Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.
Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. “Mati kutu” memanjang.Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang… tidak ada cerita baru!
Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, si suami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi “mediator” secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Oh, maaf… saya tidak bercakap tentang “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?
Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.
Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.
Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.
Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!
Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan “hukum 24 jam”. Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.
Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.
Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan “gencatan suara” melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.
Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.”
Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan “sayang” itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. “Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?” Begitulah herdik si suami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?
Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.
Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.
Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti “I love you” atau “Saya sayangkan awak” sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?
Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.
Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.
Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.
Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi “serangan” orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah… jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !