Bekas isteri saya mempunyai perwatakan menarik, bergaya dan ada ramai kenalan lelaki. Saya ceraikannya kerana tidak tahan dengan bidang kerjanya yang sangat sibuk hingga tidak lekat di rumah.
Selepas bercerai, ibu menjodohkan saya dengan gadis sekampung yang mempunyai pendidikan diploma. Pada awal perkahwinan segala-galanya baik, tetapi masalah mula wujud sewaktu dia mengandung anak pertama hinggalah sekarang anak berusia setahun setengah.
Saya bukan hendak membandingkan bekas isteri dengan isteri sekarang tetapi betul kata orang tua-tua, ilmu itu mencerminkan peribadi seseorang.
Walaupun berpendidikan sarjana, bekas isteri saya tidak pernah meninggi diri dan membandingkan dirinya dengan saya yang hanya berkelulusan diploma. Dia juga tidak memandang rendah kepada saya yang bekerja sebagai juruteknik.
Isteri saya sekarang selalu mencaci dan menghina pekerjaan saya sebagai juruteknik. Jika saya tegur jawapannya: “Alah.. abang pun ada diploma aje, sama dengan saya.”
Saya sangat tertekan dengan kata-katanya. Mujur gaji saya lebih tinggi daripadanya. Kalau tidak, tak tahulah saya.
Seperkara lagi yang buat saya tertekan ialah cara penampilannya. Dia tidak mahu menghiaskan diri bila duduk di rumah. Dia gemar memakai kemeja-T dan kain batik saja. Banyak kali saya tegur dia supaya berhias di dalam rumah.
Kalau keluar rumah pun dia memakai gincu saja. Sikapnya jauh berbeza dengan bekas isteri saya dulu yang sangat menjaga penampilan, baik di depan saya mahupun di luar rumah.
Saya bosan dengan sikap isteri yang tidak menghormati teguran saya. Saya pernah ajak dia bertemu kaunselor tapi dia menolak. Katanya, hanya orang ‘sakit’ berjumpa kaunselor. Mentalitinya sangat kekampungan!
Hujung tahun ini saya berniat mengerjakan umrah. Saya rahsiakan perkara ini daripada isteri kerana saya ingin sangat berdoa di depan kaabah supaya Allah beri petunjuk kepada saya tindakan yang patut saya ambil. Tolonglah saya Dang Setia.
SUAMI TERTEKAN
JAWAPAN
Kesempurnaan adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua orang, namun ia payah untuk diperoleh. Lantaran itu kita perlu bijak mendidik diri supaya menerima hakikat bahawa setiap individu itu ada kekurangan dan kelebihan.
Dalam kes saudara, ada baiknya jika kita sama-sama melihat dan menilai kelebihan serta kekurangan bekas isteri saudara, isteri sekarang, selain diri saudara sendiri supaya dapat bersikap lebih adil dan mampu menemukan jalan penyelesaian terbaik.
Bekas isteri saudara dulu, kelebihannya ialah mempunyai kemahiran yang baik dalam bidang sosial komunikasi, berperwatakan menarik dan menjaga penampilan baik di dalam mahupun luar rumah.
Namun, kelemahannya ialah ramai sangat kenalan lelaki dan terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak lekat di rumah. Ini yang mendorong saudara menceraikannya.
Isteri saudara sekarang, kelebihannya tidak saudara nyatakan secara khusus, namun secara umum Dang Setia berpendapat kelebihannya ialah dia tidak memiliki kelemahan bekas isteri saudara iaitu ramai kenalan lelaki dan terlalu sibuk dengan kerjaya.
Kelemahannya pula daripada kaca mata saudara sangat banyak iaitu meninggi diri, memandang rendah kepada saudara, suka menghina pekerjaan saudara sebagai juruteknik dan tidak menjaga penampilan ketika di dalam mahupun luar rumah.
Dia juga tidak mahu mengikut kata saudara biarpun berulang kali ditegur, selain tidak mahu berjumpa kaunselor perkahwinan apabila saudara mengajaknya.
Itu kelebihan dan kelemahan bekas isteri dan isteri saudara sekarang, bagaimana pula dengan saudara? Memandangkan perkara ini tidak saudara nyatakan dalam e-mel saudara, ia akan Dang Setia kemukakan berdasarkan pengamatan Dang Setia.
Secara umumnya, kelebihan saudara yang mampu Dang Setia kesan ialah bersungguh-sungguh dan berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan kebahagiaan di dalam rumah tangga.
Kelemahan saudara pula? Perkara ini agak menarik untuk diperkatakan dan ia Dang Setia anggap perkara penting. Bukan Dang Setia sengaja atau suka-suka untuk memburuk-burukkan saudara, sebaliknya muhasabah atau menilai kelemahan diri sangat penting dilakukan oleh sesiapa saja untuk mengenal pasti punca masalah sebelum mencari jalan penyelesaiannya.
Pertama sekali, Dang Setia berharap saudara berpandangan lebih jauh apabila menilai seseorang dengan tidak sekadar melihat kelemahan, sebaliknya cari dan cungkil juga untuk melihat aspek kelebihannya.
Ambil contoh isteri saudara sekarang, di sebalik pelbagai kelemahan atau sikap negatifnya yang saudara senaraikan, tidakkah saudara dapat melihat kelebihannya yang mungkin berharga kepada kehidupan berumahtangga kalian berdua.
Sebagai contoh, bagaimana dengan kemampuannya menunaikan tanggungjawab lain seperti menyediakan makanan dan pakaian saudara, selain menguruskan rumah tangga? Jangan lupa, ramai suami mengeluh kerana tidak berpeluang mengecap nikmat itu.
Jadi, mesej penting yang ingin Dang Setia sampaikan di sini ialah jangan biarkan satu atau dua kelemahan menghapuskan semua kelebihan lain yang dimiliki isteri saudara.
Dengan berpegang kepada kesedaran ini, Dang Setia harap saudara menjadi lebih tenang dan tidak bertindak keterlaluan dalam menyelesaikan masalah dihadapi.
Selain itu lihat juga kepada diri sendiri, adakah saudara menjaga penampilan dengan baik di dalam dan luar rumah? Jika saudara mahu isteri saja yang menjaga penampilan sedangkan diri sendiri tidak sedemikian, pasti sukar untuk dia mengikut kata saudara.
Perkara ini bukan hanya terhad dalam hal penampilan, tetapi juga pelbagai aspek lain. Jika seorang suami mahu isterinya menjadi wanita solehah, suami terlebih dulu perlu menjadi orang yang soleh, berilmu, berakhlak dan mampu menjadi pembimbing kepada isterinya.
Kembali kepada masalah penampilan, mungkin saudara dan isteri boleh mengambil pendekatan lebih santai seperti mengadakan permainan siapa berpakaian selekeh akan dikenakan denda. Mungkin anak boleh bertindak menjadi hakim.
Dengan cara itu, bukan saja matlamat untuk melihat kedua-dua pihak sentiasa berpenampilan menarik akan tercapai, hubungan kekeluargaan juga menjadi lebih erat.
Selain itu Dang Setia kurang bersetuju dengan tindakan saudara berahsia untuk menunaikan umrah. Perkara begini tidak wajar dirahsiakan dalam hubungan suami isteri, sebaliknya perlu dikongsi bersama.
Malah, yang sepatutnya saudara lakukan ialah mengajak isteri bersama-sama menunaikan umrah.
Niat saudara untuk berdoa di depan kaabah supaya diberi petunjuk apa tindakan terbaik patut diambil ke atas isteri memang baik, namun lebih baik jika si isteri sendiri yang berdoa supaya diberi petunjuk untuk menjadi isteri solehah.
~ Dang Setia
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !