Wanita yang menempuh perceraian dikatakan lebih merasakan tempias atau kesan mendalam lantas mereka disaran memberi fokus terhadap perkara penting terutama bijak mengurus tekanan emosi.
Ketua Psikiatrik Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Husin Habil mengakui banyak aspek perlu ditangani secara berhemah oleh wanita bercerai terutama yang membabitkan masalah perundangan, kewangan serta perkara lain berkaitan.
"Masalah di awal perceraian tentunya banyak membabitkan aspek penjagaan anak, harta sepencarian dan tekanan berkaitan psikologi mangsa perceraian itu sendiri sama ada wanita atau anak mereka.
"Ramai wanita yang kurang peka dengan hak dan undang-undang berkaitan kekeluargaan bukan kerana tidak berpendidikan, tetapi mungkin tidak tahu bagaimana menguruskannya secara profesional.
"Kelewatan menyelesaikan masalah berkaitan menyebabkan gangguan terhadap diri wanita itu sendiri dan anak-anak.
"Jika dia bekerja, mungkin prestasinya menurun dan jika dia tidak bekerja, ia mungkin memberi lebih tekanan kepada emosi sendiri serta anak-anak," katanya yang mahukan kerajaan lebih praktikal dalam menangani isu berkenaan.
Beliau akur orang ramai lebih suka menuding jari kepada wanita bercerai sedangkan perkara itu langsung tidak membawa penyelesaian muktamad.
Menurutnya, ada wanita yang tidak tahu hendak mendapatkan bantuan agensi tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Justeru, beliau turut mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi 'tunjuk arah' supaya lebih ramai wanita yang menghadapi masalah perceraian boleh mendapatkan khidmat bagi mengurangkan beban.
"Wanita bercerai atau ibu tunggal tidak seharusnya dibebankan dengan pelbagai prosedur ketika memohon bantuan.
"Masalah berkaitan nafkah atau kes penjagaan anak yang berlarutan tanpa penyelesaian perlu dirungkai segera dan tidak memakan masa lama kerana semua ini memberi kesan emosi atau kesan sampingan lain yang bukan sedikit kepada mangsa," katanya.
Perceraian membabitkan pasangan muda, katanya, amat tinggi di Malaysia berbanding dengan negara barat yang disifatkan lebih 'mesra rakyat.'
Dr Husin mengakui di negara maju, aspek penjagaan terhadap golongan wanita bercerai dan anak-anak mangsa diberi tumpuan.
Baginya, masyarakat khususnya golongan dewasa sepatutnya mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif tanpa mengganggu proses tumbesaran anak-anak.
Untuk itu, katanya, mereka perlu terus diberi penjagaan dan perlindungan sewajarnya tanpa sebarang pengabaian, keganasan serta eksploitasi yang boleh merencatkan perkembangan mental dan fizikal mereka.
Walaupun berlaku perceraian, hak mutlak anak-anak juga tidak seharusnya terabai.
Antara langkah yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah berkenaan, katanya, kerajaan boleh mengadakan pusat jagaan yang bukan hanya memberi perhatian terhadap ibu tetapi turut mengambil berat terhadap segala urusan anak-anak termasuk pembelajaran dan kesihatan mental.
Beliau berkata, mangsa cerai yang mempunyai anak lebih daripada seorang lazimnya lebih merasakan keperluan untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban.
"Pada peringkat awal perpisahan, kejutan yang berlaku memberi kesan bukan hanya kepada ibu bahkan anak-anak.
"Oleh itu, pihak berkaitan termasuk kementerian perlu memperlengkapkan lagi laman web atau talian khidmat yang bersifat lebih mesra kepada wanita bermasalah supaya ia dapat memberi kesan langsung kepada kumpulan sasaran," katanya.
Home »
09. Keluarga/Pernikahan
» Wanita cerai perlu mahir urus emosi
Wanita cerai perlu mahir urus emosi
Written By Unknown on Wednesday, February 24, 2010 | 03:34
Labels:
09. Keluarga/Pernikahan
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !