DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Ke-72)
KERAJAAN yang memerintah rakyat di dunia ini hanyalah sementara. -
Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menceritakan mengenai keraguan dan celaan kaum Yahudi terhadap kenabian Muhammad SAW.
Semua ini telah dijawab oleh Allah SWT sebagaimana yang telah kamu ketahui menerusi ayat-ayat yang lalu. Kemudian ayat ini disusuli pula dengan keterangan yang menarik mengenai perilaku mereka serta betapa aneh keadaan mereka.
Sebenarnya mereka tidak patut mencela Nabi Muhammad SAW ataupun meragui kebenaran agamanya.
Ini kerana, sama ada kaum Yahudi mahupun Nasrani telah diperintahkan oleh Allah SWT agar menjelaskan secara terus terang mengenai isi kitab Taurat dan Injil dengan segala bukti yang menyentuh kenabian Muhammad SAW dan kebenaran misinya.
Ayat ke-187
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya" . Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn al-Jauzi berkata, ayat ini telah menjadi khilaf ulama diturunkan kepada siapa dengan tiga pendapat:
A) Kepada Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, al-Suddi dan Muqatil. Atas dasar ini, kitab bermaksud Taurat.
B) Mereka adalah golongan Yahudi dan Nasara. Justeru, kitab di sini bermaksud Taurat dan Injil.
C) Mereka adalah semua ulama. Maka maksud kitab adalah sebagai nama jenis.
ii. Al-Maraghi berkata, kandungan yang terdapat dalam kitab mempunyai dua fasa:
l Menerangkan kepada orang bukan Islam, bahawa mereka diajak kepada Islam.
l Menerangkan kepada orang Islam itu sendiri untuk memberi petunjuk dan bimbingan mengenai pelbagai masalah yang telah diturunkan oleh Tuhan kepada mereka.
Kedua-dua tugas di atas wajib dijalankan oleh para ulama tanpa dikecualikan. Ayat ini menjadi bukti untuk menuntut tanggungjawab mereka.
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat ini menggambarkan perilaku buruk mereka menyembunyikan kebenaran meraih keuntungan sementara dengan istilah yashtarun (membeli).
Biasanya jual-beli disertai dengan tawar menawar untuk memperoleh sebanyak mungkin keuntungan.
Rupanya demikian itulah keadaan mereka, dan kerana besarnya keinginan serta sengitnya tawar menawar itu, maka membeli kata kerjanya adalah yasyry ditambah dengan huruf ta'.
Ayat ke-188
Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau menyangka (Wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Sebab nuzul ayat:
Ibn Jauzi menyatakan terdapat lapan pendapat ulama berkenaan dengan sebab nuzul ayat ini.
A) Nabi bertanya Yahudi tentang sesuatu sedangkan mereka sembunyi dan khabarkan yang lain. Lantas turunnya ayat ini.
B) Diturunkan kepada kaum Yahudi yang amat gembira dengan dunia yang diperolehi dan amat suka manusia memuji mereka seperti katanya Mereka adalah ulama. Inilah pendapat Ibn Abbas.
C) Golongan Yahudi berkata: Kami atas agama Ibrahim dan sembunyi hakikat Muhammad SAW. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Sa'id bin Jubair.
D) Yahudi Madinah mengutus surat kepada Yahudi Iraq, Yaman dan Yahudi di tempat lain dengan berkata: Muhammad bukan Nabi. Justeru, kekallah atas agama kamu. Inilah pendapat al-Suddi dan al-Dhahaq.
E) Yahudi Khaibar datang kepada Nabi dan sahabatnya seraya berkata: Kami atas pandangan kamu dan kami bagi kamu menentangnya. Mereka berpegang dengan kesesatan. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Qatadah.
F) Kumpulan daripada Yahudi menggerakkan bala tentera untuk menyerang Nabi. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibrahim al-Nakhaie
G) Kumpulan daripada kaum Yahudi masuk bertemu Nabi kemudian keluar dengan mendakwa kepada orang Islam bahawa mereka menceritakan kepada Nabi dan mereka dipuji, sedangkan sebaliknya. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat al-Zajjaj.
H) Kumpulan manusia di kalangan munafik, lari daripada peperangan bersama Nabi. Apabila Rasulullah SAW pulang mereka membuat helah dan alasan. Lantas turunnya ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata, azab ada dua jenis:
* Azab yang timbul kerana kesan alamiah yang muncul seketika dialami orang melakukan kebatilan, sesuai dengan ketentuan Allah SWT berlaku dalam masyarakat.
* Azab sebagai tanda kemurkaan yang datang dari langit, seperti gempa bumi, gerhana, angin taufan dan bencana-bencana lain yang membinasakan menimpa sebahagian umat Nabi-nabi terdahulu kerana kekafiran mereka kepada Tuhan, mendustakan para nabi, menyakiti mereka iaitu bersikap melampau terhadap rasul-rasul mereka.
ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Marwan Ibn al-Hakam mengutus seseorang untuk bertanya kepada sahabat Nabi SAW iaitu Ibn Abbas r.a: Kalau semua orang bergembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan maka tentulah semua kita akan disiksa.
Ibn Abbas menjawab: Bukan demikian itu maksudnya. Suatu ketika, Nabi SAW menanyakan sesuatu kepada orang Yahudi, mereka menjawabnya tetapi jawapan yang sebenarnya mereka sembunyikan. Mereka menunggu ucapan terima kasih dan pujian kerana menyangka telah berjaya menipu Nabi SAW.
Ayat ke-189
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Allah SWT adalah pemilik segala sesuatu dan berkuasa untuk membuat sesuatu mengikut kehendak-Nya dan tidak ada sesuatu yang boleh melemahkan-Nya.
ii. Ibn al-Jauzi berkata: Ayat ini adalah sebagai pendustaan kepada yang berkata bahawa Allah SWT itu fakir.
iii. Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Ayat ini menerangkan kekuasaan Allah SWT. Dialah yang membuat janji baik dan balasan serta ancaman.
iv. Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberi petunjuk bahawa kebaikan itu pasti didapati oleh orang yang mengikut petunjuk Allah SWT.
Ia juga memberi hiburan kepada Nabi SAW, orang mukmin dan menjanjikan kemenangan.
Ia juga mengandungi sindiran yang mencela orang yang menyalahi petunjuk Allah dan menyatakan mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya.
v. Al-Sonhaji berkata: Segala sesuatu yang berada di langit dan di bumi adalah milik Allah. Dia bebas memperlakukan mengikut kehendak-Nya.
Semoga kita menjadi golongan yang mentaati, mematuhi dan mengikut segala perintah Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya. Amin.
Home »
12. Tazkirah/Wasiat/Ikhtibar
» Allah pemerintah Agung
Allah pemerintah Agung
Written By Unknown on Wednesday, February 24, 2010 | 03:15
Labels:
12. Tazkirah/Wasiat/Ikhtibar
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !