Headlines News :
.
Home » , » Gejala Homoseksual Langgar Fitrah

Gejala Homoseksual Langgar Fitrah

Written By Unknown on Tuesday, February 9, 2010 | 22:49

Ada lelaki yang berkahwin dengan wanita atas pilihan keluarga namun mereka tidak menyulam perasaan cinta terhadap isteri. Ini disebabkan mereka lebih 'berselera' dengan kaum sejenis.

Malah, lebih teruk, ada lelaki bernafsu songsang ini yang beristeri dan mempunyai anak.

Melihat laporan akhbar mengenai gejala homoseksual (liwat), ia sememangnya amat membimbangkan. Golongan gay ini semakin berani dan tidak segan melakukan 'mukadimah' seks terlarang termasuk bercumbu di kawasan terbuka.

Malah, mereka mempunyai kelab gay yang menghimpunkan golongan yang dahagakan seks songsang untuk bertemu dan melempiaskan keinginan itu.

Homoseksual lebih kepada orientasi seksual yang berkait rapat dengan emosi yang mereka 'cipta' sendiri bagi menterjemahkan kebebasan serta kenikmatan yang tersasar dari agama.

Memang Allah s.w.t menjadikan makhluk berpasangan, tetapi antara lelaki dan wanita. Allah tidak membenarkan hubungan terlarang sesama jenis.

Sejarah mencatatkan perbuatan homoseksual ada berlaku. Dalam al-Quran ada menceritakan kisah umat Nabi Luth a.s yang melakukan hubungan songsang.

Manakala kaum perempuan juga mengamalkan perkara sama dan hanya berminat terhadap wanita atau lesbian.

Lebih menyedihkan, isteri Baginda sendiri tidak mengendahkan peringatannya lalu Allah menurunkan hujan batu dan batu dari tanah liat yang panas berapi serta gempa bumi dengan kekuatan bunyi yang menggegar pada waktu matahari terbit.

Melihat azab yang Allah turunkan kepada umat Nabi Luth, apakah manusia akhir zaman tidak gerun untuk melakukan perbuatan terkutuk itu? Allah berfirman yang bermaksud: "Kepada orang-orang lelaki, tidak kepada perempuan-perempuan . Memang kamu semua kaum yang melampaui batas." (Surah al-Aaraf ayat 81) "Dan kami turunkan hujan (hujan batu) kepada mereka. maka perhatikanlah akibatnya orang-orang melampaui batas." (Surah al-Aaraf ayat 84) "Lalu suara guruh (bunyi bumi yang gempa) menimpa mereka ketika matahari terbit." (Surah al-Hijr ayat 73). Selain daripada azab yang menimpa kaum Nabi Luth, mirip kepada kejadian sama turut menimpa Kota Pompeii (kini satu kawasan di Itali). Kota Pompeii adalah sebuah kota terkemuka dalam Empayar Rom pada satu ketika dahulu.

Lebih 1900 tahun lalu, Pompeii adalah sebuah kota purba yang maju sehingga satu kejadian dahsyat melanda menyebabkan keseluruhan bangunan serta penduduknya tertanam lebih 18 meter di dalam lava gunung berapi berkenaan. Masyarakat Pompeii dikatakan tidak menyedari langsung letusan kuat itu berlaku yang dapat dinilai daripada raut wajah artifak yang menggambarkan mereka dalam suasana terkejut, ketakutan yang amat sangat. Kemusnahan Kota Pompeii dari muka bumi ini sudah tentu bukan terjadi dengan sengaja. Masyarakat Pompeii di katakan mengamalkan kepercayaan Mithra yang mana meyakini bahawa persetubuhan tidak sepatutnya dilakukan secara berselindung, tetapi terbuka. Nauzubillah! Sehingga pada 1594, ketika kerja menggali terowong di kaki gunung berapi Vesuvius dijalankan mereka dikejutkan dengan penemuan artifak berupa tembikar dan puluhan tubuh manusia yang sudah membatu dalam keadaan sungguh menggerunkan. Tinggalan artifak misteri berkenaan akhirnya terjawab apabila masyarakat Pompeii dipercayai menjadikan kota itu sebagai pusat utama aktiviti pelacuran dan seks bebas. Malah, alat kelamin lelaki juga digantung di pintu utama pusat pelacuran terbabit. Sungguh mengejutkan apabila mendapati banyak sekali artifak manusia yang terawet berada dalam posisi sedang melakukan persetubuhan termasuk liwat. Demikian sebahagian peringatan yang mahu manusia kembali kepada kepada fitrah asal dan tidak terus hanyut menyimpang. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sebab itu, setelah datang keputusan Kami lalu Kami jadikan yang di atasnya jatuh ke bawah dan kami turunkan ke atas mereka hujan batu dari tanah yang terbakar dengan berturut-turut. " (Surah Hud ayat 82).

Peringatan Allah itu mengingatkan seluruh manusia agar mengambil pengajaran dalam setiap yang berlaku dan kembali bertaubat agar tidak mengulangi kesilapan lalu. Malang sekali manusia tidak pernah mengambil iktibar daripadanya. Yang pasti, jika terdapat hanya segelintir golongan yang melakukan kemaksiatan maka bala akan menimpa ke atas semua tanpa mengira mereka melakukan dosa atau sebaliknya. Bagi pengamal seks songsang sebegini memang tiada penawar bagi mereka jika dijangkiti penyakit kelamin seperti kemaluan, dubur bernanah dan Aids yang akhirnya akan memusnahkan seluruh kehidupan mereka kelak. Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zain, berkata gejala homoseksual adalah virus yang memerlukan golongan berkenaan menjalani pakej kaunseling lengkap. "Golongan gay yang berhasrat untuk berubah hendaklah meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

"Mereka perlu mendapatkan khidmat nasihat pakar seperti psikologi dan kesihatan dalam usaha kepada pemulihan diri yang lebih sempurna. "Namun, perkara ini berbalik semula kepada kekuatan diri sendiri menangkis perasaan serta tindak tanduk yang boleh membawa kepada perilaku yang keji dan kotor ini," katanya.

Zamihan berkata, virus gejala gay itu amat buruk kesannya sehingga menyebabkan pengamalnya berasa ketagih dan semakin jauh dari keredaan Allah.

"Jika mereka tidak melawan perasaan itu akibatnya kita bukan saja mendapat kemurkaan Allah s.w.t, malah di kutuk oleh seluruh makhluk serta kehidupan di dunia ini.

"Terbukti segala bencana yang diturunkan ke atas manusia sebelum ini adalah berpunca daripada kepincangan yang dilakukan manusia sendiri. Mereka secara terangan melanggar peraturan dan hak yang dihadkan dalam sesuatu perkara," katanya. Beliau berkata malapetaka akan menimpa ke atas manusia pada bila-bila masa jika manusia masih enggan meninggalkan perkara serta perbuatan mungkar. "Amat malang jika seseorang yang mengamalkan aktiviti songsang ini sudah mempunyai isteri dan anak kerana dosa yang tertanggung adalah berlipat kali ganda.

"Mereka layak adalah penjenayah besar dalam Islam kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebenar terhadap keluarga," katanya. Justeru, pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya buat manusia selagi mereka tidak mensyirikkan Allah.

Namun taubat mesti dilakukan dengan sebenar-benarnya dengan harapan tidak mengulangi perbuatan silam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan mereka tidak menyembah sesuatu yang lain selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan kecuali di atas jalan yang hak dan tidak pula berzina; barang siapa melakukan perkara yang ditegah akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa di hari kiamat dan kekal di dalam azab dengan penuh kehinaan. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik maka Allah menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Allah itu Tuhan pengampun lagi mengasihani. " (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).

Oleh Mohd Fadly Samsudin
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger