Headlines News :
.
Home » , , » Peluang pesakit kronik

Peluang pesakit kronik

Written By Unknown on Tuesday, February 23, 2010 | 03:33

Jika anda mengalami kesakitan kronik, anda perlu membaca artikel ini kerana harapan untuk sembuh ada di sini.

Contoh penyebab kesakitan kronik

# Sakit pinggang dan tengkuk (akibat cakera tergelincir, sakit permukaan sendi)

# Sakit sendi (osteoartritis, artritis reumatoid)

# Sakit kepala (migrain atau bukan migrain)

# Sakit saraf

# Sakit yang berpunca daripada kanser

# Sakit otot dan fasia (sindrom kesakitan miofasia, fibromialgia)

# Sakit selepas pembedahan atau kecederaan

# Sakit yang berpunca daripada faktor psikologi

Sakit kronik berlarutan melebihi enam bulan. Tidak kira tahap atau punca kesakitan, kepakaran dalam merawat kesakitan kronik mula bertapak dan meningkat maju di Malaysia.

Kesakitan kronik pada masa lalu dipandang sepi disebabkan ramai pengamal perubatan kurang pengetahuan dan kepakaran. Tambahan pula faktor psikologi dan ciri kesakitan yang rentan pada rawatan biasa.

Akibatnya anda keseorangan menanggung sakit sepanjang hayat. Lebih teruk, ada pesakit boleh menahan sakit kerana menganggap ia sebahagian manifestasi sakit tua atau hukuman Tuhan kepada dosa silam.

Sepuluh tahun lalu kepakaran bidang rawatan kesakitan kronik tidak ada sama sekali. Ubat penahan sakit pula terbatas pilihannya.

Saya pernah melihat seorang pesakit kanser mati dalam kesakitan teruk selepas merayu diberi ubat penahan sakit. Dia mati dalam kesakitan yang dibawa mati.

Kini dengan ubat dan teknik moden, hampir semua kesakitan daripada kanser dan bukan kanser dapat dirawat dengan berkesan.

Selepas 10 tahun dalam profesion ini saya berpendapat dengan adanya teknologi canggih dan kepakaran baru, sebenarnya tiada batasan dalam merawat kesakitan kronik.

Apa perlu pesakit lakukan ialah bertemu pakar dalam bidang berkenaan. Objektif utama rawatan kesakitan kronik ialah melegakan kesakitan sebanyak mungkin dan mengembalikan fungsi pesakit (kembali bekerja).

Kenapa anda perlu merawat kesakitan kronik?

1. Sakit adalah kesengsaraan emosi dan tubuh badan (somatik) yang menyeksakan.

2. Kesakitan kronik tidak membunuh, tapi ia membunuh kehidupan anda. Ia merebak dan menyekat pesakit daripada bergerak bebas. Anda tidak dapat bekerja dan produktiviti menurun. Anda tidak dapat tidur lena dan ini meletihkan. Anda tidak dapat berfungsi pada diri dan keluarga dan akhirnya membawa kepada kemurungan.

3. Kesakitan kronik menyebabkan penyakit lain menyusul seperti kekakuan sendi, kudis tekanan, otot yang kecut dan lemah, tulang rapuh, jangkitan pada pundi kencing dan paru-paru disebabkan kekurangan pergerakan tubuh badan.

4. Merawat kesakitan akut dan kronik adalah satu etika perubatan dan juga hak asasi pesakit yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh doktor.

5. Negara membangun seperti Malaysia banyak menitik beratkan mutu kehidupan untuk menjamin keselesaan dan produktiviti berkekalan. Rawatan kesakitan kronik memberi keselesaan dan menjamin produktiviti bila sakit tidak lagi menjadi penghalang daripada bekerja.

Kesedaran kepakaran rawatan kesakitan kronik

Secara umumnya pengetahuan rawatan sakit kronik di kalangan pengamal perubatan masih kurang.

Oleh itu banyak usaha dilakukan untuk mengiktiraf kesakitan sebagai entiti klinikal yang penting kerana membabitkan kesengsaraan tubuh dan emosi.

Malah, kesakitan kini diiktiraf sebagai ‘tanda utama kelima’ iaitu satu daripada ukuran asas paling penting setiap pesakit apabila berjumpa doktor, selain tekanan darah, suhu badan, kadar nadi dan kadar pernafasan.

Doktor mengukur tahap kesakitan dengan satu kad VAS (skala analog visual) iaitu pesakit dikehendaki menunjukkan skor kesakitan bermula dari 0 hingga 10.

Kosong bermakna tiada kesakitan manakala ‘10’ adalah kesakitan tahap maksimum yang tidak mampu bertahan. Teknik ini sudah lama diguna pakai di Australia, Amerika dan Singapura.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan melancarkan kempen ini di hospital kerajaan sejak tahun lalu. Ukuran ini penting memandangkan 60 hingga 70 peratus pesakit yang hadir di unit kecemasan hospital memberi gejala sakit sebagai masalah utama.

Kajian pula menunjukkan 30 peratus masyarakat mengalami sakit kronik manakala 40 hingga 80 peratus pesakit ini gagal mendapat rawatan berkesan untuk mengawal kesakitan.

Banyak faktor menyumbang kepada kegagalan rawatan sakit kronik. Selain kurang pengetahuan dan kepakaran di kalangan doktor, kesedaran pesakit mengenai adanya doktor yang memiliki kepakaran khusus dalam rawatan juga rendah. Bilangan doktor pakar dalam bidang ini juga sedikit.

Sebahagian doktor mengambil pendekatan dan beranggapan semua doktor boleh merawat sakit. Kajian kami mendapati 30 peratus kes kesakitan kronik mempunyai diagnosis salah oleh doktor yang merawatnya.

Kesilapan diagnosis membawa kepada rawatan tidak tepat. Kesannya pesakit kekal dalam kesakitan.

Doktor bedah juga mampu mengawal kesakitan selepas pembedahan dengan memberi suntikan morfin. Namun apabila kesakitan menjadi luar kawalan dan mereka gagal merawatnya, ini masa untuk merujuk kepada doktor pakar sakit kronik.

Seperti sakit darah tinggi, semua doktor tahu merawat jika ia mudah dan tidak kompleks. Namun jika tidak dapat dikawal selepas rawatan dengan satu atau dua jenis ubat, doktor akan merujuk kepada pakar perubatan.

Hakikatnya bukan semua doktor atau doktor pakar mahir dalam semua jenis penyakit. Fenomena ini lebih ketara apabila doktor mengambil pengkhususan dalam subkepakaran tinggi.

Skop rawatan menjadi lebih mendalam tapi dalam skop lebih kecil. Daripada segi etika dan protokol rawatan, doktor perlu merujuk kesakitan kronik kepada pakar sakit kronik jika ia di luar kemampuannya.

Namun amalan masih kurang di kalangan pengamal perubatan disebabkan beberapa faktor lain. Setidak-tidaknya doktor perlu berbincang dengan pakar sakit kronik apabila merawat pesakit kerana ia bukan mudah.

Merujuk pesakit kepada doktor pakar sakit kronik adalah satu daripada isi penting dalam kempen Kementerian Kesihatan yang mengiktiraf kesakitan sebagai satu ‘Tanda Utama’. Melegakan kesakitan termaktub dalam etika perubatan dan diiktiraf sebagai hak asasi pesakit.

Di Malaysia bidang ini masih baru tetapi pencapaian kita dalam bidang ini membanggakan. Pakar sakit kronik di Malaysia kurang daripada 10.

Justifikasi seorang pakar mungkin berbeza keadaan sakit kronik itu yang bersifat subjektif dan berbeza di antara pesakit. Sebagai contoh, seorang pakar mampu merawat sakit belakang berpunca daripada cakera tergelincir (slip disc) dengan hanya kaedah suntikan membabitkan kejayaan 90 peratus tanpa perlu pembedahan.

Malah dengan kepakaran, ubatan dan teknologi terkini, hampir semua sakit belakang dapat dirawat dengan hanya kaedah suntikan. Ia terbukti berkesan tanpa menghadapi risiko tinggi. Teknik ini menjadi pilihan rawatan pembedahan tulang belakang dengan kos lebih murah.

Apa yang dapat dilakukan pakar?

1. Menilai semula punca sakit kronik anda dengan tepat dan menyeluruh

2. Membuat penilaian akan kesan atau impak sakit kronik pada kehidupan anda daripada aspek biopsikososial

3. Merangka strategi bersepadu untuk melegakan kesakitan dan mengembalikan fungsi anda

4. Memberi rawatan ubat yang pelbagai (multimodal) dalam pelbagai bentuk seperti pil, kapsul, tampalan pada kulit dan sirap dengan terperinci

5. Dapat melakukan kaedah ‘intervensi kesakitan’, iaitu kaedah suntikan khusus yang dapat mengawal tahap kesakitan anda seperti teknik epidural, neurolisis, radiofrekuensi dan suntikan botox.

6. Membimbing anda mengembalikan kehidupan harian, bersosial dan kembali bekerja melalui aktiviti fizikal dalam bentuk senaman, teknik rehat dan terapi kognitif.

Apakah tindakan anda jika mengalami kesakitan kronik?

Jika sakit masih berlarutan selepas berjumpa beberapa doktor, ini masanya berjumpa doktor pakar sakit kronik. Anda perlu bertindak sekarang sebelum menjadi lebih serius.

Setidak-tidaknya anda ambil inisiatif untuk mendapat pandangan kedua mengenai penyakit anda.

Jika doktor yang merawat tidak melakukannya, anda perlu mengingatkan doktor dan memintanya merujukkan anda kepada pakar. Rekod dari Pain Unit HUSM, hampir 75 peratus pesakit dapat dipulihkan iaitu kesakitan dapat dikurangkan hingga melebihi 50 peratus.


Oleh DR NIZAR ABD JALIL (Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia)


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger