Headlines News :
.
Home » » Perjalanan Terakhir

Perjalanan Terakhir

Written By Unknown on Thursday, January 28, 2010 | 12:40

ANGAH meninggal hari ini. Waktu diberitahu melalui telefon oleh pihak hospital, aku hanya berdiam diri. Sangkaku, aku cukup tabah untuk tidak menangis. Namun apabila sekujur tubuh kakunya diusung ke dalam rumah, aku dan adik gagal menahan airmata. Angah diletakkan di tempat baring yang telah kami siapkan untuknya. Dan emak berlagu sayu menatap sambil mengusap wajah Angah yang ditampan dengan pengikat kepala.Rasanya terlalu lama kami adik beradik menantikan saat ini. Terlalu kerap kami mendoakan kematian Angah, jika itu saja caranya.

Tiga hari lalu, aku dan Along bergegas ke kampung apabila emak menelefon tentang Angah yang tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas. Dia dikejarkan ke hospital dan seperti yang diduga Angah jadi begitu kerana pengambilan dadah yang berlebihan. Heboh sekampung tentang peristiwa itu.

"Zila malu, mak. Zila tak mahu pergi sekolah!" Adikku Zila menghempas beg sekolahnya. Nampak benar wajah bulatnya yang menyinga. Tudung kepalanya yang berwarna putih direntapnya. Matanya mula berkaca.

"Biarlah orang nak kata apapun. Pekakkan sajalah," perlahan emak bersuara.

Begitulah setiap kalinya. Emak pasti membela Angah dan kami semua diminta bersabar. Zila merenung wajahku meminta bantuan. Aku ingin mencadangkan agar Zila tinggal di asrama sahaja. Aku khuatir perkara ini akan mengganggu tumpuannya terhadap PMR yang bakal menjelang beberapa bulan lagi.

Ah, sejarah berulang lagi nampaknya. Jika dahulu aku yang mendengus begitu, kini adikku pula. Begitulah kami turun temurun. Dari Along, aku, kemudian Siti dan kini adikku pula. Angah juga yang tidak berubah.

Aku menyeka airmata yang beriringan dengan Surah Yassin yang kubaca. Ayat-ayat suci bergema dari anjung hingga ke tengah rumah apabila orang-orang masjid mula tiba. Mengikut perancangan, Angah akan dikebumikan selepas solat Zohor.

Kurus benar Angah. Seingat aku, sejak remaja tubuh Angah tidak pernah berisi. Mukanya sentiasa cengkung, tidak berwarna dan mata merahnya pula kuyu merenung ke tanah. Tiga puluh lima tahun usia Angah berlalu dengan sia-sia.

Bagai baru semalam Angah memimpin tanganku dan Siti menyeberangi jalan untuk ke sekolah. Angah menghantar kami hingga ke pagar dan mengingatkan kami supaya menunggunya di tempat yang sama tengah hari nanti. Sebelum pergi Angah melemparkan sekuntum senyuman, Angah memang seorang abang yang baik, berlawanan dengan Along yang kuat bermain waktu itu. Aku terasa dilindungi. Dilindungi oleh Angah.

"Selamat Hari Raya, Ngah!" Kucium tangan Angah yang enam tahun lebih tua daripadaku.
Cepat-cepat dia menarik tangannya. Dia terkejut apabila melihat wang RM50 yang kuselit ke telapak tanganya. "Duit raya," kataku.

"Eh, engkau pulak yang bagi duit pada Angah…"
"Tak apalah. Saya bekerja, Angah tidak…" Peristiwa empat tahun dahulu masih aku ingat. Masa itu Angah baru sahaja keluar dari Pusat Pemulihan. Wajah Angah sedikit bercahaya dan dia lebih banyak berdiam diri. Memang dahulu Angah merupakan anak muda yang pendiam, tapi khayalannya dengan dadah menjadikannya peramah dan merapu tidak tentu pasal. Keluar dari pusat Angah berjaya mengawal dirinya selama tiga bulan. Tapi selepas itu perangai lamanya datang kembali.

Emak menelefonku di Kuala Lumpur selang sehari. Topiknya tentu sahaja tentang Angah yang menyusahkan hatinya. Dia menyalahkan kawan-kawan Angah yang datang mengganggu dan menggoda Angah kembali. Hajat emak yang mahukan Angah mengikuti kursus pertanian yang dianjurkan oleh kerajaan nampaknya tidak kesampaian. Kadang-kala aku rimas dan terasa hati. Ketika kelahiran anak sulungku dulu, emak tidak dapat datang membantu dengan alasan Angah tidak ada yang menengok. Rasanya kasih sayang kami adik beradik terhadap Angah telah tiada tapi diganti dengan perasaan meluat dan benci sehinggakan anak-anakku tidak kubenarkan berdekatan dengannya..

"Kenapa Lang? Kau ingat Angah kau ada Aids ke? Kau buat macam tu, emak yang terasa tau!"
"Emak…..mengapalah emak tak mahu faham-faham? "
"Dia abang kau, Lang.. Abang kandung kau. Anak mak!!"
"Saya tahu, mak. Tapi dia juga penagih dadah mak. Badannya berkudis sana sini. Salahkah saya melindungi anak-anak saya, mak?"

Bergaduh dengan emak kerana Angah memang kebiasaan bagi kami. Emak kata kami tidak mengambil berat dan pentingkan diri sendiri. Emak bukan tidak tahu penderitaan yang kami alami sejak dulu lagi. Dicerca dan dikeji. Adik penagih dadah, adik pencuri dan terkadang disalahanggap bahawa kami juga seperti Angah.

Kami malu pada masyarakat sekeliling yang bagaikan sentiasa memandang jijik terhadap keluarga kami. Semuanya kerana Angah yang membawa noda. Sedangkan Angah sendiri terus khayal dengan dunia ciptaannya tanpa rasa bersalah sepicing pun. Jika Along menjelang remajanya menjadi ulat buku tidak bagi Angah. Dia inginkan kebebasan dan sering tidak pulang ke rumah.

"Apa kau buat tu, Along?"
"Along kunci dia dalam bilik ini mak. Biar dia tak boleh kemana-mana. Biar dia tak memalukan kita lagi!"
"Dia sakit, Long. Kita mesti tolong dia. Siapa lagi yang nak tolong dia kalau bukan kita, Long."
"Macam mana kita nak tolong dia kalau dia tak berubah, mak?"
"Dia nak berubah Long, tapi dia tak berdaya. Kalaulah ayah kau ada…"
"Kalau ayah ada, dia pun akan buat macam ni, mak!"
"Kau ingat Angah kau binatang?"
"Memang dia dah macam binatang, mak. Habis barang-barang dalam rumah ini dijualnya. Tak cukup dengan itu, dia mencuri lagi. Memang dia dah macam binatang yang perlu kita kurung…"

Pangg!! Emak menampar Along dan selepas peristiwa itu, Along tidak tinggal lagi dengan kami sebaliknya duduk menyewa dengan rakan-rakan bujangnya di pekan.
Kadang-kadang tidak adil rasanya apabila waku pembesaran kami dirosakkan hanya kerana Angah. Kedamaian bagai tidak ada lagi di rumah itu. Along juga sering hilang sabar dan selalu juga tangannya naik ke pipi Angah apabila didapatinya Angah menyelongkar dompetnya lagi. Emak meluru membela dan kesimpulannya kami yang tidak bertimbang rasa. Bukan sekali dua orang sekeliling datang mengadu tentang harta benda yang hilang tapi emak tetap tebalkan muka bergolok-bergadai membayar harga yang diminta.

Apabila aku dan Along sudah bekerja, mengubati Angah bagaikan tanggungjawab setiap bulan. Sama ada ikhlas atau terpaksa, tetap kami lakukan juga. Ke bomoh entah berapa kali. Hantar ke pondok untuk perubatan tradisional, dia melarikan diri. Puluhan ribu melayang sekelip mata. Cuma untuk menyayangi Angah secara fizikal tidak dapat kami lakukan.
Dahulu aku dan Siti menghitung hari untuk berhijrah ke tempat lain. Selepas SPM aku ke maktab tapi Siti adik kembarku terpaksa menyambung ke tingkatan enam. Dia menangis mengenangkan nasibnya.

"Sukalah Alang sekarang dapat keluar dari sini. Siti juga yang terpaksa menatap Angah hari-hari. Kenapalah Angah tidak mati saja…"
Telefon berdering dan aku mendengar suara Siti. Dia hampir tiba dan meminta kami menunggunya. Dari nada suara Siti, aku tahu dia menangis. Aku memberitahunya Angah kini sedang dimandikan.
"Siapa? Tanya emak........
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger