Headlines News :
.
Home » » Kekejaman peragut dan ah Long

Kekejaman peragut dan ah Long

Written By Unknown on Thursday, January 14, 2010 | 02:22


Suami pengusaha salon, Jafri Tajul Ariffin
(kanan) memeluk anaknya dalam kejadian samun dan bunuh di Taman Pinji Seni Ipoh pada 20 Mei lalu.


SEPERTI mana tahun-tahun sebelum ini, 2009 tidak kurang dengan berita berkaitan tragedi, nahas dan jenayah yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Berikut peristiwa menarik sepanjang tahun termasuk jenayah ragut yang masih menghantui rakyat negara ini.

3 Mei - Seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, yang terpaksa bertarung nyawa selepas koma dua hari akibat diragut akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Johor Bahru.

6 Mei - Seorang lagi wanita hamil empat bulan, Saripah Mohd. Noor, 34, maut dirempuh kereta selepas terjatuh dari motosikal akibat diragut dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Kampung Padang Raja, Jalan Melor, Ketereh.

6 Mei - Seorang nenek, Tom Salleh, 86, pula menjadi mangsa seterusnya apabila maut akibat ditumbuk oleh dua lelaki yang cuba meragut anak perempuannya di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai.

26 Nov. - Seorang wanita warga emas, Fatimah Salleh, 66, terbunuh akibat cedera parah selepas terjatuh daripada motosikal setelah diragut lelaki bermotosikal di Alor Binjai, Pendang, Kedah.

7 Dis. - Seorang lelaki, Abdul Rahman Mohd. Khadla'din, 34, maut manakala isterinya parah setelah motosikalnya merempuh pagar simen sebuah rumah setelah diragut dua lelaki di Jalan Jejaka, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.

Nahas dan tragedi

28 Mac - Dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Puteri ditemui mati di Bukit Tabuh, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

18 Mei - Lima parah dan dua hilang apabila sebuah kapal tangki milik syarikat Singapura membawa kira-kira 2,000 tan metrik minyak kotor, terbakar di perairan Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

20 Mei - Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh.

29 Mei - Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dirahsiakan selama tiga tahun oleh satu keluarga di Pulau Pinang terbongkar apabila adik-beradiknya mendedahkan dia telah dibunuh oleh bapa mereka sendiri.

2 Jun - Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh.

29 Jun - Seorang ibu sanggup merendam bayi perempuannya yang baru dilahirkan di dalam baldi cat sehingga mati di sebuah rumah sewa di Wisma Bola Sepak, Jalan Gambut, Kuantan.

14 Julai - Anak sulung Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun maut setelah rumahnya di tingkat 32, Kondominium Seri Bayu di Mont Kiara terbakar.

11 Sept. - Sebuah pesawat ringan meragut dua nyawa ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

9 Nov. - Seorang warga emas sanggup menikam isterinya hingga mati selepas wanita itu dikatakan meminta cerai di rumahnya di Alor Setar.

26 Nov. - Seramai 14 orang maut, 13 terselamat manakala dua masih hilang selepas bot yang mereka naiki untuk menyambut Hari Raya Aidiladha karam ketika dalam perjalanan dari Kudat ke Karakit, Pulau Banggi.

Kemalangan meragut nyawa

2 Jan. - Seramai 10 orang maut manakala seorang bayi parah dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 21, Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

13 April - Enam terkorban apabila bas ekspres dua tingkat yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rawang menghala ke Kuala Lumpur.

31 Mei - Tiga rakyat Indonesia maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Urvan yang dinaiki terbalik sebelum dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 128.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Temerloh, 31 Mei lalu.

18 Sept. - Empat sekeluarga rentung manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan.

6 Dis. - Dua sahabat maut apabila sebuah kereta hilang kawalan lalu terjunam dari atas tempat letak kenderaan sebelum terhempas di dalam pusat beli-belah KB Mall, Kota Bahru.

11 Dis. - Seorang pengantin lelaki, Mohd. Ariff Ab. Kadir, 23, maut tiga jam selepas bernikah dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar.

12 Dis. - Dua beradik antara tiga yang rentung apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh sebuah rumah sebelum meletup di Kampung Batu Ulu Klawang, Batu 18, Jelebu, Negeri sembilan.

14 Dis. - Seorang mati manakala 20 lagi cedera termasuk enam parah apabila medan selera di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Jalan Lagenda Bachang, Seremban, tiba-tiba meletup, dipercayai akibat kebocoran gas.

26 Dis. - 10 maut apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Perak.

27 Dis. - Empat sekeluarga maut dengan tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera apabila van dinaiki terbalik dan terbakar dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, Johor.

Kejayaan polis

10 Jan. - Polis Sabah melumpuhkan satu sindiket penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), dengan tertangkapnya 15 orang termasuk dua wanita sekali gus menyelesaikan beratus-ratus kes penipuan itu di seluruh negara.

17 Feb. - Polis menembak mati enam penjenayah yang dikehendaki kerana terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata di sebuah rumah di Kampung Kemunting, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

5 Mac - Polis Kelantan menembak mati empat penjenayah paling dikehendaki terlibat dalam 35 kes rompakan, dalam kejadian berbalas tembak di persimpangan Kampung Sungai Sam-Dabong di Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

23 Mac - Satu sindiket dadah antarabangsa bernilai RM61.3 juta, didalangi oleh warga Taiwan tumpas selepas polis menyerbu sebuah kilang yang dijadikan makmal di kawasan perindustrian Tebrau, Johor Bharu.

3 Mei - Polis menahan tiga lelaki dan merampas sebuah lori membawa muatan 900 kilogram syabu bernilai RM254 juta di sebuah kawasan di Rompin. Anggota polis terbabit turut ditawarkan sejumlah wang RM500,000 sebagai ganjaran untuk dilepaskan.

13 Mei - Sebuah kumpulan samun warga Indonesia, 'Geng Bonding' berjaya ditumpaskan selepas polis menembak mati lima ahlinya di susur keluar Jalan Seelong ke Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor Bahru.

13 Mei - Ketua Polis Johor, Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sepucuk pistol yang berjaya dirampas dari sekumpulan perompak yang merompak di sebuah rumah di Kampung Sinaran Baru, Skudai pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, (IPK) Johor Bahru.

8 Jun – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu oleh dua lelaki warga Iran setelah merampas 20.4 kilogram dadah itu bernilai RM5.1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

20 Jun – Sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa turut ditumpaskan apabila polis menahan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen Johor termasuk lima pegawai kanan.

25 Julai – Polis menembak mati dua penjenayah yang memecah masuk rumah ibu penyanyi terkenal, Asmawi Ani, 28, atau Mawi di Felda Taib Andak, Kulaijaya.

5 Okt. – Empat penjenayah yang terbabit sekurang-kurangnya 41 kes samun bersenjata ditembak mati di sekitar Kedah dan Perlis di kawasan tangki air Bukit Kukus.

14 Dis. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penjualan bayi dengan tertangkapnya sembilan ejen termasuk dalang dan empat pembeli dalam tangkapan berasingan di Banting, Klang dan Kajang, Selangor.

Kegiatan ah long

27 Mei – Tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ceti haram itu.

12 Julai – Empat ketua ah long termasuk seorang yang bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan kes membabitkan kegiatan ceti haram itu yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara.

Peristiwa-peristiwa lain

6 Mac – Setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet berusia 40-an ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah restoran kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

7 Mei – Orang ramai gempar apabila beberapa keping gambar bogel seorang ahli politik wanita tersebar di sebuah laman blog.

12 Mei – Polis menahan Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir pada 12 Mei lalu kerana dipercayai terlibat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Kuala Terengganu.

17 Ogos – Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull membuat kejutan yang suruhanjaya itu akan memberhentikan sementara siasatan terhadap ahli politik berkuat kuasa serta merta.

1 Sept. – Lelaki warga Perancis yang terkenal dengan gelaran Spiderman kerana kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa kelengkapan, akhirnya berjaya menawan puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas. Bagaimanapun dia ditahan dan didenda RM2,000.

2 Nov. – Seorang ahli Parlimen adalah antara lima yang didakwa SPRM di Mahkamah Shah Alam kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan rasuah.

4 Dis. – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang sepatutnya menamatkan tugasnya pada 25 Mei tahun depan mengemukakan notis bertulis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatan beliau.

--
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger