Headlines News :
.
Home » , » Kesan pemelukan Islam dari aspek perundangan

Kesan pemelukan Islam dari aspek perundangan

Written By Unknown on Wednesday, February 24, 2010 | 03:44

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Undang-undang Perkahwinan dan perceraian di negara kita ini ditadbir oleh dua kod undang-undang yang berbeza yang merujuk kepada Islam dan bukan Islam. Bagi orang Islam mereka tertakluk kepada Akta mahupun Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-negeri masing-masing, manakala orang bukan Islam pula dikawal selia di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) atau lebih dikenali dengan ”Law Reform Act” (LRA).

Seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 memperuntukan bahawa jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu telah memeluk dengan syarat petisyen tersebut tidak boleh difailkan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh pihak itu memeluk Islam. Apabila membubarkan perkahwinan tersebut, mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami demi menjaga kepentingan anak-anak yang ada dalam perkahwinan itu, jika ada, ataupun meletakkan syarat-syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan di sini ialah Mahkamah Sivil.

Sekiranya kita meneliti seksyen 51 ini, peruntukan seksyen ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di Mahkamah. Manakala pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Undang-Undang Keluarga Islam pula adalah undang-undang yang memperuntukan mengenai, perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan perkara-perkara lain berkaitan dengan kehidupan berkeluarga orang Islam. Merujuk kepada Seksyen 46 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 sebagai contoh, ia menyatakan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga Mahkamah Syariah itu mengesahkannya.

Jelaslah di sini seolah-olah terdapat percanggahan di antara dua undang-undang tersebut. Walaubagaimanaapun pihak yang masuk Islam itu boleh memohon untuk membubarkan perkahwinannya di Mahkamah Syariah melalui seksyen 46(2) Enakmen tersebut, tetapi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah itu pula tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam itu. Apa yang biasa berlaku seringkali perintah Mahkamah Syariah ini tidak dihiraukan dan dipandang sepi oleh pihak yang tidak memeluk Islam kerana mereka berpendirian perkahwinan mereka didaftarkan melalui kaedah sivil dan Mahkamah Sivil merupakan satu-satunya medan yang berhak untuk membubarkan perkahwinan itu bukannya Mahkamah Syariah, sedangkan pihak yang yang memeluk Islam itu tidak mempunyai remedi melalui seksyen 51 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Dengan itu amatlah tidak adil bagi mualaf yang memeluk Islam ini. Berdasarkan perlaksanaan sekarang, pihak yang memeluk Islam itu dinafikan haknya untuk hidup mengikut kepercayaan agamanya kerana beliau dianggap masih suami isteri disisi undang-undang sekiranya pihak yang tidak memeluk Islam itu tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan tersebut.

Kebanyakkan kes yang dibawa ke Mahkamah di Malaysia adalah mengenai kesan pemelukan agama Islam oleh salah satu pihak pada perkahwinan dikalangan orang bukan Islam. Di bawah undang-undang islam, jika seseorang suami mahupun pihak isteri yang telah berkahwin di bawah undang-undang bukan Islam kemudian memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa iddah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal. Tetapi di Malaysia, seseorang yang telah memeluk Islam itu masih terikat dengan Undang-Undang sivil.

Apabila sesuatu pihak itu telah memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak berbuat demikian, boleh dikatakan perkahwinan itu telah pecah belah. Justeru itu adalah untuk menjadi sukar pihak-pihak itu hidup bersama kerana terdapat banyak kewajiban dan tanggungan di atas seorang Islam yang tidak boleh dijalankan bersama pihak-pihak itu. Ditambah pula mungkin timbul masalah mengenai hak jagaan, pendidikan, harta sepencarian dan sebagainya.

Bagi mengatasi masalah di atas Jabatan Peguam Nagara telah mengemukakan beberapa cadangan bagi mengatasi konfilik bidangkuasa Syariah dan Sivil ini, di antaranya dengan mencadangkan antara lainnya pindaan terhadap seksyen 51 LRA bagi memberi hak kepada orang Islam mempetisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil. Pada masa yang sama Jabatan Peguam Negara mencadangkan pindaan terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara ini berasaskan niat yang murni bagi mengatasai konflik bidangkuasa di antara syariah dan sivil sejak beberapa lama. Dikatakan bahawa dengan pindaan itu juga akan membolehkan dihapuskan kesulitan dan kekangan kerana pasangan yang tidak memeluk Islam tidak boleh ke Mahkamah Syariah.

Pada masa yang sama juga dicadangkan perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Cadangan ini selari dengan undang-undang Islam iaitu jika seseorang suami mahupun pihak isteri yang telah berkahwin di bawah undang-undang bukan Islam kemudiannya memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa iddah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal (automatik). Namun demikian cadangan ini mendapat tentangan dari setengah pihak kerana dikatakan tidak memberi keadilan kepada pasangan yang bukan Islam. Sebaliknya ada cadangan yang mahu perkahwinan sivil yang terdahulu, seorang mualaf diserahkan kepada kemahuannya sendiri samada mahu meneruskan perkahwinan itu atau memilih untuk bercerai dengan pasangan yang bukan Islam.

Cadangan seorang mualaf diserahkan kepada kemahuannya sendiri samada mahu meneruskan perkahwinan itu atau memilih untuk bercerai dengan pasangan yang bukan Islam ini tidak selari dengan kehendak undang-undang Islam. Ini kerana di bawah undang-undang islam, jika seseorang suami mahupun pihak isteri yang telah berkahwin di bawah undang-undang bukan Islam kemudian memeluk agama Islam dan pihak satu lagi tidak mengikutinya memeluk Islam dalam masa iddah, perkahwinan itu dengan sendirinya terbatal. Soalnya, apa akan berlaku jika perkahwinan tersebut tidak diberi pilihan kepada mualaf itu untuk tidak memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil dan pada masa yang sama isterinya yang bukan Islam juga tidak memfailkan sebarang pembubaran perkahwinan di Mahkamah yang sama? Dengan kata lain dari sudut undang-undang mereka masih lagi suami isteri walaupun berlainan agama.

Persoalan timbul samada Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang perseorangan yang terpakai kepada orang Islam? Walaupun seorang itu mualaf ia dikira sebagai seorang Islam walau beberapa saat mualaf tersebut melafazkan kalimah syahadah. Jawapan kepada persoalan ini adalah sudah tentu tidak kerana Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang perseorangan yang terpakai kepada orang Islam. Kuasa legislatif undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Islam adalah tersenarai dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 – senarai negeri (Item 1). Dengan kata lain kuasa legislatif adalah hak eksklusif negeri untuk menggubal apa-apa undang-undang diri orang Islam. Kerajaan Persekutuan/ Parlimen dikecualikan dari membuat undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam. Perkara ini sebagaimana termaktub di dalam Senarai 1- Senarai Persekutan Item 4 (e)(i) dan (ii). Kerajaan Persekutuan/ Parlimen hanya mempunyai kuasa membuat undang-undang diri dan keluarga bagi orang bukan Islam. Undang-Undang atau pindaan yang berkaitan dengan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam boleh dianggap tidak sah kerana ultra vires. Namun demikian, kuasa membuat undang-undang diri dan keluarga hanya dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan untuk Wilayah Persekutuan sahaja dan ianya tidak terpakai di negeri-negeri.

Secara tidak langsung pindaan yang dicadangkan ini akan memberi kesan terhadap undang-undang syariah. Di antaranya seksyen 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dipadamkan bagi meraikan pindaan seksyen 51 LRA ini, seterusnya memberikuasa kepada Mahkamah Sivil untuk menentukan pembubaran perkahwinan yang telah wujud di dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 – senarai negeri (Item 1).

Jika kita lihat secara mendalam pindaan ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap Mahkamah Syariah di mana bidangkuasa Mahkamah Syariah disempitkan lagi walaupun ianya hanya melibatkan seorang mualaf. Selanjutnya menjadikan Mahkamah Syariah seolah-olah tertakluk di bawah Mahkamah Sivil. Selain itu juga, ianya memberi kesan terhadap jurispudens Islam di mana jurispudens Islam ditadbir di Mahkamah Sivil. Jurispudens Islam akan dimodifikasi oleh hakim mahkamah sivil tanpa asas syarak.

Oleh itu adalah dicadangan sebelum sebarang pindaan undang-undang dibuat penyelesaian hendaklah dicari mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di kedudukan istimewa. Selain itu juga adalah dicadangkan bidangkuasa Mahkamah Syariah diperluaskan agar merangkumi orang bukan Islam selain penegasan hukum syarak tidak boleh dikrompomi dalam toleransi kaum mahupun agama. Mengambil kira sensitiviti yang tinggi berkaitan dengan kes-kes seumpama ini adalah diseru semua pihak menangani isu ini secara bersama dan saksama dengan mengambil kira pandangan pihak-pihak yang berautoriti. Apa yang penting nasib mualaf tersebut dan isteri atau suami mualaf itu terbela, seterusnya kemasukkan seorang itu kepada Islam bukan suatu hukuman kepada dirinya sehingga undang-undang dirinya ditadbir oleh Mahkamah Sivil.

-Penulis ialah Presiden PGSM

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger