Headlines News :
.
Home » , » MENCARI ERTI PERSAUDARAAN YANG HILANG

MENCARI ERTI PERSAUDARAAN YANG HILANG

Written By Unknown on Saturday, January 2, 2010 | 20:28

MENCARI ERTI PERSUDARAAN YANG HILANG

Dalam mengharungi era globalisasi ini terasa ada sesuatu yang hilang di antara kita. Kita mungkin disibukkan oleh soal mencari rezeki dan mengurus keluarga dan anak-anak serta memastikan mereka mendapat didikan yang sempurna. Tetapi dalam suasana kesibukan itu terasa hubungan kita di antara sesama sendiri, khususnya sesama Muslim terasa semakin jauh atau sengaja dijauhkan. Walau pun mungkin kita berdekatan, tinggal hampir dalam satu kawasan perumahan, dalam satu taman, dalam satu tempat kerja, tetapi hubungan di antara kita terasa renggang di antara satu sama lain. Kenapakah demikian terjadinya? Mungkin terutama hal itu disebabkan oleh arus materialisme yang melanda jiwa kita, jiwa umat Islam kini, sehingga tidak ambil peduli di antara satu sama lain.

Sememangnya arus materialisme sedang melanda umat Islam kini, sehingga kita kadangakala terlupa kewajiban di antara kita, iaitu menjalin tali persaudaraan sesama Islam, menjalin rasa kasih sayang sesama Muslim seolah-olah kita sebenarnya adalah dalam satu keluarga besar iaitu keluarga Muslim yang akhirnya mewujudkan pula masyarakat Muslim. Dari sinilah kita bergerak ke hadapan, kepada matlamat yang lebih besar iaitu melahirkan masyarakat Islam dan seterusnya negara Islam. Tanpa itu semua, kita mungkin gagal menuju cita-cita umat Islam yang ideal itu.

Islam sebenarnya sudah pun mempunyai landasan yang kuat dalam mempersatukan sesama manusia dengan apa yang dipanggil tali persaudaraan Islam atau pun ukhuwah Islamiyyah. Islam datang ke dunia ini dengan membawa beberapa tugas penting, dan di antara tugas itu ialah mempereratkan hubungan di antara sesama manusia, mempererat hubungan di antara hati ke hati, menyusun rapat barisan di antara satu golongan dengan golonngan yang lain. Matlamatnya adalah untuk mencapai satu kesatuan yang utuh di antara sesama manusia, supaya terjalinnya kekuatan dan menghindari sebab-sebab yang mungkin membawa keruntuhan dan kehancuran.

Sebab itu Islam telah mengikat seluruh kaum Muslimin dengan satu ikatan yang kuat, iaitu ikatan persaudaraan sesama Muslim. Dengan adanya tali persaudaraan ini terhurailah segala bibit-bibit perpecahan yang mungkin berlaku, terhurailah sebab-sebab yang menjadikan perpisahan dan jauh menjauh di antara sesama kita, baik yang berlainan keturunan yang mempunyai status sosial yang berbeza, kedudukan pangkat dan kekayaan yang berbeza, bangsawan dan rakyat jelata atau lain-lain hal yang menimbulkan perbezaan faham yang menyukarkan jalinan hubungan di antara sesama manusia itu sendiri. Firman Allah " Hanya sanya seluruh orang mukmin itu bersaudara."(Al Hujarat:10). Persaudaraan di sini bukanlah satu gagasan yang hanya indah pada sebutan dan bahasa, tetapi ia mestilah berbuah dalam perasaan, berbekas di jiwa dan hati, dan mestilah pula ia berbekas dalam kehidupan setiap Muslim itu. Itulah yang dimaksudkan dengan persaudaraan yang sebenarnya dalam Islam.

Dalam hubungan ini, seseorang Muslim itu tidaklah seharusnya membiarkan saudaranya yang lain ditimpa oleh malapetaka atau pun musibah dan kesulitan. Orang yang berkuasa seharusnya menghulurkan pertolongan dan wajib menunjukkan kesetiaannya dalam persaudaraan Islam ini dengan membantu meringankan beban atau melenyapkan sama sekali penderitaan yang ditanggung oleh sesama Muslim. Ia harus bermurah hati terhadap saudaranya itu, ringan tangan menghulurkan sesuatu yang dimilikinya dan tidak harus membiarkan saudaranya terus menerus dalam kesukaran dan kepayahan. Dalam hal ini Rasulallah Saw pernah bersabda yang bermaksud:" Seseorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, maka janganlah menganiayanya, jangan merendahkannya, dan jangan pula menghinanya. Seseorang itu dianggap buruk (keji) jika ia sampai menghinakan saudaranya sesama Muslim. Setiap orang Muslim terhadap orang Muslim lainnya adalah haram darahnya, hartanya dan kesopanannya (hadis riwayat Abu Hurairah)." Dengan kata lain darah tidak boleh mengalir di antara sesama Muslim, hartanya tidak boleh diambil tanpa keizinan, dan kehormatan saudara sesama Islam wajib dipelihara.

Islam juga mewajibkan kepada setiap individu Muslim supaya menghormati di antara satu sama lain. Setiap orang haruslah menjaga kehormatan sahabatnya,kehormat an saudaranya sesama Islam. Sama sekali tidak dibolehkan seseorang menghina seseorang yang lain, mencela atau menodai saudaranya itu, atau berbuat sesuatu yan merosakkan darjatnya di mata masyarakat, juga tidak menyebut-nyebut keburukan dan kejelekannya di hadapan umum. Ia juga tidak boleh memberikan gelaran yang tidak disukai oleh sesama Muslim.Muslim juga dilarang melakukan sesuatu perkara yang menyebaban orang lain terhimpit dan tersepit kehidupannya, bahkan dilarang juga berprasangka buruk di antara sesama Muslim. Al-Quran dalam hal ini mengingatkan kita sebagaimana firmanNya yang bermaksud:" Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu golongan itu menghinakan golongan yang lain, sebab barangkali golongan yang dihina itu lebih baik dari yang menghinakannya. Jangan pula para wanita itu menghina wanita yang lain, sebab wanita yang dihina itu barangkali lebih baik dari wanita yang menghinakannya. Jangan pula kamu menodai diri sendiri dan jangan pula gelar-menggelari dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama itu ialah berlaku fasik sesudah beriman. Barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan rasa prasangka, sesunguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah berdosa (mengandungi dosa), Janganlah kamu mencari-cari keburukan orang lain, dan jangan pula mengumpat di antara setengahnya dengan yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara kamu yang telah meninggal? Tentu saja kamu tidak menyukainya. Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha penyayang. (AlHujarat ayat 11-12)."

Dengan demikian kita melihat hubungan sesama Muslim dalam doktrin Islam amat perlu dijaga. Tidak ada dalam ajaran agama lain yang sedemikian telitinya terhadap hubungan sesama manusia. Kita perlu menjaga hubungan sesama insan sehingga sampai kepada jiwa dan perasaannya, di mana keadaan-keadaan seperti ini semakin terhakis sejak kebelakangan ini. Bahkan Islam, dalam merapatkan jalinan hubungan sesama manusia ini menggalakkan jalinan hubungan itu sampai ke tahap kasih mengasihi, cinta menyintai di antara sesama Muslim. Alangkah indahnya agama ini! Bahkan juga, cinta dan kasih sesama Muslim ini dikaitkan dengan keimanan. Ertinya tidak sempurna iman seseorang Muslim itu jika tidak ada perasaan kasih dan cintanya di antara sesama Muslim. Sabda Nabi Saw bermaksud:"Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia menyintai saudaranya seperti menyintai dirinya sendiri (Riwayat Bukhari & Muslim)." Cinta itu dihubungkan dengan iman. Sehingga kurang iman kalau kurangnya cinta, dan cinta yang dimaksudkan di sini adalah berdasarkan agama, bukan atas rasa perikemanusiaan semata.

Imam Nawawi dalam mengupas permasalahan ini menyebutkan bahawa lebih utama pengertian saudara dalam hadis di atas diperluaskan maksudnya meliputi insan sesama Muslim dan bukan Muslim. Dengan begitu, wajiblah seseorang Muslim itu mengasihi dan menyintai saudaranya yang Islam supaya ia kekal terus dalam agama Islam, juga mengasihi yang bukan Muslim agar suatu hari nanti ia akan memeluk Islam. Dan kerana itu jelas Imam Nawawi, doa untuk diberi hidayah kepada orang bukan Islam adalah digalakkan (Syarah Arbain Annawawiyyah) .

Cinta sesama insan itu adalah digalakkan kerana dengannya kita memperolehi kebaikan dan manfaat. Cinta itu bukanlah kerana tabiat semula jadi insan, tetapi cinta dan kasih yang didasari oleh ruh keagamaan. Memang tabiat manusia bahawa ia tidak suka melihat orang lain mendapat kebaikan, atau orang lain itu berbeza keadaannya daripada dirinya. Sewajarnya seseorang Muslim wajib memerangi tabiat buruk manusia itu, dan berdoa untuk saudaranya dan mengharapkan kebaikan untuknya sebagaimana kebaikan untuk dirinya.

Seorang yang beriman sebenarnya bertimbangrasa terhadap saudaranya. Kalau saudaranya berduka maka ia pun berduka.Kalau saudaranya itu gembira maka dia pun gembira. Pendekkata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing sepatutnya menjadi amalan bagi setiap insan Muslim. Sebab tali persaudaraan sesama Islam mengikat insan itu agar diletakkan di atas persaudaraan yang kuat dan bersih, di mana hal ini boleh mengelakkan perpecahan di antara sesama Muslim. Dengan itu anggota masyarakat Muslim juga akan terhindar dari anasir-anasir permusuhan dan kedengkian sesama sendiri. Hal ini adalah menjadi tunjang dalam pembinaan sebuah masyarakat, khususnya masyarakat Islam.

Firman Allah bermaksud:" Wahai orang-orang yang beriman, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah, dan janganlah bercerai berai.. ( Ali Imran:103)." Dalam ayat tersebut kita melihat konsep persaudaraan Islam itu adalah berdasarkan tali Allah iaitu para mufassirin (ahli tafsir) memberikan maksudnya dengan agama Allah, iaitu Islam. Ini membawa maksud sebarang hubungan persaudaraan yang di luar dari tali Allah tidaklah akan membawa kepada persaudaraan dalam pengertian yang sebenarnya.

Ayat berkenaan juga menjadi landasan kepada perpaduan dalam Islam. Orang-orang Islam akan terus bersatu padu jika mereka berpegang kepada tali Allah (agama Allah). Sekiranya asas kepada perpaduan ini telah terhurai, maka sukarlah bagi kita menyatukannya kembali. Inilah persaudaraan dan perpaduan yang dikehendakki Islam, iaitu perpaduan dan persaudaraan yang sejati yang tiada tolok bandingnya. Orang-orang yang beriman hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan tali Allah, tali yang dilarang diputuskan oleh perasaan benci membenci, pandang memandang kerana berlainan faham dan aliran, yang mana kesemuanya itu menyebabkan pupusnya perasaan cinta dan kasih sayang di antara sesama Islam, juga sesama insan samada Muslim dan bukan Muslim.

Begitulah, apa yang kita dapati persaudaraan dan kasih sayang yang ingin dijalin oleh Islam jauh melampaui kaum kerabat, suku bangsa dan tidak mengenal batas dan sempadan. Perasaan seperti inilah yang harus kita dapatkan semula dari ruh Islam itu sendiri supaya ia terjelma di alam nyata. Kehilangan rasa persaudaraan dan cinta kasih yang disebutkan di atas tadi di antara sesama kita, menyebabkan hubungan kita sesama Muslim kian jauh dari masa ke masa sepertimana yang dibicarakan di awal tulisan ini tadi. Ditambah pula dengan aliran kehidupan kini, kehidupan yang berlandaskan kepada faham materialisme, yang menyebabkan fikiran kita hanyalah berkisar kepada benda-benda yang maujud itu sahaja. Perasaan kasih sayang, tali persaudaraan, mengambil berat di antara satu sama lain dan sebagainya itu telah semakin kita lupakan. Dan seperti yang disebutkan di awal tadi, kita semakin merasakan kehilangan, kehilangan kasih sayang dan perhatian di antara sesama manusia, semata-mata kerana terlalu mementing dan memikirkan masalah kebendaan. Dan jika kita ingin mencari 'sesuatu yang hilang itu', kita hanya ada satu jalan. Dan jalan itu ialah jalan Islam.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger