Headlines News :
.
Home » » Fenomena MPV...!

Fenomena MPV...!

Written By Unknown on Monday, June 28, 2010 | 12:18

Tahun MPV

Tidak siapa sebenarnya yang betul-betul tahu atau yakin masa yang tepat fenomena kenderaan pelbagai guna (MPV) atau van mini bermula di negara ini, ia berlaku tanpa disedari sejajar dengan permintaan semasa terutama oleh keluarga besar.

Ada pendapat yang kata Toyota Estima yang menjadi pilihan keluarga besar yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan menengah atasan sebagai MPV pertama di negara ini, tidak kurang juga yang berpendapat Toyota Unser malah Naza Ria turut dikaitkan sebagai MPV pertama yang sebenarnya.

Namun, antara sedar dan tidak, pelbagai model MPV dari pelbagai jenama mula membanjiri jalan raya di negara ini, terutama pada hujung minggu dan musim-musim perayaan bagi membawa sesebuah keluarga bersantai, bercuti atau pulang ke kampung berhari raya.

Trend semasa menunjukkan keluarga sederhana besar dengan tiga atau empat anak juga sudah mula memikirkan MPV manakah yang sesuai dengan cita rasa peribadi, kemampuan kewangan, pakej promosi dan tinjauan pendapat umum mengenai model MPV itu.

Dalam pada itu, minat atau lebih sesuai jika ditakrifkan sebagai kegilaan terhadap MPV mula menjadi-jadi sejak suku kedua tahun lalu apabila dua firma gergasi automotif tempatan, Proton Holdings Berhad (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengumumkan hasrat untuk memperkenalkan MPV masing-masing tahun ini.

Minat yang tinggi terhadap MPV keluaran Proton, Exora membuak-buak sehingga beberapa penulis blog serta surat khabar arus perdana dan tabloid tempatan mula menyiarkan bahan bacaan serta gambar-gambar model berkenaan beberapa bulan sebelum pelancaran rasminya.

Malah, Exora sudah mula mendapat tempahan di beberapa cawangan pengedar Proton walaupun operasi pengeluaran kenderaan tersebut masih lagi di peringkat ujian serta rupa bentuk fizikalnya yang sebenar tidak diketahui umum.

Exora dikatakan mampu memberikan cabaran serius kepada Toyota Avanza yang dipasarkan pada harga maksimum RM72,000 untuk enjin 1,500cc dan Nissan Grand Livina yang berharga RM97,000 untuk 1,800cc.

Proton menyasarkan mampu menjual kira-kira 3,000 buah Exora tahun ini walaupun suasana ekonomi negara kian melembap.

Dalam peminat MPV tempatan menanti dengan penuh debaran pengenalan dua model MPV buatan tempatan ini, negara dikejutkan dengan perasmian model MPV buatan China, Chana Era CM8 yang dikatakan sebagai MPV paling murah di peringkat tempatan pada masa ini.

Masakan tidak begitu kompetitif jika Chana Era CM8 yang boleh memuatkan tujuh penumpang dengan harga permulaan RM37,716.80.

Model MPV Chana Era CM8 yang dibangunkan dengan kapasiti enjin 1.3L 16 injap berasaskan teknologi Suzuki menjana 80 kuasa kuda pada 6,000 revolusi per minit (rpm) dengan kuasa terjahan 102 Newton meter (Nm) pada 4,500 hingga 5,000 rpm dengan kelajuan maksima 135 kilometer sejam.

Selain kesemua model MPV tersebut, negara turut diserikan dengan tawaran banyak lagi model yang lain antaranya MPV Hyundai Starex yang boleh memuatkan 11 penumpang, Dua model MPV keluaran Naza Kia iaitu Naza Citra dan Naza Ria serta yang terbaru, Kia Rondo yang akan mengadakan promosi menggila untuk melariskan jualannya serta Citroen Grand C4 Picasso MPV buatan Perancis.

Di samping itu, peminat MPV yang berduit sedikit boleh memandu uji model Mitsubishi Grandis MPV yang dipasang dengan teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control) iaitu enjin 2.4 liter 16-injap SOHC atau boleh juga meninjau model Mercedes-Benz B 170 iaitu MPV kompak yang tebal ciri-ciri feminin.

Mereka yang mahu bergaya sambil berjimat juga boleh memikirkan Honda Stream 1.8 liter yang menjanjikan jaminan tiga tahun dan servis percuma untuk tempoh enam bulan pertama selepas pembelian selain Chery Eastar, MPV edaran Chery Alado Automobile Sdn. Bhd.

Apapun pilihan peminat MPV, dalam keghairahan untuk membawa keluarga berjalan dalam keadaan penuh selesa dan jangkaan harga minyak yang terus rendah, jangan lupa untuk mengutamakan keselamatan sebagai keutamaan nombor satu memandangkan banyak kes kemalangan semasa turut melibatkan MPV pelbagai jenama.

Yang lebih menyedihkan ialah ekoran kemampuan untuk memuatkan jumlah penumpang yang besar berbanding kereta penumpang, maka bilangan ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai yang berhadapan risiko kecederaan ringan atau parah mahupun kematian akibat kemalangan juga adalah lebih besar.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger