Headlines News :
.
Home » » Akibat percaya seratus peratus suami

Akibat percaya seratus peratus suami

Written By Unknown on Tuesday, February 23, 2010 | 03:51

‘‘Siapa tak sedih, kita percayakan suami seratus peratus, tanpa mengambil iktibar nasihat kakak dan saudara mara, kerana pada saya kalau dah sayang kita mesti percayakan dia. Barulah rumahtangga boleh aman.

‘‘Tetapi anggapan saya itu salah, sebaliknya kalau macam mana kita sayangkan suami kita, tetapi jangan percaya seratus peratus, sebab kita wanita boleh menjaga hati dan perasaan kita supaya tak jatuh cinta lagi, tetapi kita tidak tahu apa yang tersembunyi dalam jiwa raga dan perasaan suami kita itu,’’ kata Zuraini dalam e-melnya kepada penulis.

Menurut Zuraini, dia berusia 36 tahun dan mempunyai sepasang cahaya mata yang berumur 8 dan 5 tahun.

``Perkahwinan kami dulu merupakan pilihan sendiri atas dasar cinta yang mendalam, begitu juga saya rasakan dalam hati suami saya Zam. Jadi saya memberikan dia sepenuh kepercayaan kepadanya sambil berpesan supaya dia tidak mengkhianati cinta kita kerana buruk padahnya.

‘‘Kerana sayang dan cinta jugalah saya memberikannya sepenuh kesetiaan. Dan saya tidak pernah menghalang dia berbuat apa sahaja yang menjadi hobi dan kegemarannya. Saya juga tidak kisah kalau dia nak balik rumah lewat malam kerana bekerja atau nak berjumpa kawan-kawan lelakinya.

``Dia pernah beritahu dia tak mahu hidupnya rasa terkongkong, jadi saya beri dia sepenuh kebebasan, namun dengan syarat dia tidak curang kepada saya dan keluarganya. Dia akur.

‘‘Kerana kepercayaan yang diberikan saya akui hidup kami memang sangat bahagia dan saya dapat rasakan antara kami langsung tiada masalah besar. Kami juga mempunyai talian yang erat antara saudara mara, ipar duai serta ibu bapa mertua.

‘‘Tetapi apabila hampir 10 tahun berumahtangga awal tahun ini rahsia dia menipu saya terbongkar. Ceritanya begini, satu hari saya meminjam laptopnya, kerana perlu menghabiskan kerja saya yang tergendala disebabkan urusan kerja yang banyak di pejabat.

Tergerak hati

‘‘Nak jadikan cerita sehabis saya menyiapkan kerja pejabat, tiba-tiba tergerak hati saya untuk melihat folder pinture dalam laptopnya. Ketika itu dia tidak ada di rumah. Terkejut saya bila mendapati dia menyimpan gambar-gambar perempuan kenalannya.

‘‘Berdebar jantung saya, kerana selama ini saya tidak pernah check laptop atau pun handphone dia kerana saya percayakan dia. Ketika itu hati saya jadi panas, lantas saya set gambar perempuan itu sebagai wallpaper dan biarkan laptop terbuka. Saya mengunci diri dalam bilik kerana terlalu sedih ditipu.



‘‘Dipendekkan cerita, bila dia balik kami bertengkar, dia mengaku baru berkenalan dengan perempuan itu 2 bulan lalu. Dia selalu call, mesej dan sms perempuan itu serta menyimpan gambar perempuan itu dalam beg duitnya.

‘‘Tetapi bila saya selidik mereka dah berkenalan lebih setahun. Saya kecewa lagi kerana ditipu, sedangkan saya telah beri amaran yang saya tak boleh terima jika dia ada perempuan lain dalam hidupnya.

‘‘Saya sedih kerana sebagai isteri dalam sehari sekalipun dia tak pernah call saya kecuali ada kecemasan, hantar sms, mesej ataupun chat dengan saya. Tetapi dengan perempuan itu, dia boleh layan macam-macam. Hinggakan dia pergi umrah (percuma-company bayar-bukan atas keinsafan diri) pun dia masih berhubungan dengan perempuan itu dari sana. Ini terbukti bila dia tersalah hantar mesej untuk perempuan itu kepada saya.

‘‘Setakat ini kami masih lagi bersama kerana saya memberi peluang kedua kerana dia berjanji tak akan buat lagi dan telah memutuskan hubungan dengan perempuan itu. Tetapi jauh di lubuk hati, saya amat terluka kerana saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dengan sempurna.

‘‘Saya amat kecewa dan saya selalu menangis. Cuma kali ini saya beri peluang kepada dia, tetapi selepas ini saya akan sentiasa memantau kerana sekali saya terkena, tak mustahil dia tidak akan menipu saya lagi.

‘‘Saya juga telah memberikan kata dua kepadanya, jika dia mengulangi perbuatan nya itu, saya akan menuntut cerai. Saya tak takut apa nak jadi jadilah. Walaupun selama ini saya percayakan dia seratus peratus, tetapi selepas peristiwa ini, saya rasa kepercayaan pada dia hanya sekitar 30 peratus sahaja. Saya cuma menunggu dan melihat apakah nasib saya selepas ini.

‘‘Saya sedih kerana sebelum ini keluarga kami tenang dan gembira sahaja selama ini. Rupa-rupanya dalam diam-diam ada unsur kecurangan di pihak suami saya.

‘‘Jadi di ruangan ini saya ingin menasihatkan kepada semua isteri-isteri, berhati-hatilah dengan suami anda, dan benar kata orang, ‘‘jangan percayakan suami seratus peratus, jika dia curang hidup kita hancur. Dulu memang saya tak percaya nasihat tersebut kerana suami saya ok, baik, tapi bila dah terkena batang hidung sendiri, baru saya faham.

‘‘Dan satu lagi pesanan saya, sekiranya seseorang itu telah berbohong dan menipu anda, maka tak mustahil dia tidak akan terus menipu dan berbohong kepada anda, sehingga jiwa anda menderita, perniagan dan pekerjaan anda hancur. Kerana setiap kali seseorang itu berjaya menipu orang dia merasa satu kejayaan dalam hidupnya.’’

Iktibar

Demikian cerita Zuraini panjang lebar tentang pengalamannya ditipu kerana terlalu percayakan suami .

Seperti kata Zuraini, pengalaman hidupnya baik untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada kaum wanita, biasanya kerukunan rumahtangga itu akan runtuh dan hancur apabila salah seorang pasangan itu telah bertindak curang mendustai pasangannya demi kepentingan hidup dan dirinya sendiri sahaja.

Kalau tak percayakan suami dituduh tak setia, cemburu buta dan macam-macam tuduhan lagi, tapi kalau dah percaya sangat inilah akibatnya. Oleh kerana itu percayalah setakat mana anda boleh percaya, kerana lebih utama kasih dan sayangi diri anda sendiri.

www.dcckmona. com
dcckmonaum@hotmail. com

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger