Headlines News :
Home » , » Mahkamah Syariah Cemerlang, Islam Terbilang

Mahkamah Syariah Cemerlang, Islam Terbilang

Written By saleehs gerrard on Wednesday, February 24, 2010 | 03:41

Oleh Tuan Musa Awang

Pepatah Melayu ada menyebutkan : “Air yang jernih dihulu akan jua jernih dihilir”. Maksudnya apabila kita memulakan hari kita dengan kebaikan, Insya-Allah kebaikan akan muncul sepanjang hari. Begitu juga apabila kita memulakan pagi dengan senyuman dan keceriaan, ianya akan mempengaruhi keceriaan sepanjang hari. Senyumlah, pasti dunia akan tersenyum bersamamu. Berbuat baiklah, pasti dunia akan membalas kebaikanmu.


Sebagai sebuah institusi awam di mana masyarakat membawa dan mengadu masalah mereka untuk diselesaikan, bukanlah suatu yang mudah bagi Mahkamah Syariah untuk memuaskan semua hati pelanggannya. Namun pujian wajar diberikan seluruh kakitangan Mahkamah Syariah seluruh negara kerana setakat ini berjaya menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan, walaupun usianya masih muda berbanding Mahkamah Sivil yang telah pun wujud sejak zaman penjajahan Inggeri di Tanah Melayu.

Pada Jumaat 15 Januari 2010 lalu, suatu Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan 5S telah diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, dirasmikan oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut. Turut hadir Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Tuan Mohd Razali Hussain, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syarie, wakil-wakil daripada Biro Bantuan Guaman, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan PGSM.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang telah dijalankan oleh MPC pada 21 Disember 2009 yang lalu. 5S merujuk kepada gabungan 5 perkataan Jepun yang bermula dari huruf S iaitu Seiri (sisih) ; Seiton (susun) ; Seiso (sapu) ; Seiketsu (seragam) dan Shitsuke (sentiasa amal). Amalan 5S adalah amalan mengasing dan membuang barang-barang yang tidak diperlukan, menyusun barang-barang yang diperlukan secara kemas dan sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan, membersihkan tempat berkerja agar tiada debu atau kotoran samada di atas lantai, peralatan dan persekitaran tempat kerja, mewujudkan standard amalan terbaik di tempat kerja dan memastikan standard tersebut dipatuhi, melatih pekerja untuk mengamalkan rutin ini secara berterusan agar menjadi kebiasaan dan budaya dalam organisasi. Kebersihan, keceriaan dan sistematik di tempat kerja akan mempengaruhi budaya kerja kakitangan Mahkamah, agar dapat melayan kerenah pelanggan dengan baik, ceria dan sistematik.

Sijil pengiktirafan yang diterima oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ini bukanlah yang pertama kerana sebelum itu beberapa negeri lain termasuk JKSM telah meraih beberapa pencapaian yang sama. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang telah pun mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001 : 2000. Pada 15 Disember 2009 lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor muncul sebagai jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001:2008, iaitu suatu pengiktirafan bertaraf dunia, kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Pada tahun 2007, JKSM telah mendapat tempat pertama Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AKICT) di Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam ; tempat kedua bagi Pertandingan Keceriaan Pejabat (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri ; tempat kedua bagi Pertandingan Tapak Pameran Terbaik (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri. Sebelum itu pada tahun 2006, JKSM telah mendapat tempat pertama Laman Web Terbaik (kategori B) melalui Portal E-Syariah sempena Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri ; tempat kedua bagi Pertandingan Tapak Pameran Terbaik (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri. Pada tahun 2005, JKSM mendapat Anugerah Portal Kerajaan Elektronik Terbaik dalam satu kajian “Benchmarking and Comparative Study of Malaysia Government Portals and Websites 2005” oleh Multimedia Development Corporation (MDEC).

Pengiktirafan- pengiktirafan ini membuktikan bahawa kakitangan Mahkamah Syariah yang komited dan bersungguh-sungguh mampu merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul, meskipun Mahkamah Syariah masih muda usianya, dengan bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun, serta cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh Mahkamah seperti kecaman dan tanggapan negatif sesetengah pihak.

Sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, Penulis mencadangkan pada setiap tahun di adakan satu hari dikenali sebagai Hari Mahkamah Syariah sebagai memperingati tarikh penubuhan rasmi Mahkamah Syariah di Malaysia. Rujukan boleh dibuat terhadap tarikh terawal penubuhan Mahkamah Syariah di Negara ini. Menyorot sejarah, pada tahun 1948 ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kahakiman persekutuan telah memisahkan Mahkamah Syariah dari hirarki Mahkamah. Selangor mula-mula sekali mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (1952), diikuti negeri-negeri lain di Malaysia Barat. Waktu itu Mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang pentadbiran agama Islam bagi setiap negeri di Tanah Melayu. Hari Mahkamah Syariah yang dicadangkan ini juga adalah sebagai menghargai jasa kakitangan-kakitang an Mahkamah yang berkerja keras untuk memajukan organisasi Mahkamah, pada masa yang sama meningkatkan syiar Syariah di Malaysia.

Salah satu usaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan Mahkamah Syariah adalah dengan mengetahui sejarah dan perkembangannya. Dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bagaimana sesuatu perkara itu bermula, dan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan dan nikmat yang dirasai pada hari ini. Dengan memahami sejarah juga, masyarakat akan sedar peranan yang dimainkan oleh Inggeris selepas menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786, dengan membawa undang-undang mereka ke Tanah Melayu, menubuhkan mahkamah dan melantik hakim-hakim yang mahir dengan Undang-undang Inggeris untuk mengadili kes-kes di Tanah Melayu. Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam Charters of Justice pada tahun 1807, 1826 dan 1885, bertujuan untuk mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara langsung menenggelamkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan. Usaha memartabatkan perundangan Syariah perlu berterusan. Sebarang usaha murni untuk tujuan tersebut wajar disokong oleh kerajaan dan masyarakat Islam agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih berkesan, mantap dan cemerlang dari semasa ke semasa. Memetik peribahasa cina mengatakan ” semalam dan kelmarin telah berlalu meninggalkan sejarah dalam kehidupan. Esok, lusa dan akan datang merupakan impian dan wawasan.”

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui email : sekretariatpgsm@ yahoo.com.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger