Statistik ini tidak termasuk bayi yang dilahirkan hidup, kemudian mati akibat ditinggalkan di tempat pembuangan sampah, surau, tandas dan sebagainya. Statistik ini juga tidak termasuk bayi-bayi yang digugurkan dan dirahsiakan kematiannya (dibuang dan tidak dijumpai). Jika disebut Melayu, kebiasaannya beragama Islamlah. Amat menyedihkan kerana saban tahun kita disogokkan dengan berita yang menyedihkan ini, namun MALANGNYA, statistik ini terus meningkat.
Saya percaya, kelahiran bayi-bayi tidak sah taraf ini akibat kurangnya perisian agama di kalangan kaum Melayu yang beragama Islam dan terlalu mudah percaya dan TERPEDAYA dengan pujuk-rayu lelaki yang suka MEMPERDAYA bertunjangkan nafsu.
Bercakap tentang terpedaya dan memperdaya, mari kita lihat kenyataan yang dikeluarkan oleh LPPKN. Menurut laporan LPPKN yang disiarkan di HMetro 19/03/2010 yang saya baca, matlamat cinta remaja lelaki tidak sama dengan remaja perempuan kerana ia bersandar keinginan seksual dan mahu menyahut cabaran rakan sebaya tetapi tidak sanggup bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
Antara maklum balas yang diberikan remaja lelaki dalam kajian dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ke atas pelajar di lima sekolah menengah di negara ini, sekiranya teman wanita hamil, mereka akan menuduh kehamilan disebabkan perempuan itu mengadakan hubungan dengan lelaki lain, melarikan diri malah sanggup membunuh untuk menghapuskan bukti.
Sedangkan remaja perempuan beranggapan teman lelaki akan menjadi suami dan ini menyebabkan mereka sanggup menyerahkan jiwa dan raga tanpa mengetahui matlamat cinta remaja lelaki.Akibat kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam perhubungan antara wanita dan lelaki menyebabkan kes kehamilan turut membabitkan remaja perempuan yang mempunyai tahap akademik yang baik. Kes kehamilan di kalangan remaja turut membabitkan mereka yang mempunyai kelayakan akademik tinggi kerana kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam soal berkenaan menyebabkan mereka gagal mengawal emosi dan tekanan terhadap perasaan dan akhirnya terperangkap.
Oleh itu, adalah tanggungjawab ibu bapa menerangkan dan memantau kegiatan anak-anak remaja tanpa memberi kelonggaran kepada anak lelaki mahupun perempuan.[NB : Wahai perempuan, janganlah terlalu mudah terpedaya dengan janji palsu... Wahai lelaki, usahlah memperdaya dan pandai merayu jika hanya kerana setitis madu..]
Izinkan saya titipkan hadis berkaitan yang dikirimkan oleh saudara Hizamri, seorang sahabat al-Falaah egrup. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila zahir/nyata zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan siksa Allah.” (Hadis riwayat al-Hakim, dan katanya; sahih isnadnya)
Dalam hadis lain, dengan isnad yang sahih, ditambah; amalan riba. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Di ambang kiamat nanti, akan zahir zina, riba dan juga arak.”
Zina juga dapat menarik bala bencana dan malapetaka, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila zahir/nyata zina dan riba dalam sesebuah tempat, maka penduduk tempat itu telah menghalalkan untuk diri mereka azab dan siksa Allah.” (Hadis riwayat al-Hakim, dan katanya; sahih isnadnya)
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak akan berlaku kiamat itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai. Aku bertanya: Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab baginda: Ya, nescaya akan terjadi.” (Hadis riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Tabarani, hadis sahih)
Daripada Maimunah r.a. berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Umatku akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wajalla akan menurunkan azab siksa kepada mereka seluruhnya.” (Hadis riwayat Ahmad, kata al-Munziri - 3/265: isnadnya hasan)
Statitstik terus meningkat dari tahun ke tahun
Mari kita lihat statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 pula. Menurut laporan PDRM, sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti 92% (532 kes) adalah bayi baru lahir, sementara 8% (48) adalah janin. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan seperti jadual di bawah :
Perlu diingatkan, statistik yang dikumpulkan di atas bukanlah bertujuan untuk 'berbangga' dengan pencapaian anak-anak Melayu, sebaliknya untuk kita sama-sama selami, apakah peranan kita dalam mengurangkan statistik sedia ada. Saya mencadangkan, jika kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa sumbangan, elok juga risalah ini disebarkan kepada setiap kenalan kita, mudah-mudahan ada yang mengambil perhatian dan berfikir banyak kali untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai peradaban manusia dan bertentangan pula dengan hukum syarak.
Isu buang bayi perlu pendekatan holistik
Secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim berkenaan yang dikatakan tidak bertanggungjawab, menuding jari menyalahkan remaja yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi malang itu dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan tidak dikehendaki oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudian dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu, maka kematian mereka tidak harus dibela?
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, mengutuk keras perbuatan berkenaan, menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan.
Setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk mempastikan kesihatan ibu dan anak terjaga sepanjang kehamilan. Setiap bayi yang baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu).
Awal Julai 2009, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu muda yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya. Kejadian begini sangat memilukan dan sepatutnya dijadikan teladan kepada kita semua.
Katanya, sama ada suka atau tidak, mahu atau sebaliknya ibu dan bayi perlu diberikan perhatian tanpa mengambil kira bayi itu dihasilkan menerusi cara halal atau haram.
Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj berpandangan, pendekatan yang lebih pragmatik dan SERIUS perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi. Ia tidak boleh dilihat dari sudut pandangan gejala sosial dan seksual semata-mata, sebaliknya pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekan kedua-dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.
Beliau yang mewakili JIM menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial ini.
- Ia mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu MESTI mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.
- Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkah-laku ahli-ahlinya.
- Pihak berwajib MESTI mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
- Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata.
Sekalipun langkah pencegahan dijalankan, akan tetap ada ahli masyarakat yang akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan sering kali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/Aids dan keganasan seksual.
Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat lebih ramai bayi dibuang di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?
Dalam konteks ini, JIM mencadangkan pendekatan rawatan (prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :
1. Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mesti diberi peluang dan hak untuk hidup. ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW di mana seorang wanita al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya.
Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai 'rahmatalil 'alamin' (rahmat untuk sekalian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru dilahirkan.
2. Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, MESTI mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy ) sering kali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, pre-eklampsia, kelahiran pramatang atau kematian ketika melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.
Sementara itu, meletakkan kesalahan pada bahu wanita semata-mata tidak seharusnya berlaku kerana mungkin dalam keadaan tertentu wanita berkenaan menjadi mangsa. Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan MESTI dipertanggungjawabk an. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal-usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki yang terlibat dalam perzinaan TIDAK boleh SEWENANG-WENANGNYA lepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.
Melihat kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat kita, lelaki tersebut dibiarkan bebas dan nescaya, dia boleh mengulangi perbuatan zina dengan teman wanita yang baru pula. [NB : Mentang-mentanglah bukan perut dia yang buncit!] Melihat senario hari ini, sudah tiba masanya agar tindakan keras di bawah undang-undang sivil dikenakan ke atas lelaki terbabit. Adalah tidak adil jika hanya pihak perempuan sahaja yang menanggung sengsara. Tanpa benih daripada lelaki, maka anak tidak sah itu tidak akan lahir. Jadi, kedua-dua pihak perlu dikenakan tindakan. Ibu bapa kepada remaja lelaki dan perempuan terbabit juga wajar dikenakan tindakan. Setidak-tidaknya, kaunseling diberi kepada mereka agar mereka turut berasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas anak masing-masing.
3. Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan MESTI mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya si ibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain.
Bagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit atau ‘one-stop centre’ yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi saja. Cadangan pendekatan rawatan diharap dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuatan sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam.
INFO: Lokasi buang bayi
• Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
• Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.
• Pelaku membuang bayinya di tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran, malah lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran berkenaan.
• Dalam kes pembuangan bayi, negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seksual di sekolah. Jerman antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di Baby’s Craddle akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.
• Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta atau agensi anak angkat. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi berkenaan tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak berkenaan boleh diberi kepada keluarga angkat.
• Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang Safe Haven yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meninggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang Safe Haven ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja terbabit.
Apa perlu dilakukan jika pelajar dikesan hamil?
CIKGU Jasmin (bukan nama sebenar) terpanggil menceritakan pengalaman pelajar sekolah menengah tempatnya mengajar melahirkan anak di rumah tanpa pengetahuan ibu bapa membuktikan mana-mana remaja yang terdesak tidak tahu ke mana arah dan tuju mendapat bantuan. Takut, bimbang, malu bercampur baur menjadikan tindakan diambil selalunya tidak terjangkau oleh fikiran waras.
Kisah berlaku di sebuah sekolah di luar bandar. Menceritakan kepada penulis, katanya, pelajar berkenaan dikenali sebagai Z, tidak nampak tanda-tanda pelajar nakal. Pelajar berkenaan bersekolah di sekolah menengah A sejak tingkatan 1. Keputusan PMR tidak begitu membanggakan, tetapi tetap meneruskan persekolahan ke tingkatan empat sekolah sama. Bagaimanapun ketika awal tingkatan 4 beliau memohon mengikuti pelajaran ke sekolah swasta di sebelah Pantai Timur dengan alasan lebih privasi, atas sokongan keluarga. Di situlah beliau mengandung.
“Tidak lama di situ beliau berhenti, mungkin kerana sudah mengetahui dirinya hamil. Z menyambung pengajian di sekolah menengah A semula. Memang pelajar ini bertubuh besar. Bukan saja pihak sekolah tidak tahu beliau hamil, sebaliknya ibunya yang juga berkhidmat di sebuah hospital, langsung tidak mengetahui dia hamil,” katanya. Dalam temuramah dengan ibu pelajar berkenaan, Cikgu Jasmin berkata, ibu Z tidak tahupun anaknya melahirkan bayi berkenaan di dalam bilik di rumahnya.
“Z melahirkan anak berkenaan dalam bilik. Ketika melahirkan anak berkenaan A hanya memutuskan tali pusat bayi itu dengan hanya memutuskannya merentap menggunakan tangannya, hinggakan bayi berkenaan mengalami masalah di bahagian tali pusat. Ketika bayi menangis A akan memberikan susu formula orang dewasa kerana tidak tahu menguruskannya. A juga mempunyai tabiat memasang radio kuat hingga ‘kegiatannya’ sukar dikesan ibu sendiri yang bekerja sebagai jururawat desa. Bagaimanapun cerita itu akhirnya terbongkar apabila A didapati semakin lemah dan ibunya membawanya ke hospital. Di hospital semua perlakuannya itu terbongkar,” katanya ringkas.
Pendedahan Cikgu Jasmin boleh menimbulkan pelbagai persoalan, seperti bagaimana pihak sekolah dan ibu bapa menangani isu sebegini. Adakah pelajar dibenarkan bersekolah walaupun hamil, dan bagaimana pula cuti bersalin? Beliau berharap pihak berkaitan boleh bersama-sama memikirkan isu ini dan mencari jalan terbaik menanganinya.
Mungkin agak sukar untuk kita mengaplikasikan ke semua cadangan JIM di atas, tetapi kita sebagai ibu bapa yang mempunyai anak remaja tidak kira lelaki dan perempuan patut memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang perbezaan lelaki dan perempuan dalam pertanggungjawapan mereka dalam perhubungan intim tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Saya yakin, jika setiap ibu bapa 'membersihkan isi rumah dan halaman masing-masing', tentu seluruh negara akan bersih, insya Allah!
Renung-renungkan!
NB : Sekiranya anda ingin menyumbang kepada usaha Wanita JIM, hubungi Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah di Lot 300.2, Lorong Selangor, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. Boleh juga hubungi talian 03-41073379 atau kunjungi laman web www.raudhatussakina hpusat.blogspot. com dan www.jim.org. my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : HMetro 19/03/2010 dan BHarian 09/03/2010
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !