Headlines News :
Home » » IBU - Kandunglah aku semula

IBU - Kandunglah aku semula

Written By saleehs gerrard on Sunday, July 18, 2010 | 17:18

Ibu…setiap titis susumu menjadi darah dagingku,
Senyum tawaku menjadi penawar hatimu,
Jika dahulu engkau menjadi tempatku mengadu,
Kini…hanya Allah s.w.t. tempat berpaut tangisanku…..
 
Setiap manusia dilahirkan oleh seorang wanita yang bernama ibu. Dialah yang menjadi teman, tempat mengadu, dan segala-galanya hanya untuk manusia yang bergelar anak. Kita dibawa ke hulu ke hilir selama 9 bulan tanpa mengenal erti kepayahan dan kesusahan terhadap ibu kita. Malah setiap anggotanya hanyalah semata-mata untuk anaknya.

Dalam kebejatan dunia hari ini, manusia seringkali melupai ibunya yang terlantar jauh di hulu kampung tanpa menghiraukan kehidupannya yang daif. Walaupun berkeadaan demikian, wanita tua yang bernama ibu itu masih meneruskan kehidupannya biarpun hatinya merintih, meronta, dan merayu ingin meminta secebis kasih sayang daripada anaknya.

Jika dahulu ketika kecil kita dibelai, disusukan, diasuh, dimandikan, disuap nasi, kini kasih sayang itu seolah-olah tidak bererti buat anaknya yang telah melupai dirinya. Malah kesibukan bekerja dijadikan alasan dengan mengungkapkan kata “Ibu saya sibuk, kalau tak cukup duit nanti saya berikan lagi”. Bukanlah wang ringgit yang menjadi pertaruhan nyawa, tetapi hanya dengan ungkapan kata-kata yang ikhlas dan kasih sayang sudah memadai baginya.

Umat Islam yang bergelar anak harus sedar betapa pentingnya menghormati, memberikan kasih sayang agar doanya sentiasa berada bersama-sama dalam mengharungi kehidupan agar diberkati Allah azzawajjalla. Setiap titis air matanya yang mengalir atau tercuit hatinya akibat dari perbuatan atau kata-kata yang kesat akan dilaknati Allah s.w.t. dan serta-merta akan menerima balasan daripada-Nya.

Retrospektif kisah Mariam dan anaknya Isa a.s. yang harus dijadikan teladan buat umat Islam pada hari ini. Betapa perit dan hibanya melahirkan anaknya Isa, sehingga beliau terpaksa bersandar pada pohon kurma, dan berkata,”Aduhai…alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan”. Allah s.w.t. sangat menyayangi hamba-Nya, lantas memerintahkan Jibrail, lalu menyerunya.”Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan anak sungai dibawahmu dan goyanglah pangkal pohon kurma ke arahmu, nescaya pohon itu akan mengugurkan kurma yang masak padamu.”

Betapa sayangnya Allah s.w.t. kepada hamba-Nya, begitulah juga sayangnya ibu kepada anaknya. Daripada Ibnu Ma´sud, telah datang seorang A´robi (penduduk kampung) kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada Rasullulah s.a.w.

“Sesungguhnya aku mempunyai bapa, ibu, bapa dan emak saudara, saudara lelaki dan perempuan, datuk , nenek, dan saudara yang lain. Siapakah harus kudahulukan dalam membuat kebaikan kepadanya.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Berbuat baiklah pada ibumu dahulu, kemudian bapamu, dan saudara-saudaramu.”

Oleh hal yang demikian, berbaktilah, berilah kasih sayang kepada ibu yang entah berapa lama lagi sisa hidupnya di muka bumi ini. Ingatlah bahawa rumah orang tua-tua bukanlah tempatnya. Kawan-kawan dan isteri boleh dicari, tetapi ibu yang sejati tiada penggantinya. Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Seringkali kita terlupa. Beribadah sehabis daya, namun kebajikan kepada ibu bapa telah kita lupakan.

Demi malam apabila menutupi cahaya siang,
Dan demi siang apabila terang benderang,
Kalau ibuku masih ada,
Kandunglah aku semula..


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger