Headlines News :
.
Home » , , » Kisah dari Mahkamah Syariah: 20 tahun didera suami

Kisah dari Mahkamah Syariah: 20 tahun didera suami

Written By Unknown on Tuesday, February 23, 2010 | 03:50

Julainah tuntut cerai tekad harungi ketakutan

Julainah (bukan nama sebenar), tidak pernah menyangka pada usia mencecah setengah abad, beliau terpaksa menghadapi hari tua dengan penuh kepiluan kerana sepanjang perkahwinan, sepak terajang adalah perkara biasa yang dihadapi.

Pendek kata, badan Julainah sudah lali dengan kesakitan dan lebam menyebabkan beliau tidak sanggup lagi menjadi mangsa tumbukan dan sepakan suami, Harmi Mustaffa (bukan nama sebenar) yang tidak pernah mengira waktu akan menyerang Julainah tanpa sebarang sebab kukuh.

“Sudah 20 tahun saya memikirkan untuk menuntut cerai kerana tidak sanggup lagi menjadikan badan saya sebagai tempat melepaskan geram suami. Jika dulu saya memikirkan masa depan anak-anak, kini anak sudah besar dan boleh berdikari.

“Jadi sudah tiba masanya saya mencari keselesaan untuk diri sendiri. Hari tua yang ada ini seboleh-bolehnya ingin saya gunakan sebaik mungkin untuk beribadat kepada Tuhan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru.

Sehubungan itu, Julainah memfailkan tuntutan cerai di mahkamah syariah tempat beliau bermastautin, tetapi hal berkenaan tidak semudah yang dibayangkan kerana Harmi tidak mahu melepaskan Julainah atas alasan harta sepencarian yang sepatutnya dibahagikan sama rata.
“Dia tidak mahu melepaskan saya kerana dua rumah yang beliau beli adalah atas nama saya. Begitupun, dia hanya membayar bayaran pendahuluan saja dan bakinya saya yang selesaikan kerana saya juga bekerja.

“Bukan setakat itu saja, dia tidak pernah memberikan saya nafkah zahir. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari kerana dia beranggapan saya bergaji besar dan kewangannya tidak membolehkan dia memberi wang kepada saya walhal bukan saya meminta banyak daripada dia,” katanya dengan nada kesal.

Julainah menegaskan beliau kesal kerana takut untuk bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa lantaran Harmi adalah anggota polis di daerah tempat mereka tinggal.

Selain itu, Harmi juga pernah memberi amaran kepada Julainah tiada siapa akan mempercayai Julainah sekiranya dia membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan Harmi mengasarinya memandangkan Harmi mempunyai hubungan baik dengan anggota polis lain.

“Dulu saya takut untuk membuat laporan kerana bimbang pihak polis tidak akan mempercayai saya, tapi kini saya tidak mahu lagi menerima kesakitan. Sokongan anak juga menyebabkan saya jadi berani. Saya tidak akan sekali-kali membenarkan Harmi membuli saya lagi,” katanya.

Kini, apa yang cuba diperjuangkan Julainah ialah meminta supaya Harmi melepaskannya, tetapi suaminya tidak mahu memandangkan harta sepencarian mereka semuanya adalah atas nama Julainah.

Kes Julainah bukanlah kes pelik yang biasa dihadapi pihak mahkamah. Ramai wanita teraniaya angkara suami yang gemar menunjukkan kuasa mereka kepada isteri yang sering dianggap lemah. Julainah sebenarnya mempunyai dua kes, iaitu kes penderaan dan juga tuntutan cerai.

Peguan Syarie, Nor Azmi Mohd Arif, berkata Julainah sepatutnya tidak perlu takut untuk membuat laporan terhadap pihak berkuasa mengenai keganasan rumah tangga yang berlakunya kepadanya.

“Julainah wajar membuat laporan dari dulu kepada pihak tertinggi kerana mereka akan menjalankan siasatan rapi. Malah, Julainah tidak perlu takut kerana pihak polis kini bersifat telus dalam banyak perkara. Sama ada kekasaran berkenaan dilakukan anggota polis atau tidak, tindakan betul akan diambil sekiranya ada laporan.

“Bukan untuk Julainah, wanita lain sekalipun sekiranya menghadapi penderaan atau keganasan, buat laporan secepat mungkin dan jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa keganasan sama ada daripada suami, abang, bapa dan sebagainya. Kita mempunyai undang-undang yang bertindak melindungi mangsa daripada terus dikasari,” katanya.

Oleh Shaidah Shafie

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger