MADRID - Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho dilapor mahu menjadikan kapten Liverpool, Steven Gerrard sebagai pemain baru pertama yang dibawanya ke Santiago Bernabeu.
"Gerrard semakin hampir menyertai Real Madrid," demikian tajuk utama akhbar sukan harian Sepanyol, Marca.
Mourinho baru sahaja menyertai Real dengan kontrak selama empat tahun setelah dia mencipta sejarah menjulang kejuaraan treble bersama Inter Milan musim ini.
Dia menggantikan Manuel Pellegrini yang dipecat minggu lalu setelah Real mengharungi musim tanpa sebarang kejuaraan meskipun telah berbelanja besar dengan membawa masuk Cristiano Ronaldo, Kaka dan Xabi Alonso.
Bagi saingan musim baru, Mourinho yang pernah membimbing FC Porto dan Chelsea, berharap dapat memperkasakan skuad Real dengan pembelian dua pemain pertahanan dan dua pemain tengah.
Menurut laporan akhbar Marca, Gerrard, 30, yang juga pemain kebangsaan England menjadi keutamaan untuk dipancing oleh Mourinho.
Ini kerana pilihan utama Mourinho iaitu Daniele de Rossi tidak dibenarkan menyertai Real kerana AS Roma enggan melepaskannya. - AFP
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !