Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Isu pemanasan global merupakan musibah besar yang akhir-akhir ini menjadi ketakutan dan kebimbangan semua tanpa mengira latar bangsa, negara atau ideologi.
Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) suhu dunia diramalkan meningkat dari 1.1 darjah celsius kepada 6.4 darjah celsius antara 1990 dan 2100.
Jika ramalan itu menjadi kenyataan, bumi akan semakin panas dalam tempoh seabad lagi dan mungkin tidak selamat lagi kepada penghuninya. Ini berikutan pemanasan global mempunyai banyak kaitan dengan pelbagai bencana alam.
Kenaikan suhu boleh mencairkan ais di kutub dan meningkatkan paras air laut. Risiko banjir besar boleh berlaku jika perkara ini terjadi, malah beberapa kepulauan kecil boleh tenggelam.
Beberapa kawasan lain yang beriklim panas pula menerima taburan hujan yang banyak tetapi tanah di situ menjadi lebih cepat kering disebabkan penyejatan air yang berlaku dengan cepat.
Kerosakan akan berlaku ke atas tanaman dan haiwan menyebabkan bekalan makanan berkurangan di beberapa tempat di dunia.
Inilah antara implikasi pemanasan global yang Allah SWT datangkan akibat kerakusan tangan-tangan manusia mengaut sumber kekayaan dunia tanpa mempedulikan peringatan yang telah ingatkan di dalam al-Quran dan hadis.
Kesan-kesan itu mula kita rasai dan semakin hari kita kehilangan nikmat keselesaan dan ketenangan hidup di dunia ini.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memfardukan kepada kamu beberapa kefarduan, maka janganlah kamu mensia-siakannya. Allah telah membataskan kamu dengan beberapa larangan, maka janganlah kamu melampauinya dan Allah telah mengharamkan sesuatu, maka janganlah kamu merobeknya". (riwayat al Dar Qutni).
Bahang dan Bahana Maksiat
Jika melanggar batas Allah pada hak alam semulajadi ada bahananya, bagaimana pula dengan iklim kepanasan maksiat yang meningkat lebih mendadak daripada iklim dunia ini?
Seakan-akan manusia hari ini sudah tidak takut lagi terhadap ancaman-ancaman yang dijanjikan oleh Allah. Allah SWT berfirman: Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi, kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. (al-An'aam: 120)
Sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mengejar pangkat dan nama di dunia ini. Seolah-olah dunia ini milik mereka.
Mereka takut akan hidup miskin di dunia yang bersifat sementara tetapi mereka tidak takut akan miskin di akhirat alam yang kekal untuk mereka.
Walhal, Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah (jauhilah) dari perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling tinggi ibadahnya. Redailah dengan pemberian Allah untuk kamu, nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya..." (riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmidzi)
Sayang sekali, tidak sedikit pun formula dan petua paling mujarab yang diberikan oleh Rasulullah SAW ini memberikan bekas dan kesan kepada hati mereka. Mereka dikhayalkan oleh kemabukan duniawi sehingga saban hari mereka menjadi penyumbang kepada risiko kepanasan suhu maksiat dunia ini.
Sedar atau tidak, hakikatnya implikasi kepanasan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia di dunia ini lebih merbahaya daripada kesan pemanasan global. Bahkan sebenarnya peningkatan suhu kepanasan dunia yang telah dan sedang menimpa umat manusia hari ini juga adalah natijah daripada kepanasan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.
Hal ini ditegaskan dengan panjang lebar oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Terdapat lima perkara yang aku berlindung kepada Allah agar kalian tidak menemuinya. Pertama, tidaklah muncul kekejian dalam suatu kaum, melainkan bermaharajalela di dalam kaum tersebut bermacam jenis penyakit yang belum pernah dialami oleh kaum sebelum mereka.
"Kedua, tidaklah mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, melainkan mereka ditimpa kelaparan, kesempitan hidup dan mendapat pemimpin yang zalim.
"Ketiga, tidaklah mereka mengelak daripada membayar zakat bagi harta mereka, melainkan mereka akan dihalang daripada diturunkan hujan dari langit; jika tidak kerana binatang ternakan sudah pasti tidak diturunkan hujan kepada mereka.
"Keempat, tidaklah mereka melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah memberikan kekuasaan kepada musuh mereka, hingga musuh-musuh tersebut merampas apa yang mereka miliki.
"Kelima, tidaklah imam-imam mereka tidak menghukum dengan Kitab Allah, melainkan dijadikan kerosakan di antara mereka disebabkan tangan mereka sendiri". (riwayat Ibnu Majah, al-Baihaqi dan al-Bazzar).
Ketahuilah bahawa kadar kesan negatif yang terhasil akibat perbuatan maksiat itu mengikut kadar sifat-sifat baik yang terhasil daripada ketakwaan. Sebagaimana tidak ada kebaikan di dunia dan akhirat, kecuali disebabkan takwa, begitulah juga tidak ada di dunia dan akhirat kejahatan, bala bencana dan ujian melainkan disebabkan oleh maksiat-maksiat yang berlaku.
Oleh kerana itu, maksiat adalah penyebab segala kerosakan, baik di darat mahupun di laut. Termasuklah kerosakan agama, badan, penyakit dan wabak, kemusnahan tanaman dan buah-buahan, ditimpa kemarau, dilanda ketakutan, tenggelam di lautan, kemusnahan harta, diri dan sebagainya. Sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Rum ayat 41.
Maksiat juga adalah penyebab hilangnya nikmat dan datangnya kecelakaan, bala serta penyesalan ketika mana penyesalan tidak lagi berguna. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain Allah. (al-Ra'd: 11)
Maksiat juga penyebab terhakisnya iman hingga mengundang laknat dan kemurkaan Allah Yang Maha Pengasih. Bahkan mengundang kehinaan, kemiskinan dan kerendahan.
Bukan sedikit ancaman dan peringatan Allah agar hamba-hamba- Nya menghindari maksiat dan dosa kepada-Nya. Lantaran rahmat dan kasih sayang-Nya, Allah menceritakan kisah dan penyesalan umat terdahulu akibat maksiat yang dilakukan agar hamba-hamba- Nya mengambil pengajaran dan insaf lalu kembali kepada-Nya.
Di antaranya, Allah mengkhabarkan tentang peristiwa Ahli Kitab yang telah dilaknat dan ditimpa bala pembunuhan, penawanan dan kezaliman pemerintah akibat maksiat yang mereka lakukan. Mereka juga dibalakan dengan kebinasaan kampung-kampung dan rampasan harta. Firman Allah: Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. (al-Baqarah: 49)
Sejarah membuktikan maksiat juga penyebab kehancuran umat-umat yang terdahulu dan kurun-kurun yang lepas, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 40.
Maksiat Batin
Harus kita ingat, dalam memperkatakan tentang kesan-kesan negatif maksiat, kita juga harus mengetahui bahawa maksiat itu bukan sekadar maksiat zahir yang kita lakukan seperti berzina, mencuri, menzalimi orang lain, makan dari sumber yang haram, berjudi, menjual agama kerana dunia, membelakangkan hukum Allah, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan sebagainya.
Termasuk dalam kategori maksiat atau dosa ialah maksiat batin yang kita lakukan dan ia lebih merbahaya kerana sukar dihidu. Di antaranya sifat takbur, riak, sum'ah, kikir, tidak reda dengan qada' dan qadar Allah, tidak yakin dengan rezeki yang Allah tentukan untuk setiap hamba-Nya, merasa ragu terhadap Allah dan sebagainya.
Maka wajib bagi kita mempelajari kedua-dua jenis maksiat ini bagi mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke lembah hina tersebut.
Kemalasan dan kejahilan kita untuk mengenal agama yang kita anuti, akan menyebabkan kita berada terus berada dalam keadaan lalai dan hanyut tanpa sedar.
Lebih malang, di akhirat kelak, kita ditahan masuk syurga Allah akibat dosa dan maksiat yang kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari.
Lihatlah seperti apa yang berlaku pada hari ini. Umat Islam ditimpa musibah apabila terdapat golongan yang berani mempersendakan agama mereka dan merobek hak mutlak Allah.
Nama Allah yang teragung dipermainkan- mainkan oleh penganut agama lain sehingga Lafz al-Jalalah (kalimah teragung) digunakan dan diberikan kepada sembahan yang batil.
Lantaran kejahilan ilmu dan kedangkalan jiwa yang tidak pernah dirawat, ramai umat Islam yang terpedaya dan tidak merasa sensitif apabila maruah dan kehormatan agama mereka dipersenda.
Lantaran kedangkalan hati juga, kita mengambil tindakan yang salah untuk menangani isu ini yang akhirnya mengundang kerugian dan keruntuhan kepada umat Islam sendiri. Kita pohon perlindungan Allah daripadanya.
Home »
12. Tazkirah/Wasiat/Ikhtibar
» Takutilah Kemaksiatan
Takutilah Kemaksiatan
Written By Unknown on Tuesday, February 9, 2010 | 23:05
Labels:
12. Tazkirah/Wasiat/Ikhtibar
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !