Headlines News :
.
Home » » Intim di pejabat - Kerana simpati atau kasih?

Intim di pejabat - Kerana simpati atau kasih?

Written By Unknown on Tuesday, February 23, 2010 | 04:04

MUKADIMAH

Fenomena mengadakan hubungan intim dengan orang lain di kalangan pasangan suami isteri sememangnya wujud. Baik di sektor awam, swasta, persendirian mahupun di Insitusi Pengajian Tinggi (IPT), situasi begini semakin ketara.

Apa yang dibimbangi, hubungan yang bermula dengan suka-suka ini akhirnya membibitkan kemesraan, keserasian dan keselesaan antara mereka terutama yang bekerja sepejabat. Hubungan suka-suka ini akhirnya terjalin serius.

Berlakunya cinta unik ini akan menimbulkan masalah jika masing-masing sudah berkahwin tetapi di tempat kerja menjalin keintiman dengan suami, isteri orang atau dengan orang bujang menimbulkan cerita lain pula.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung daripada awal ia umpama ``kudis'' yang menggugat hubungan suami isteri.

Menurut laporan Unit Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, 70 peratus daripada punca perceraian yang berlaku di kalangan masyarakat hari ini disebabkan adanya hubungan dengan orang ketiga. Dan 80 peratus daripada jumlah tersebut, hubungan itu terjalin di kalangan rakan sekerja.

Berdasarkan laporan KPWDK tersebut wartawan Keluarga, Rahana MD meninjau situasi cinta unik ini untuk iktibar kita bersama dengan harapan ia dapat dicegah daripada menular menjadi barah yang lebih parah.

Mulanya sekadar bercerita, meluahkan rasa tidak puas hati dengan pasangan di rumah. Esoknya bersambung lagi dan diikuti dengan bertukar-tukar pandangan.

Lusa pula berkongsi pendapat dan masing-masing merasai ada keserasian dalam bercerita.

Persekitaran yang selesa kerana bekerja di tempat yang sama, memudahkan pertemuan demi pertemuan diatur.

Asal kawan sekerja untuk berbual-bual kini menjadi satu kemestian pula untuk bersarapan, makan tengah hari dan minum petang bersama.

Cerita pokok untuk meluahkan rasa terbuku dengan pasangan bertokok-tambah, lahir bibit-bibit kemesraan yang semakin ketara.

Keintiman yang disusuli dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), telefon, e-mail atau surat akhirnya mengheret pasangan ke dalam bentuk hubungan yang serius.

Keruntuhan

Untungnya jika sama-sama masih bujang dan sedang mencari pasangan, mungkin jodoh memanggil tetapi bagaimana jika masing-masing sudah bersuami, beristeri atau salah satu pasangan pula masih bujang.

Tidakkah fenomena ini antara faktor penyumbang kepada keruntuhan institusi perkahwinan di kalangan masyarakat hari ini?

``Keintiman di pejabat dengan rakan sekerja tidak semestinya diiringi dengan perasaan kasih atau cinta,'' tegas Hadijah Baba mengundang tanda tanya.

Kaunselor di Unit Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga itu ketika ditemui menegaskan hubungan intim terbahagi dua.

``Ada antara pekerja yang intim sekadar kawan rapat, makan bersama dan selalu ke mana-mana pun berdua. Orang di sekeliling memang jelas mengata mereka ada hubungan tetapi hanya empunya diri yang tahu, mereka akrab sebagai sahabat. Ada rasa sayang ada rasa kasih atas dasar sahabat.

``Intim yang kedua berisi kasih, sayang, cinta dan rindu jika tidak bertemu. Hubungan awal mungkin sekadar kawan yang memahami atau teman yang paling akrab. Tetapi keserasian ketika berbual, menimbulkan bibit-bibit kemesraan yang akhirnya membuahkan perasaan cinta,'' jelasnya.

Hadijah berkata, intim yang kedua inilah yang diisytiharkan ``perang'' jika pasangan masing-masing dapat tahu.

``Masalah tidak timbul di kalangan yang sama bujang, tetapi apabila kedua-duanya sudah berkahwin atau seorang berkahwin dan seorang lagi tidak, apa akan jadi?

``Kala itu, masing-masing akan mencari kebenaran untuk menegakkan hak yang selama ini mereka rasa telah diabaikan,'' katanya.

Menurut Hadijah, penyebab utama keadaan ini berlaku biasanya wujud ruang kosong dalam hati mereka yang mengalami.

``Ruang kosong ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi lebih-lebih lagi jika yang menyambutnya itu juga sama-sama meluah perasaan.

``Penyebab kedua masa-masa aktif lebih banyak dihabiskan di tempat kerja. Selepas waktu kerja, masa yang dihabiskan bersama-sama itu menjadi satu kemestian pula selepas masing-masing mendapati wujudnya keserasian,' ' katanya.

``Dalam sesetengah kes, bukan salah pasangan semata-mata tetapi faktor lain banyak mempengaruhi. Misalnya ada yang sentiasa tidak puas dengan kasih sayang disekeliling, puncanya emak dan ayah bercerai atau anak yatim,'' katanya.

Hadijah menambah, kekurangan yang ada pada individu selalu dijadikan alasan untuk menjalin hubungan sedangkan mereka mempunyai alternatif mencegahnya.

Sekerja

``Di sebalik keindahan bercinta di tempat kerja ia adalah racun kepada pasangan di rumah. Misalnya jika si lelaki yang mempunyai hubungan dengan teman sekerja, isteri yang menjadi suri sepanjang hari akan terdera perasaan dan mental.

``Dalam kes yang pernah diadukan ke Unit Kaunseling, apabila isteri dapat tahu dan mengajukan persoalan, suami tiba-tiba sombong, panas baran dan menuding jari kepada isteri tidak pandai dalam serba-serbi, '' katanya.

Sambungnya jika suami pula dapat tahu isteri ada hubungan dengan teman di tempat kerja, barulah terluah kononnya selama ini suami tidak mampu memenuhi keinginannya.

Fenomena ini katanya, dianggap serius dan boleh menjadi salah satu penyumbang kepada keruntuhan institusi perkahwinan.

Menurut Hadijah, berdasarkan aduan yang diterima di unitnya, 70 peratus daripada punca perceraian disebabkan wujudnya orang ketiga.

``Daripada jumlah tersebut, 80 peratus pula disebabkan ada hubungan dengan teman sekerja. Keadaan ini serius dan pasangan mesti bersikap jujur kepada pasangan supaya tidak timbul perselisihan jika perkara sebenar terbongkar.

``Dalam rumah tangga, suami adalah ketua tetapi sebenarnya peranan isteri lebih besar kerana merekalah yang sebenarnya mengawal dan menguasai bagaimana perkahwinan itu terbentuk.

``Selain membanyakkan ilmu, wanita perlu bijak memperuntukkan masa emas bersama suami walaupun hanya beberapa minit. Lakukan setiap hari, jadikan suami tempat mengadu, berkongsi cerita dan meluah perasaan. Suami juga patut ikhlas dan menerima isteri seadanya.

``Selalu suami menyalahkan isteri tidak melayan mereka atau melebihkan anak-anak sebagai penyebab terjalinnya hubungan lain. Tetapi jika mereka juga membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah, masa isteri yang terhad itu akan dapat diseimbangkan untuk melayan mereka pula,'' katanya.


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger