Headlines News :
Home » , » Rasuah bermula dari rumah

Rasuah bermula dari rumah

Written By saleehs gerrard on Friday, January 8, 2010 | 13:18


Assalamualaikum warahmatullah,

Anda tentu pernah baca kisah projek terbengkalai atau bermasalah yang banyak dikaitkan dengan amalan rasuah, setelah disoal-siasat. Kisah 94% tiang projek yang retak dan berbahaya kepada pengguna lalu lintas di Lembah Kelang mencetuskan suasana hangat di Parlimen, sedikit masa dahulu. Terdapat juga kisah makmal komputer sekolah runtuh, kisah Bangunan Parlimen yang bocor setelah kerja pengubahsuaian dilakukan dalam tempoh kurang setahun, dinding sekolah merekah, sekolah yang gagal disiapkan mengikut jadual dan kisah hospital baru siap yang didapati berkulat/bercendawa n dan terpaksa ditutup kerana berbahaya kepada kesihatan manusia.
Begitu juga dengan kisah bumbung stadium runtuh yang bernilai jutaan ringgit yang baru setahun digunakan, runtuhan ini menyebabkan kira-kira 50% daripada strukturnya musnah. Tidak kurang hebat kisah bahan letupan C4 yang meragut nyawa seorang model luar negara juga menghangatkan berita. Baru-baru ini timbul pula kisah kehilangan enjin kapal terbang dari simpanan unit ketenteraan negara. Aduh... Betapa longgarnya keselamatan negara! Malaysia, negaraku yang berselerak dengan masalah... Saya tidak berniat untuk mengulas lebih lanjut tentang peristiwa di atas, cuma sebut sedikit kisah yang berkemungkinan ada kaitan dengan gejala rasuah.

Hari ini banyak dibincangkan tentang rasuah malah ada cadangan untuk mewujudkan komisen menangani rasuah sedang dibentangkan di parlimen dan telahpun diluluskan. Tapi tiada seorang pun yang telah menyebut tentang peranan ibu bapa dan ahli keluarga dalam pendidikan awal kanak-kanak termasuk taska, tadika, rumah jagaan, rumah anak yatim mahupun sekolah rendah, sedangkan nilai-nilai buruk sebegini sepatutnya boleh dicegah dan dikawal sedari awal. Apakah yang telah kita lakukan untuk mengurangkan aktiviti buruk ini? Bukankah dengan memberikan komisen juga sebenarnya rasuah? Lihat di manakah kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2008, sila rujuk
Rasuah: Kedudukan M'sia merosot lagi.
Apa itu rasuah? Apa yang anda faham tentang rasuah? Dalam Kamus Dewan, rasuah membawa maksud pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap). Ish... apa ke jadahnya 'menumbuk rusuk' nih? Dengan lain perkataan yang mudah difahami, rasuah didefinasikan sebagai memberi hadiah untuk mendapatkan sesuatu atau untuk mengiktiraf sesuatu kejayaan.

Senario 1

Seorang ayah yang baru pulang dari seminar di luar negara. Belum pun sempat lagi berjumpa anak-anak, beliau terus pergi ke pejabat untuk bekerja dan hanya sempat beri anak-anaknya coklat yang telah dibelinya di kedai di lapangan terbang. Anak-anaknya melompat-lompat kegembiraan. Ayah ini berasa sedikit lega kerana tiada seorangpun anaknya yang memintanya supaya jangan meninggalkan mereka lagi.

Tahukah anda, apa yang dibuat oleh ayah di atas adalah satu contoh memulakan rasuah dengan anak-anak? Sebenarnya, anak-anak itu menunggu ayahnya pulang untuk dapat balik rasa selamat, rasa tenteram dan rasa disayangi. Mereka dahagakan pelukan, usapan dan air muka di samping sedikit masa untuk bersama ayah mereka setelah sekian lama menghilangkan diri. Sepatutnya ayah ini tidak memberikan mereka coklat sebaliknya memeluk, mencium dan diikuti dengan menceritakan ke mana ayah ini telah pergi sambil emnunjukkan gambar-gambar tempat-tempat yang telah dilawati dan apa ilmu baru yang telah dipelajari. Dari situ, kita boleh menanamkan semangat minat belajar dengan menyatakan betapa elok sekiranya kita rajib belajar, rajin membaca kita itu akan membina kepintaran kita dan satu hari nanti akan dapat menyambung pelajaran ke luar negara dan melawat lain-lain tempat.

Bila ayah ini memberi kan anak-anaknya coklat, mereka akan berebut-rebut dan mungkin ada yang bertumbuk, memukul kerana mahu yang terbanyak, malah ada pula yang merajuk kerana tidak dapat sebanyak yang diingininya. Jika keadaan begini sering berlaku, anak akan kaitkan ayah ke luar negeri atau tidak pulang beberapa hari dia MESTI membawa pulang coklat. Kepulangan ayan itu sebenarnya tidak menggembirakan, kerana ayah pulang sebentar sahaja dan lepas itu hilang semula. Apabila ibu atau ayah pergi keluar kerana bila pulang mesti bawa hadiah. Inilah rasuah namanya, dan apabila anak-anak ini dewasa, dia akan buat perkara yang sama. Bermula dengan coklat, hadiah, cenderamata, wang dan lain-lain.

Senario 2

Dipetik dari
bribe-your-child- towards-corrupti on yang telah diterjemahkan :
Suatu hari, saya telah pergi Toys‘R’Us, membeli hadiah untuk sepupu saya. Di sana, saya terserempak dengan sepasang ibu-ayah dan anak kecil mereka sedang ‘beradegan’ di hadapan saya. Anak kecil itu sangat mengganggu dan menjengkelkan, jadi saya berusaha untuk mengendahkannya, tapi saya masih dapat mendengar perbualan mereka anak-beranak. Anak kecil itu mahukan anak patung besar ini (nampak seperti beruang). Si ibu menolak dan tidak mahu membelikan untuknya dan memujuk dengan berkata :

“Jangan menangis, nanti ibu belikan ais krim, ok?”

Anehnya, anak kecil ini membantutkan hasratnya yang mahukan patung besar dan berhenti menangis serta-merta. Saya hampir tidak percaya sama sekali. Dia yang pada mulanya kelihatan seperti tidak boleh ditolak-ansur, tetapi dengan bicara manis ibunya telah kalah dengan kehendaknya sendiri. Selepas itu saya melihat mereka berjalan ke arah McD. Jadi, itulah dia. Pada fikiran saya, boleh jadi suatu hari anak kecil semacam itu akhirnya menjadi ahli politik ‘rosak’ yang bermain dengan wang kotor, atau mungkin menjadi seorang anggota polis trafik mengejar ‘mangsa’ untuk mendapatkan ‘wang kopi’ atau mungkin saja akan menjadi seorang kakitangan kerajaan/swasta yang suka ‘curi tulang’ dan sebagainya. Di manakah nilai keikhlasan, rasa tanggungjawab dalam menjalankan pekerjaan (ibadah) jika sesuatu pekerjaan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran?

Malangnya, tanpa disedari, ibu ini telah mendidik anaknya dengan ‘rasuah’. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu di atas adalah dengan menerangkan kepada anaknya yang dia tidak memerlukan patung besar/mainan tersebut. Berikan penjelasan yang terang dan mudah difahami anak. Cara ini lebih berkesan untuk anak-anak saya. Mereka memang mahukan sesuatu mainan jika dibawa ke tempat sebegini, tetapi saya terangkan kepada mereka tentang ‘keperluan’ dan ‘kemahuan’. Alhamdulillah, saya tidak mengalami situasi di mana anak terpaksa ‘berperang’ dengan anak yang menjerit-jerit atau berguling-guling kerana kemahuan mereka tidak dituruti.

Senario 3

Seorang rakan sekerja (berketurunan India), katanya, dia di’paw’ seorang pegawai polis trafik kerana telah melakukan kesalahan lalu lintas. Katanya, dia tidak mahu disaman dan merayu kepada pegawai berkenaan supaya dilepaskannya. Dia diberitahu jika mahu ‘lepas’, rakan saya diminta memberi habuan kepada pegawai berkenaan. Rakan saya cuma ada wang sebanyak RM5.00 dalam dompetnya pada ketika itu. Pegawai itu tidak banyak bicara dan menyuruh rakan saya menyelitkan wangnya di atas papan (papan untuk tulis saman).

Ceritanya kepada saya, “Teruk betul itu polis, RM5.00 pun dia angkat!” Menurutnya lagi, pegawai berkenaan berketurunan Melayu (saya anggap Muslimlah). Lepaslah duit beli sekeping roti canai/mee goreng/nasi lemak dan segelas teh tarik. MURAHnya harga diri seorang muslim!

Senario 4

Saya sendiri tidak terlepas daripada situasi yang saya andaikan berunsur rasuah. Seorang pengusaha pengangkutan yang pertama kali berurusan, bertanyakan kepada saya bilakah beliau boleh mengutip cek pembayaran untuk perkhidmatannya. Saya jelaskan, cek pembayarannya telah siap dan boleh datang mengambilnya pada bila-bila masa. Beliau bertanya kepada saya bserapa ketul ayam goreng KFC yang saya mahu? Saya tanya kepadanya, mengapa beliau bertanya begitu dan mengagak beliau mahu datang berjumpa saya pada waktu makan tengahari. Beliau menjelaskan kepada saya, seorang rakan saya dari Jabatan Akaun akan meminta beliau membawa satu barrel KFC jika mahu datang mengutip cek pembayaran.

Saya terangkan kepadanya yang beliau boleh datang untuk mengambil cek pembayaran dengan tangan kosong,tanpa perlu membawa apa-apa. Beliau berkali-kali bertanya, adakah saya perlukan apa-apa, selain KFC? Saya jelaskan kepadanya yang saya tak mahu apa-apapun daripadanya. Saya beritahu beliau lagi, saya akan bersetuju jika beliau mahu belanja saya di luar waktu pejabat atas dasar seorang teman dan tidak mengaitkan ‘perbelanjaan’nya untuk mendapatkan sesuatu daripada saya. Agaknya beliau faham apa yang saya cuba sampaikan, semenjak itu beliau tidak pernah bertanya apa-apa lagi.

Saya selitkan lagi situasi di mana saya percaya, ia merupakan satu lagi bentuk rasuah yang dibenarkan oleh masyarakat kita.

Situasi 1

Seorang ayah ‘mengumpan’ anaknya untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan menjanjikan ganjaran RM1.00 sehari sekiranya si anak berpuasa sehari penuh. Sekiranya anaknya berjaya berpuasa penuh selama sebulan (30 hari), bermakna anaknya akan diberi RM30.00 sebagai ‘upah’ atau ‘ganjaran’.

Situasi 2

Seorang ibu menasihatkan anaknya supaya rajin belajar dan dapat lulus peperiksaan dengan cemerlang. Ibu ini juga cuba menggalakkan anaknya belajar bersungguh-sungguh dengan menjanjikan sekiranya si anak lulus dengan cemerlang, anak akan dihadiahkan PS2.


Anak-anak kecil tidak sepatutnya diperkenalkan dengan ganjaran yang berunsur rasuah. Sebenarnya, jika pendidikan di rumah dihalusi dan setiap ibu bapa diberi kursus termasuk guru-guru dan orang-orang kenamaan yang juga ibu-bapa, atuk atau nenek, insya Allah, soal rasuah, menipu, bohong, ponteng sekolah dan lain-lain tidak akan berlaku.

Apa pendapat anda pula?

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger