Headlines News :
.
Home » , » Sebentuk cincin permata satu....................

Sebentuk cincin permata satu....................

Written By Unknown on Monday, January 4, 2010 | 14:17

Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu.
Bukan cemburu kerana ibu lebih cantik atau menawan
dariku. Tapi aku cemburu bila melihat ibu selalu
membeli barang-barang keperluan dirinya yang pelbagai.
Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya
disimpan di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan
setiap bulan, ibu akan membeli kain ela baru untuk
dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa
memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam
almari. Pakaian ibu cantik-cantik dan sebagai anak
yang sudah meningkat remaja (14 tahun) aku akui rasa
cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya
sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan
yang baru.

Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu
ialah, ibu selalu membazir duit dengan membeli
barang-barang kemas yang pelbagai bentuk. Cincinnya
hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima
utas. Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang
satu lagi bulat-bulat bagai kepingan syiling lima
puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk
mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan
semua itu. Aku lihat jiran-jiran ibu juga begitu.
Kerlipan emas sarat di leher, tangan dan jemari. Aku
tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau
keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu.

Yang sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak
pernah membelikan barang kemas walau sepasang
anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit hati juga
kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat
sekurang-kurangnya sebentuk cincin dari ibu. Biasanya
cincin yang ibu rasakan sudah lama dipakai, ibu akan
berikan kepada kakak-kakakku, tetapi tidak aku. Ini
membuatkan aku betul-betul sakit hati.

"Mak ni, asyik beli rantai...jee. .. kan mak dah banyak
rantai.."Aku membebel satu hari bila mak menunjukkan
seutas rantai yang baru dibeli. Juga secara hutang.
"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana
tahu, mungkin berguna satu hari nanti. Lagipun rantai
ni ayah kamu dah janji lama nak belikan mak
dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu.
"Asyik belikan mak....aje. Orang punya takde belikan
pun..."Aku mencebik. Seharusnya aku anak perempuan
yang bongsu patut dilebihkan dalam segala hal. Tapi
ibu tidak pernah bersikap begitu.
"Ibu belikan kak yah dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu
tak belikan apa-apa pun..."
"Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai barang
kemas, tunggu dah kerja esok."Begitu selalunya ibu
membahasakan aku. Sakit hati aku.

Tambah sakit hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun
lebih, ibu menukar rantainya dengan yang lebih besar
lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku dengan sikap
ayah.

Lama-lama aku jadi malas untuk melayan sakit hatiku
lagi. Bila aku terlihat cincin atau rantai baru
dileher ibu, aku hanya diam saja. Aku tidak mahu
bertanya apa-apa. Sehinggalah aku masuk ke asrama di
bandar dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang dari

asrama, aku lihat ibu masih dengan hobinya mengumpul
barang-barang kemas.

Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku
tidak tahu sama ada ibu gembira atau sebaliknya.
Kerana dalam keluarga belum pernah ada anak-anaknya
yang berjaya belajar di universiti. Aku tidak kisah
kalau ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana
sedari kecil memang cita-citaku untuk ke universiti
begitu kuat sekali. Kini hasratku itu telah tercapai
dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan selain
kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan
cemburu andai ibu lebih sayangkan kakak-kakakku atau
ibu lebih sering membelikan pakaian atau perhiasan
untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah manja
sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama.
Sepanjang tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu
tidak belikan langsung apa-apa untuk aku. Aku tidak
perlukan barang-barang kemas begitu dari ibu. Aku
boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti. Yang
penting aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari
kakak-kakakku yang lain.

Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami
lemah badan dan pening-pening yang keterlaluan.
Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas dan ini
sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku.
Aku tidak pernah mengadu pada sesiapa walau dengan
ibu. Kerana aku tidak pernah merasakan ibu akan
memberi perhatian kepadaku. Sehinggalah aku pitam
sewaktu beratur mengambil makanan dan hanya tersedar
bila merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang
penuh garis-garis halus itu aku tatap pilu dan terasa
ada getaran dalam dadaku. Betapa aku tidak pernah
membelek wajah itu sungguh-sungguh sebelum ini. Dan
baru aku sedari betapa berbezanya wajah ibu kini.

Aku cuba bersikap seperti biasa bila doktor
memaklumkan akan keganjilan darahku yang menyebabkan
ia tidak dapat mengalir senormal mungkin. Penyakitku
belum diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga
harus menjalani pembedahan dibahagian buah pinggang.
Sejak itu ibu mengunjungiku saban hari. Dia
membawakan apa-apa saja yang dirasakan menjadi
kegemaranku. Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat
pisang makanan kegemaranku aku jadi begitu terharu
lalu aku menangis teresak-esak. Tapi aku hanya
menangis dalam diam-diam. Aku terlalu menghargainya
tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku
tidak mahu dia melihat aku seperti terlalu berharap
akan kasih sayangnya.

Saban hari ibu menemani dan menyuapkanku makan, aku
mula sedar betapa ibu juga menyayangiku, cuma mungkin
dia tidak atau kurang menunjukkan perasaannya. Aku
jadi malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku.
Beranggapan yang ibu tidak mengendahkanku semata-mata
kerana dia tidak pernah membelikan apa-apa untukku.
Setiap kali ibu ingin pulang, aku teringin sekali
memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal
dan malu untuk melakukannya. Aku hanya mampu mencium
tangan ibu seperti selalu.

Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari.
Bukan kerana aku tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia
menghabiskan wang semata-mata untuk berulang alik dari
rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar
sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di
menengah. Pembedahanku pula terpaksa ditangguhkan
kerana kekurangan wang. Aku terpaksa mendahulukan
wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi.

Semalam, ibu tidak mengunjungiku. Hari ini juga
tidak. Hanya Ayah yang terpacul tengahari itu dengan
membawa khabar gembira. Wan g yang dikumpul telah
mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila
aku bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa
sihat dan tidak dapat datang. Aku menunggu hari esok
dengan sabar.

Pagi itu aku disorong ke bilik pembedahan. Aku tidak
tahu berapa lama pembedahan tersebut. Bila tersedar
aku melihat wajah ayah dan kedua kakakku di sebelah.
Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang wajah-wajah
didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu
apakah mereka tidak gembira melihat aku selamat
dibedah.

"Mak mana, ayah?'Aku bersuara perlahan. "Kenapa mak
tak datang?" Ayah tidak menjawab sebaliknya hanya
memandangku dengan mata yang mula berkaca.

Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat
sambil berbisik ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak
sedar diri selepas itu.

Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak
dapat diselamatkan setelah parah dilanggar motorsikal
dari belakang. Aku tidak dapat menahan hiba bila ayah
menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar dari
sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar
motorsikal yang dipandu laju. Ibu dikejarkan ke
hospital dan sempat menyerahkan bungkusan itu sebelum
menghembuskan nafas.

Kata ibu, bungkusan itu untuk aku. Tanganku
terketar-ketar saat membuka bungkusan kain perca itu.
Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata satu.
Cincin itu untuk aku. Ibu telah menebus semula cincin
itu untuk dihadiahkan kepadaku. Bila aku harus
menjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih
belum mencukupi, ibu telah menggadai semua
barang-barang kemasnya hingga tiada satu yang tersisa.
Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan kepadaku. Ibu
bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh
nanti.

Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin.
Bukankah itu yang selalu aku harapkan selama ini?
Adakah ia telah dapat membayar segala rasa iri hatiku
selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu sepi.
Aku rasa seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang
yang amat aku perlukan .Kenapa baru sekarang aku sedar
segunung intan permata pun tidak akan mampu menandingi
kebahagian memiliki seorang ibu. Dan segunung intan
permata juga tidak dapat membayar air mata seorang
wanita yang telah melahirkan aku.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger