Headlines News :
.
Home » » Khutbah Jumaat: Melihat Allah

Khutbah Jumaat: Melihat Allah

Written By Unknown on Wednesday, February 3, 2010 | 14:27

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: MELIHAT ALLAH”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Salah satu nikmat besar yang Allah beri kepada manusia ialah dapat melihat alam nyata yang wujud di hadapan kita ini. Kita dapat melihat dengan mata kasar makhluk-makhluk Allah seperti manusia itu sendiri, gunung ganang, matahari, bulan, bintang, bumi dan sebagainya. Hakikatnya kewujudan makhluk-makhluk Allah ini tidak sempurna kerana berdasarkan kajian sains tempoh kewujudan alam ini terbatas, ruang lingkupnya terhad, ukuran tinggi rendahnya terbatas, dan tempoh hayatnya juga terbatas.

Dalam Islam Allah adalah zat yang mencipta alam ini. Sebagai pencipta alam, maka Allah memiliki kesempurnaan sifatnya, ia tidak terikat dengan sebarang batasan, tidak terbatas tinggi-rendahnya- Nya, tidak terbatas kekuasaan-Nya, tidak terbatas ruang waktunya dan segala-galanya tidak terbatas. Oleh itu, Allah dalam Islam adalah ghaib dari kita dan kita tidak dapat melihat Allah.

Kalau kita pergi ke kedai-kedai tertentu atau kita singgah di rumah-rumah ibadat agama lain kita boleh melihat wajah-wajah Tuhan dalam pelbagai ragam, tinggi, rendah, mempunyai ruang lingkup dan sebagainya. Tuhan boleh dilukis dan direka bentuk. Apa yang jelas tuhan-tuhan berkenaan mempunyai batasan dan had-had tertentu. Malah penganut agama berkenaan boleh melihat dan mengenali tuhan mereka secara nyata. Bagaimana pun persoalan besar timbul ialah apakah kita boleh melihat Allah Yang Maha Esa di dunia ini.

Diterangkan di dalam al-Quran surah al-A’raf, ayat 143 bahawa nabi Musa a.s. diseru oleh Allah ke Bukit Thur Sina untuk menerima wahyu Kitab Taurat. Selama 40 hari 40 malam Nabi Musa bermunajat untuk menerima wahyu Allah. Sesudah menerima wahyu timbul keinginan pula Nabi Musa untuk melihat Allah.

Nabi Musa a.s bermohon: Ya Allah! berilah kesempatan kepadaku melihatmu”. Allah menjawab: “Engkau tidak dapat melihat-Ku wahai Musa, tetapi cubalah engkau lihat ke gunung itu. Sekiranya gunung itu kukuh di tempatnya itu, engkau tentu dapat melihat Aku. Kemudian Allah memperlihatkan diri-Nya terhadap gunung itu. Apabila Allah memperlihatkan diri-Nya kepada gunung itu, maka gunung itu menjadi cair dan lenyap sama sekali dari permukaan bumi. Melihat peristiwa kehancuran gunung itu, maka Nabi Musa pengsan. Sesudah Nabi Musa sedar, maka terus Nabi Musa sujud dan memimta ampun.

Menurut ahli-ahli tafsir jika gunung yang kuat itu pun tidak sanggup dan tergaman melihat kehebatan Allah, apatah lagi manusia yang lemah badannya itu. Apabila Allah memperlihatkan diri-Nya kepada bumi, matahari atau bulan, maka matahari atau bulan akan pecah. Demikian juga apabila Allah memperlihatkan diri kepada manusia atau malaikat, maka semua manusia dan malaikat itu akan musnah.

Rasulullah saw bersabda:

Mafhumnya:Aku pernah bertanya kepada Malaikat Jibril, pernahkan engkau melihat Tuhanmu ya Jibril?. Jibril menjawab: Di antara aku dan Allah ada 70 lapis dinding yang terdiri daripada cahaya. Bila aku melihat kepada lapisan cahaya yang paling luar, aku pasti terbakar . (Hadith Riwayat at-Tabrani).

Dengan hadis ini, ternyata bahawa manusia tidak dapat melihat Allah. Bagaimana pun banyak ayat al-Quran yang menerangkan bahawa orang yang beriman akan diberi kesempatan di akhirat untuk melihat Allah. Firman Allah dalam surah al-Qiyamah ayat 22 dan 23:

Maksudnya: "Pada hari akhirat itu, muka (orang yang beriman) berseri-seri. Melihat kepada Tuhannya”.

Di nyatakan lagi dalam al-Quran bahawa bagi mereka yang melakukan amal soleh dan tidak mensyirikkan Allah semasa di dunia maka di akhirat nanti akan dipertemukan dengan Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Kahfi ayat 110:

Maksudnya: Maka sesiapa yang berharap akan bertemu Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya ”.

Menurut Tafsir fi Zilal al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah bahawa menjadi syarat bagi seorang hamba yang berharap untuk bertemu dengan Allah di akhirat nanti ialah dengan melakukan amal soleh dan tidak mensyirikkan- Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Syirik adalah perbuatan menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan makhluk dalam apa jua bentuk sama ada perkataan, kepercayaan, perbuatan dan iktikad. Para ulama membahagikan syirik kepada dua kategori iaitu syirik akbar (besar) dan syirik asghar (kecil). Syirik besar seperti menyekutukan Allah secara terang-terangan termasuk menyembah sesuatu selain Allah atau menyamakan kuasa Allah dengan makhluk. Manakala syirik kecil seperti riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia dan sebagainya.

Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah ada segelintir orang Islam yang sanggup mencadangkan supaya pengunaan kalimah-kalimah Islam termasuk nama Allah SWT dibenarkan pengunaannya oleh orang yang bukan Islam. Mimbar amat bimbang cadangan tersebut boleh terjerumus dalam perbuatan syirik. Tiada faedah seseorang itu beribadat siang dan malam, jika imannya rosak dan dipengaruhi oleh unsur-unsur syirik, perbuatan syirik hanya akan menghalang seseorang mukmin dari mendapat keredaan dan syurga Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan syirik adalah berdosa besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT dan tempat mereka di akhirat nanti adalah di neraka.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap bahawa iman sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah paduan antara keyakinan di hati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya. Ini bermakna kepercayaan tanpa diikuti dengan amal ibadah, atau tanpa meninggalkan maksiat, maka belum dikira sempurna iman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:

Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam tidak pernah menyekat umatnya daripada mengeluarkan kata-kata atau pun memberi pandangan atas dasar ilmu dan iman. Namun dengan sikap segelintir umat Islam yang sanggup bertindak melampaui batas syarak sehingga mencabuli hak manusia, hak Rasul dan hak Allah SWT; maka ia perlu dibenteras.

Oleh yang demikian, menjadi tanggunjawab mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama: Berwaspada bahaya syirik kerana ia boleh membawa kepada kekufuran;

Kedua: Umat Islam perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan akidah;

Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya; dan

Keempat: Mempertahankan kesucian Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang di tuntut.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 65:

Maksudnya;Dan sesungguhnya telah diwahikan kepadamu dan Nabi-nabi sebelummu: Sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan Allah tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi”.


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

wilayah anfield"

WAKTU SEKARANG

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. REZEKI ITU DATANGNYA DARI USAHA YANG IKHLAS. - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger