Headlines News :
.
Home » » Jawapan Allah

Jawapan Allah

Written By Unknown on Friday, January 8, 2010 | 13:08

Jawapan Allah

Seringkali saya diajukan soalan tentang jawapan Allah SWT. Soalan yang paling banyak adalah “bagaimana kita ingin tahu apa yang kita rasa itu samada daripada kehendak kita atau kehendak Allah SWT?”

Kali ini kita biarkan dahulu persoalan itu kerana saya lebih suka menjawab dengan beberapa pengalaman sahabat kita yang lain yang pernah meminta pendapat saya. Saudara akan faham dan boleh mendapat jawapan ke atas persoalan di atas dengan sebuah pengalaman saya di bawah.

***

Salah seorang wanita muda pernah berbicara dengan saya tentang jodoh. Beliau bertemu dengan seorang pemuda yang menyintai beliau dan beliau juga menyintai pemuda tersebut. Sebelum beliau suka pada pemuda itu, beliau banyak kali meminta petunjuk pada Allah SWT samada pemuda itu terbaik di sisi Allah SWT atau tidak.

Saya pernah memberitahu beliau agar selalu membaca doa istiqarah iaitu doa yang meyakinkan diri kita. Saudara boleh rujuk di dalam artikel Redha, Pasrah dan Berserah. Beliau mengamalkan doa tersebut dan terus melakukan sehingga kini.

Namun selepas hari raya baru-baru ini, beliau memberitahu saya bahawa ibu bapa, adik beradik, bapa dan mak saudara beliau tidak setuju beliau berkahwin dengan pemuda tersebut disebabkan beberapa hal yang agak munasabah (biarlah saya rahsiakan).

Beliau bertanya kepada saya, “saya meminta doa setiap hari kepada Allah SWT dan hati saya setiap hari semakin kuat inginkan pemuda yang saya cintai ini. Apakah yang sepatutnya saya lakukan? Bukankah apa yang saya rasakan ini jawapan daripada Allah SWT?”

Saya memberitahu beliau tentang jawapan Allah SWT yang seringkali kita tidak lihat dengan mata hati kita. Seringkali apa yang kita nampak adalah daripada akal fikiran kita tetapi bukan daripada ilham yang datang daripada Allah SWT.

Kita berdoa “Ya Allah, jika sesuatu itu baik di sisiMu ya Allah, maka permudahkan ya Allah. Jika ia bukanlah terbaik di sisiMu ya Allah, lakukan sesuatu agar aku tidak lagi inginkan sesuatu itu ya Allah. Hindarilah aku agar aku tidak melakukan sesuatu yang tidak baik di sisiMu ya Allah”.

“Apabila kita mendapat kesukaran di dalam hal jodoh ini iaitu ibu bapa dan sanak saudara tidak merestui, apakah saudari tidak mampu menyedari bahawa ia juga merupakan sebuah jawapan daripada Allah SWT iaitu tidak dipermudahkan untuk saudari? Saudari boleh berkata ia mungkin ujian Allah SWT. Maka teruskan lagi usaha saudari untuk memujuk ibu bapa dan sanak saudara saudari dan yakinkan mereka. Jika mereka terus tidak bersetuju, ambillah pengajaran kerana saudari telah berusaha untuk meyakinkan tetapi tetap gagal.

Jika belum berputus asa, teruskan usaha lagi. Jika ia tidak terbaik buat saudari dan saudari terus bergantung kepada Allah SWT dengan berserah sebenar-benarnya, saudari akan memahami jawapan yang Allah SWT berikan kepada saudari.”

***
Jawapan daripada Allah SWT bukanlah jawapan sepertimana manusia berikan. Jawapan Allah SWT cukup halus dan penuh dengan pengajaran dan manafaat buat hambaNya. Kita diminta untuk mengambil pengajaran di dalam setiap hal yang kita alami agar kita tidak melakukan kesalahan untuk kali seterusnya.

Kita tidak perlu memikirkan sesuatu itu daripada diri kita atau jawapan Allah SWT kerana semuanya adalah pasti kehendak Allah SWT. Apa yang kita perlu lakukan adalah terus berada dekat dengan Allah SWT dengan melakukan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT agar kita menerima ilham taqwa di dalam membuat pilihan. Akhirnya pilihan yang kita pilih itu merupakan pilihan yang terbaik di sisi Allah SWT kerana kita dituntun dengan ilham taqwa yang Allah SWT berikan.

Jika kita terus jauh daripada Allah SWT, kemungkinan besar Allah SWT menuntun kita dengan ilham fujur, kejahatan atau keburukan. Akhirnya malapetaka yang kita alami adalah disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri yang mana jiwa kita penuh dengan kefasikan, keburukan dan kejahatan.

Apabila kita mendapat ilham Taqwa daripada Allah SWT, di kala ini kita akan sentiasa tenang. Kita sentiasa menerima ketentuan Allah SWT dan bersemangat mengikuti ketetapan yang Allah SWT tetapkan.

Kita mudah menyedari, merasai, memahami dan melihat jawapan-jawapan Allah SWT di dalam menuntun diri kita di dalam hidup berTuhan ini. Gerak rasa jiwa di dalam melakukan pilihan yang tepat akan lebih kuat kerana ia tidak diganggu oleh fikiran yang mempunyai 80% perkara negatif.

Tidak perlu memikirkan samada sesuatu itu adalah daripada Allah SWT atau diri kita kerana yang pasti semuanya daripada Allah SWT. Yang penting adalah biarlah jawapan daripada Allah SWT adalah yang terbaik di sisi Allah SWT untuk diri kita. Makanya bulatkan tekad untuk berada dekat dengan Allah SWT, sentiasa bertaubat dan beristighfar, taat pada perintah Allah, tinggalkan maksiat dan sentiasa membuat kebaikan di atas muka bumi, alam sementara ini.

Semoga kita sentiasa diilhamkan dengan ilham Taqwa oleh Allah SWT di dalam kehidupan kita yang penuh dengan pilihan ini. Amin
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger