Headlines News :
.
Home » , , » Umat Islam dilarang tiru budaya Kristian, Yahudi

Umat Islam dilarang tiru budaya Kristian, Yahudi

Written By Unknown on Tuesday, June 8, 2010 | 00:02


Oleh Roha Hasan

'Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.'


PERNAHKAH anda memandang wajah di cermin, kemudian berasa rendah diri kerana merasakan wajah tidak secantik rakan lain. Hidung tidak semancung artis pujaan. Kulit tidak secerah gadis jiran sebelah rumah?

Pernahkah anda berasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian serta cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya?

Pernahkah anda tersinggung kerana melihat teman karib memiliki teman lelaki. Pernahkah anda merasakan diri serba kekurangan kerana tiada buah hati?

Pernahkah anda berasa tidak pergi ke disko atau tidak mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukan satu senario luar biasa. Ia perkara biasa di kalangan remaja masa kini.

Kajian Prof Dr Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia berkaitan remaja dan belia menunjukkan bahawa 68 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun menyukai pakaian trendy berbanding 16.1 peratus yang menggemari pakaian tradisional.

Kajian juga menunjukkan 43.1 peratus menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus menjadikan ibu bapa sebagai rujukan. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.

Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah perokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara, 25.2 peratus menganggap agama tidak penting. Kajian ini bukan saja petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, malahan kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya bercanggah dengan agama melanda dengan hebat remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak penting.

Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Dalam bukunya La Tahzan atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan bahasa Melayu Jangan Bersedih – Don’t Be Sad, ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:

“Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakan akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

“Ketahuilah bahawa diri anda adalah sesuatu yang lain daripada lain – unik. Tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda. Tidak akan ada orang yang akan sama dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain. Oleh itu, jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetap berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri.”

Sebagai umat mulia, remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk ikut dalam kemajuan zaman, sebab Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan menguasai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa sama ada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan sebagainya.

Banyak panduan daripada Allah dan Rasulullah dalam persoalan mengekalkan jati diri sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian. Islam menggariskan agar kita memastikan pakaian menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda bermaksud: “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan).” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah berfirman bermaksud : “... dan wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak diperhiasan itu.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, Rasulullah mengingatkan supaya tidak cenderung untuk menurut jejak langkah dan budaya orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Sabda Baginda bermaksud: “Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadang kala melalai dan merosakkan.


PENULIS ialah ketua Kelab Remaja (Putri)
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger