Headlines News :
.
Home » » Mengapa aku memeluk Islam..

Mengapa aku memeluk Islam..

Written By Unknown on Tuesday, July 13, 2010 | 12:40

LUMRAH anak perantau, sentiasa meletakkan diri dalam taruhan. Perumpamaan `untung batu tenggelam, untung sabut timbul', dirasakan serasi dengan kisah kehidupan bekas pegawai tentera berpangkat kolonel dari Korea Selatan ini, sewaktu mula menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

Pertemuan diatur oleh teman penulis di kedainya yang terletak di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh. Usahawan dan pembekal ginseng dari Korea ini bukan sahaja berpengalaman luas dalam perniagaan berkaitan ginseng, malah beliau mempunyai kepakaran yang diiktiraf sehingga mendapat gelaran doktor dalam bidang akupuntur.

Beliau yang dimaksudkan ialah Dr. Robert Kim atau nama Islamnya, Muhammad Kim Myoung Hwan, 69 tahun. Lelaki bertubuh kecil tetapi bertenaga ini mengakui serta redha dengan ketentuan Ilahi ke atas dirinya selaras dengan konsep qada dan qadar Tuhan, iaitu kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya.

Akui Muhammad Kim, hasrat awal penghijrahannya tertumpu kepada dua perkara, iaitu menghabiskan tempoh persaraan bersama anak-anak yang telah lebih dahulu bekerja di sini. Kedua, mencuba nasib serta meneruskan tradisi keluarga dalam urusniaga berkenaan ginseng Korea yang diakui kehebatannya sebagai penawar kepada pelbagai penyakit di serata dunia.

Ini sekali gus kata Muhammad Kim, menimbulkan keinginannya untuk berkongsi rahsia memiliki kesihatan yang sejahtera dalam usia lewat senja serta pengalaman bergelar mualaf. Malah penulis sendiri pada awal pertemuan seperti tidak percaya sehinggalah melihat tarikh lahir yang tercatat pada kad pengislaman beliau iaitu 20 Ogos 1936.

Senario yang nyata, sukar dicari orang Malaysia, bangsa apa sekalipun sesegar Muhammad Kim dalam usia hampir mencecah 70 tahun.

``Sejak memulakan perniagaan di Malaysia, kira-kira tiga tahun lalu, pada awal perniagaan, saya dapati ginseng kurang dikenali di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.

``Saya akui, orang Melayu lebih mempercayai Tongkat Ali berbanding ginseng. Hakikatnya, saya berani memberi jaminan bahawa ginseng adalah sejenis herba yang tidak membawa kemudaratan kepada mereka yang mengambilnya. Malah ia sesuai untuk semua golongan usia serta halal kerana penyediaannya tidak mengandungi bahan-bahan sama ada haram atau diragui,'' terang Muhammad Kim yang baru beberapa bulan menamatkan zaman dudanya dengan gadis pilihan hati, Rozita Mior Badri, 44, berasal dari Gombak, Kuala Lumpur.

Kata pujangga, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati menepati kisah cinta pasangan ini. Malah ia diakui sendiri oleh Rozita dan Muhammad Kim.

Cenderamata

``Saya mula mengenali Muhammad Kim sewaktu melihat-lihat barangan cenderamata dari Korea yang terdapat di kedainya. Kami berbual pendek dan bermula dari saat itu, saya kerap mengambil barangan daripadanya.

``Pernah saya tidak datang ke kedainya beberapa hari dan beliau cuba menghubungi saya, bertanyakan khabar serta bila saya akan datang lagi ke kedainya kerana katanya beliau rindukan saya. Dari situlah, baru saya tahu yang beliau menyimpan hati terhadap saya,'' kata Rozita sikap berterus-terang Muhammad Kim adalah antara penyebab yang berjaya menyatukan mereka.

Selain itu, Rozita yang merupakan kakak kepada kartunis dan pelawak tanah air, Din Beramboi berkata, keberanian yang sedikit sebanyak diperoleh semasa berkhidmat dengan tentera, menyebabkan Muhammad Kim tidak gentar bertemu dengan ibu bapa Rozita. Sedangkan pada waktu itu, beliau belum memeluk agama Islam dan secara totalnya, mengamalkan budaya yang jauh berbeza.

``Cinta itu buta... kesempatan bertemu dengan keluarga Rozita saya gunakan sepenuhnya. Saya tahu di dalam Islam, hubungan bebas tanpa batasan diharamkan. Jadi, bapanya menyuruh saya memeluk agama Islam terlebih dahulu sebelum boleh berkahwin. Saya terima dengan hati terbuka.

``Tambahan pula, pada masa itu saya tidak menganut sebarang agama. Apa yang saya tahu, Islam itu agama yang lebih baik berbanding agama-agama lain. Malah ia adalah agama yang sentiasa memudahkan umatnya serta saya percaya hidayah Allah s.w.t. telah datang dalam diri ini,'' cerita Muhammad Kim tersenyum mengenangkan detik awal yang menemukan beliau dengan Islam.

Menurut Muhammad Kim lagi, pengalaman melafazkan kalimah syahadah sebanyak tiga kali begitu bermakna di dalam kehidupannya. Selesai majlis pengIslaman pada 23 September tahun lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kata beliau, menandakan bermulanya sebuah kehidupan baru yang lebih bermatlamat dan mempunyai pegangan kepercayaan yang kukuh berbanding sebelum ini.

Tiga bulan kemudian majlis pernikahan dilangsungkan secara sederhana di rumah keluarga Rozita. Manakala majlis resepsi kedua-dua pasangan ini diraikan di Hotel Vistana pada 26 Disember tahun lalu.

Sungguhpun segelintir masyarakat mengingati hari tersebut sebagai hari hitam kerana insiden ombak besar Tsunami, namun bagi Muhammad Kim dan Rozita, tanggal 26 Disember membuka satu lembaran dan semangat baru dalam melayari bahtera rumah tangga.

Merestui

Ditanya halangan-halangan yang terpaksa dilalui dalam membina rumah tangga, kata Rozita di pihak suaminya semuanya berjalan lancar kerana anak-anak Muhammad Kim begitu memahami agama Islam.

``Anak-anak saya walaupun belum beragama Islam, tetapi mereka tahu serba sedikit tentang agama Islam. Mungkin disebabkan mereka sudah belasan tahun berada di Malaysia. Malah apabila saya menyuarakan hasrat mendirikan rumah tangga dengan orang Malaysia dan memeluk agama Islam, mereka menerima keputusan saya degan hati terbuka,'' jelas Muhammad Kim yang bersyukur memiliki dua anak lelaki dan seorang anak perempuan yang taat dan merestui keputusan bapa mereka.

Namun akui Rozita, proses untuk mendapatkan surat pengesahan dari kedutaan Korea Selatan, imigresen dan Jawi tidaklah semudah yang disangka. Alhamdulillah, berkat kesabaran yang Allah berikan, semuanya berjalan lancar.

Kata Rozita lagi, hal-hal sebegini perlu diambil berat terutamanya kepada wanita atau lelaki yang berkahwin dengan orang asing kerana ia memudahkan proses memohon status penduduk tetap kemudian hari.

Menurut Muhammad Kim, walaupun Islamnya masih baru, namun dalam tempoh singkat itu banyak kebaikan yang diperoleh dan ditemui di dalam agama Islam.

``Di Korea jarang saya bertemu dengan penganut agama Islam. Ini kerana majoriti daripada mereka tidak mempunyai pegangan agama atau berfahaman bebas. Namun di Malaysia bebeza, agama Islam adalah agama rasmi penduduknya. Bagi saya Islam agama yang mudah dan ia sesuai untuk semua zaman dan tempat.

``Malah dalam amalan-amalannya, begitu banyak manfaat yang tersirat selain melakukannya ikhlas kerana Allah. Contohnya, ibadah puasa dan sembahyang. Ia adalah satu latihan atau disiplin diri serta baik untuk kesihatan,'' kata Muhammad Kim berkeyakinan.

Muhammad Kim yang juga bekas jurupulih untuk atlet sukan taekwando juga sering bertemu dan bergaul mesra dengan rakyat Korea lain di kawasan berhampiran sebuah pasar raya terkemuka di Ampang Point, Selangor sehinggakan kawasan ini mendapat jolokan Korean Town.

Peluang ini kata Muhammad Kim digunakan sepenuhnya untuk berdakwah sekadar kemampuan ilmu yang ada. Alhamdulillah, beliau berjaya mengIslamkan beberapa kenalannya.

Ya Allah Ya Tuhanku..aku redha akan ujian dari-MU..pintaku, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi semua ini..



Kisah ini di tulis sekitar tahun awal tahun 2006.
Artikel diambil dari Kak Ros..



Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger