolah anak pada awal tahun ini (anak sulong masuk Pra-sekolah) guru besar sekolah anak berulang-ulang kali berpesan dalam ucapan alu-aluannya, “Ibu bapa adalah guru pertama dan utama dalam setiap anak. Kami sebagai guru cuma pemegang amanah kedua selepas ibu bapa dan bertanggungjawab terhadap anak-anak dalam masa yang ditetapkan sahaja.” Maksudnya, guru cuma memegang amanah dalam lingkungan masa anak berada di sekolah sahaja, sepanjang waktu selain dari waktu sekolah adalah tanggungjawab mutlak ibu bapa anak-anak itu sendiri.]

Dalam soal mendidik anak lelaki dan anak perempuan, kaedah yang digunakan ada yang berbentuk umum dan ada yang berbentuk khusus. Bila dikatakan kaedah umum, maksudnya ada kaedah pendidikan yang sama dikongsi anak lelaki dan anak perempuan. Kaedah khusus pula adalah kaedah yang hanya tertentu kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja – sesuai dengan fitrah, tanggungjawab dan peranan mereka yang berbeza.

Kaedah umum dalam mendidik anak-anak, baik yang lelaki atau perempuan, meliputi perkara-perkara berikut:

1. Mendidik iman dan akidah yang hak

a. Mengenalkan Allah – Lahir sahaja anak ke dunia, biarlah perkataan pertama yang didengarinya adalah sebutan nama Allah. Sebab itu disunatkan azan di telinga kanan, iqamah di telinga kiri bayi sama ada bayi lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah SAW, “Bukakanlah (baca dan ucapkanlah) kepada anak-anak kamu kalimat pertama dengan La ilaha illallah.” (Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Abbas r.a.)

b. Mentaati Allah – Ini merupakan didikan iman paling asas selepas mengenalkan anak-anak kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW : “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan. Sebab hal itu akan melepaskan mereka dari seksa neraka.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

c. Tidak mensyirikkan Allah – Ini penting untuk membersihkan akidah anak, sebagaimana nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

Sehubungan itu, ibu bapa harus menanamkan pada jiwa anak-anak hakikat seluruh Rukun Iman yang enam dengan sebaik-baiknya.

2. Memberi nama yang elok dan melakukan akikah

Nama yang elok berperanan membentuk peribadi anak. Mengenai akikah, sabda Rasulullah SAW : “Setiap anak tergadai akikahnya dengan disembelihkan akikahnya pada hari ketujuh kelahirannya. Pada hari itu ia dicukur dan diberi nama.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam yang empat)

3. Mendidik asas hukum syarak yang berkaitan dengan kehidupan sehariannya. Antaranya:

a. Hukum-hukum Islam yang lima (wajib, sunat, harus, haram dan makruh).

b. Mendidik batasan pergaulan dan aurat – Ini termasuk memisah dan mengasingkan tempat tidur ibu bapa dan mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan. Sabda Rasulullah SAW : “….dan pisahkanlah tempat tidur mereka (setelah berusia 10 tahun).” (Hadis riwayat al-Hakim dan Abu Daud dari Ibnu Amr Ibnil ‘As r.a.)

Rasulullah SAW menekankan soal pergaulan dengan sabdanya : “Hindarilah kamu dari bercampur (secara bebas) dengan kaum wanita.” Anak juga mesti dididik dengan batas aurat terutama bila telah baligh.

Suatu ketika Asma binti Abu Bakar memasuki rumah Rasulullah SAW dengan pakaian yang tipis, lalu Rasulullah SAW menegurnya: “Wahai Asma, apabila perempuan telah mencapai (sampai) usia baligh, maka ia tidak boleh dipandang kecuali ini dan ini (baginda SAW menunjukkan wajah dan kedua-dua telapak tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Mendidik akhlak, adab dan budi pekerti

Ilmu tinggi tidak berguna kalau tidak beradab dan tidak berakhlak dengan Allah dan sesama manusia. Pastikan ilmu dan amalan anak-anak kita menghasilkan ‘buah’ yang masak ranum (akhlak terpuji). Sabda Rasulullah SAW : “Elokkanlah namanya (anak) dan elokkanlah adabnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tiada seorang bapa yang memberikan sesuatu kepada anaknya yang lebih bermakna daripada pemberian adab yang baik.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

5. Mendidik anak tujuan dan matlamat hidup yang jelas

Anak-anak yang tidak ada tujuan dan matlamat hidup akan mudah terpesong dari jalan kebenaran dan mudah juga hanyut dalam arus duniawi. Matlamat hidup tak lain dan tak bukan ingin mendapat keredhaan Allah SWT berpedomankan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Tujuan hidup atau tujuan kenapa Allah mencipta manusia perlu ditanamkan dalam jiwa dan minda anak-anak iaitu untuk berperanan sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia.

6. Mewujudkan suasana yang soleh

Untuk melahirkan anak yang soleh, persekitaran tempat membesar dan tempat beraktivitinya juga kena ‘soleh’ (baik). Kena ada gabungan suasana ibu bapa yang soleh, rumah tangga yang soleh, guru-guru dan kawan-kawan yang soleh, bahan bacaan yang soleh dan paling penting sistem pendidikan yang soleh.

Sabda Rasulullah SAW : “Ajarlah kebaikan kepada anak-anak kamu dan keluarga kamu dan didiklah mereka.” (Hadis riwayat Abdur Razzaq dan Sa’id bin Mansur)

7. Memberi dorongan dan perangsang

Dalam al-Quran, Allah SWT memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan balasan syurga seluas langit dan bumi. Janji-janji Allah ini hendaklah disemai di dalam jiwa anak-anak sehingga menjadi keyakinan dan pegangannya. Selain itu ibu bapa boleh memberi ganjaran dan kata-kata pujian dan kata-kata semangat di atas kejayaan dan kebaikan yang dicapai dan dilakukan oleh anak-anak.

8. Hukuman dengan niat mendidik

Setiap kesalahan anak-anak itu perlu diperbetulkan. Baru ia dapat mengambil pelajaran. Adakalanya dengan nasihat, teguran dan denda. Ada masanya dirotan dengan rotan yang tidak mencederakan.

9. Pemberian (perbelanjaan, hadiah dan sebagainya)

Pemberian kepada anak-anak hendaklah disamaratakan. Sabda Rasulullah SAW : “Sama-ratakan anak-anak kamu dalam pemberian. Maka sekiranya saya suka melebihkan seseorang, nescaya saya lebihkan perempuan.” (Hadis riwayat Imam at-Tabrani dan Khatib)

Mungkin sesetengah kita kurang mampu memberi sepenuh didikan kepada anak-anak kerana kurang ilmu dan sebagainya. Di sini pentingnya anak-anak dihantar kepada guru yang lebih berkemampuan dan lebih berilmu. Itu pun, didikan yang asas tetap perlu bermula dari ibu bapa di rumah.

Semoga bermanafaat dan semoga kita tetapi dilindungi dan dipelihara Allah SWT daripada menghadapi dugaan menderhaka dan diderhakai. Amiin.

NB : Kaedah didikan dipetik dari Surau.townplan. gov.my
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger