OLEH kerana kes penculikan kanak-kanak terus menjadi perkara membimbangkan di dalam masyarakat kita, kita harus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan lebih perlindungan kepada anak kita.
Kehilangan Shalinie Nashar dan pembunuhan kejam Nurin Jazimin adalah peringatan jelas bahawa jenayah tidak mengenal kaum atau agama dan rakyat Malaysia tidak seharusnya menganggap keselamatan anak perkara ringan.
Ekoran perbuatan zalim terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol dan juga pembunuhan, kita perlu lebih mendidik anak untuk melindungi diri mereka.
Melindungi anak daripada keganasan adalah komponen menyeluruh membela hak mereka untuk hidup, membesar dan pembangunan diri.
Ia bukan saja tugas pihak berkuasa melindungi anak tetapi masyarakat secara keseluruhannya harus turut memainkan peranan mereka. Perlindungan ke atas anak harus dimulakan oleh ibu bapa dan dari rumah.
Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak untuk bertindak balas kepada sebarang situasi berbahaya. Ibu bapa dan penjaga harus sentiasa berhati-hati dan berwaspada bagi memastikan keselamatan terbaik untuk anak mereka.
Ibu bapa juga harus menasihatkan anak supaya berhati-hati terhadap orang tidak dikenali, mendidik mereka mengenai keselamatan dan apa yang perlu mereka lakukan apabila sesuatu insiden berlaku.
Anak perlu dididik untuk berasa sangsi terhadap orang tidak kenali pada setiap masa dan tidak mudah percaya dengan mereka.
Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di sekolah rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutama apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan keselamatan.
Polis dan pihak berkuasa lain juga boleh melaksanakan pelbagai langkah memastikan perlindungan lebih baik untuk kanak-kanak.
TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !